Monday, September 21, 2009

Salam Lebaran 1430 H

Salam Lebaran buat semua pelajar yang dikasihi sekalian.

Moga Ramadhan yang baru meninggalkan kita kelmarin telah mendidik kita menjadi insan yang lebih halus budinya dan kuat jiwanya untuk jihad nafsu dalam bulan-bulan yang berikutnya. Amin

Bagi pelajar jihad ilmu akan diteruskan lagi. Apatah lagi minggu peperiksaan akan muncul selepas cuti seminggu ini.

Kepada masyarakat di luar sana moga amalan ziarah menziarahi antara kita di bulan Syawal ini akan mengukuhkan ukhuwah islamiah dan memperkasa perpaduan atas semangat kecintaan ke atas ibu pertiwi yang bertuah ini.

Kullu 'amin wa antum bikhair.


-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Wednesday, September 16, 2009

Kisah Malaysia di sebalik 16 September 1963 dan Takdirnya Selepas Itu

Ramai yang tahu tentang signifikannya tarikh 31 Ogos setiap tahun. Ia adalah tarikh bersejarah mengenang kembali hari kemerdekaan negara kita dari belenggu 446 tahun penjajajahan kuasa Eropah dan juga pendudukan 3 tahun 5 bulan imperialis Jepun.

Namun kemerdekaan tersebut hanyalah untuk 2 buah Negeri Selat, 4 buah Negeri Melayu Bersekutu dan 5 buah Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Kesemua negeri tersebut yang terletak di Tanah Melayu dibebaskan Inggeris selepas Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman berjaya meyakinkan Inggeris (penjajah terakhir) bahawa kerajaannya dan rakyat Tanah Melayu sudah bersedia untuk membentuk kerajaan sendiri (self-goverment).

Jadi bilakah pula Sabah dan Sarawak merdeka dari Inggeris ?

Di sinilah tarikh 16 September 1963 menjadi signifikan dalam sejarah negara kita. Pada tarikh keramat ini Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo ini 'bebas melalui percantuman' untuk mencapai tujuan politik, ekonomi dan sosial melalui kerjasama dan hubungan dengan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah merdeka lebih awal pada 31 Ogos 1957.

Justeru, tarikh kemerdekaan sebenar bagi Sabah dan Sarawak bukanlah pada 31 Ogos tetapi pada 16 September .

Dengan ini Malaysia baru berusia 46 tahun mengambil kira tarikh 16 September 1963. Ia adalah nama dan definisi baru kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk wujud sebagai negara berdaulat di persada antarabangsa.

Persekutuan Malaysia ini walaubagaimanapun bukanlah sebagaimana gagasan asal '1 + 4' Tunku Abdul Rahman. Ini kerana Brunei telah menarik diri di saat-saat akhir kerana kecewa dengan penolakan Tunku terhadap 2 tuntutan pokok Sultan Hasanol Bolkiah dalam 'tawar menawar'nya untuk menyertai Malaysia. Hanya Singapura selain Sabah dan Sarawak yang bersetuju menyertai gagasan Tunku Abdul Rahman.

Namun, ibarat duri dalam daging kehadiran Singapura mengancam keselamatan negara berikutan sikap Lee Kuan Yew, pemimpin People Action's Party yang chauvinis. Sebagai opurtunis politik Lee Kuan Yew bercita-cita untuk memonopoli undi dan sokongan kaum Cina di Tanah Melayu dengan memainkan isu dan sentimen kaum terutamanya kaum Melayu.

Bersandarkan kepada formula Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew mempertaruhkan nasib Singapura. Akhirnya, apabila situasi sudah lagi tidak boleh dikawal dan bimbangkan terjadinya konflik perkauman, Singapura disingkirkan dari Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Singapura kemudian diisytihar sebagai sebuah negara baru merdeka (kali kedua) berstatuskan sebuah kerajaan republik, iaitu kerajaan tanpa raja.

Kini Singapura merayakan kemerdekaannya pada 9 Ogos setiap tahun. Kenapa bukan 16 September sebagaimana Sabah dan Sarawak?


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Monday, September 14, 2009

Toleransi Agama oleh Masyarakat Barat

Saya turunkan kisah pengalaman toleransi agama oleh masyarakat Barat untuk mencelikkan kita yang agak miskin pemahaman tentang bagaimana toleransi agama antara masyarakat berbilang kaum dipraktiskan.  

Ironisnya amalan ini datangnya dari sebuah masyarakat yang dicop sekular-liberal dan sarat hedonisma. Bagaimana mereka boleh berlaku begitu adil dan menghormati agama komuniti minoriti di bumi mereka sendiri ?

Saya teringat pendapat rakan-rakan saya dahulu apabila membincangkan mengenai amalan yang islamic. Dari pengamatan mereka yang pernah belajar dan bekerja di negara Barat dan Asia maju seperti Jepun dan Korea, nilai-nilai dan amalan yang islamic lebih tertonjol dalam budaya dan cara hidup masyarakat yang sering didakwa gersang rohaninya.

Sebaliknya, kita yang lahir sebagai muslim (muslim-born) mempamerkan nilai dan amalan yang unislamic. Kitalah yang menunjukkan kepada orang lain yang kita ni selalu lambat menghadiri temu janji, pemungkir janji, tidak menghormati kaum yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak, kuat merasuah dan terima rasuah, tidak mesra-alam sekitar, tidak menjaga kebersihan, dan macam-macam lagi budaya hidup. 

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Ini semata-mata persepsi yang tidak tepat. Namun, di celah-celah persepsi ini saya percaya terdapat kebenarannya. Di mata saya ianya cukup jelas. Kalau takda angin, masakan pokok tu boleh bergoyangkan!

Kembali kepada isu pokok entri kali ini mari kita tekuni  petikan dari tulisan Nasreel Khalib,Illinois bertajuk 'Toleransi Agama: Selangor Malaysia vs Illinois USA' dalam ruangan pembaca Harakahdaily.net.

Moga ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari masyarakat Barat yang sedang ranap moralnya ini.
 
Mon | Sep 07, 09 | 3:31:20 pm MYT

"Dalam kita menerima kunjungan Ramadhan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan tindakan yang sangat menyedihkan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam dalam protes mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di syeksyen 23 Shah Alam. 

Mereka bertindak menghina agama Hindu dalam keadaan yang sangat ekstrem - sesuatu yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Tidak pernah kita diajar oleh Rasulullah agar menghina agama-agama lain.

Alasan yang dipersoalkan beberapa penduduk setempat sangat mudah, mengapa perlu dibina kuil di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu Islam.

Sebentar tadi saya membaca yang proses pemindahan kuil ini telah dibekukan disebabkan oleh kekecohan yang berlaku semasa sesi dialog diantara kerajaan negeri dan penduduk setempat.

Kebetulan pada ketika ini saya berada di bumi Amerika atas urusan kerja. Sudah hampir tiga bulan saya disini bersama keluarga.

Menyambut Ramadhan bersama penduduk minoriti Islam Des Plaines Illinois. Saya dapat melihat sesuatu yang amat 'ganjil' disini, di tengah-tengah bumi Amerika yang penduduk Islamnya tidak sampai 1%, tersergam masjid yang indah dan selesa.

Malah Masjid ini juga hanyalah beberapa ratus meter jaraknya dari sebuah gereja Katholik. Tidak pula kelihatan masyarakat Kristian disini berdemo dan membantah kewujudan Masjid disitu.

Malah apa yang lebih dikagumi ialah setiap kali waktu solat Jumaat, akan ada beberapa orang pegawai Polis 'mat saleh' bukan Islam yang akan mengawal lalulintas dan parking didalam kawasan Masjid.

Mungkin, itu perkara biasa, seminggu sekali. Tetapi apabila bermulanya Ramadhan, saya dapat melihat bagaimana mereka bertugas setiap malam. Kebetulan Ramadhan tahun ini berlangsung di hujung musim panas, maka waktu Isya'nya sedikit lewat dari Malaysia. Pegawai-pegawai Polis ini masih lagi bertugas menjaga lalulintas dan parking sehinggalah Terawikh tamat pada jam hampir 11.30 malam.

Keliru saya memikirkan situasi di sini apabila dibandingkan dengan situasi kuil di Shah Alam. Malu dengan perbuatan dan sikap segelintir umat Islam di Malaysia. Apakah mungkin masyarakat Kristian di Amerika ini lebih baik dari Umat Islam di Malaysia?

Dimanakah keadilan dan keindahan Islam yang ingin kita tonjolkan? Apakah mungkin masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam dalam situasi ini."

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Thursday, September 10, 2009

Tafsiran Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan

Kitab perlembagaan sarat teks undang-undang. Bahasanya agak umum dan kabur. Selain yang tersurat ia juga mempunyai sisi-sisi tersirat yang berlapis-lapis. Justeru teks undang-undang tidak mudah untuk difahami oleh orang awam.

Ini menjelaskan mengapa dokumen sepenting ini tidak menjadi bacaan orang awam. Ia hanya menjadi rujukan ilmiah pelajar undang-undang dan segelintir mereka yang berminat sahaja.

Entri kali ini ingin mengajak pembaca untuk memahami maksud tersirat satu teks undang-undang dalam kitab perlembagaan tersebut. Teks tersebut adalah Artikel 3 - Islam agama resmi persekutuan.

Tekuni tafsiran teks tersebut di blog Abu Nawas, selenggaraan Dr. Shamsuddin Moner El-Askarey.

Dengan pemahaman ini, wajarkah kursus pemahaman perlembagaan persekutuan dijadikan sebahagian dari silibus atau kurikulum pelajar IPT atau lebih baik lagi dimulakan di sekolah menengah ? 

Apa pendapat anda ?


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Wednesday, September 9, 2009

Akibat Menyentuh Perkara Sensitif secara Ekstrim

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya. Ini dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan persekutuan Bahagian 2 di bawah tajuk 'Kebebasan Asasi'.

Namun kebebasan ini tidaklah mutlak atau hampir mutlak sebagaimana diamal di negara Barat. Kebebasan ini terhenti pada perkara-perkara yang sensitif seperti agama, kaum, bahasa, hak istimewa Melayu, institusi Raja-raja Melayu. Sebagaimana semua maklum, semua perkara tersebut merupakan sebahagian daripada Kontrak Sosial yang mengikat seluruh rakyat negara ini.

Justeru, sebarang bentuk luahan secara terbuka seperti perbincangan dalam forum, demonstrasi, rapat umum, kempen politik dan sebagainya dalam nada mempertikai, memperlekeh apatah lagi menghina perkara-perkara yang tersebut tadi adalah dilarang sama sekali.

Pendek kata kebebasan bersuara di Malaysia hendaklah diiringi tanggungjawab dan dibuat secara berpada-pada mengikut konteks dan dalam ruang lingkup perlembagaan negara.

Larangan ini telah berkuat kuasa selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 bagi menjaga dan memelihara keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk di negara kita.

Larangan dan amaran yang mempunyai implikasi undang-undang ini bukan sahaja tertuju kepada masyarakat awam, NGO, dan institusi sosial lain bahkan meliputi ADUN dan ahli Parlimen semasa sidang DUN dan Parlimen berlangsung.

DUN dan Parlimen tidak lagi memberi kekebalan atau lesen (sebelum 1969 mereka mempunyai imuniti yang luas) kepada penggubal undang-undang ini untuk bercakap apatah lagi mendebatkan isu agama ini selain isu kaum, bahasa dan lain-lain lagi.

Undang-undang ini sangat penting bagi mengelakkan ketenteraman awam diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang chauvinistik, ekstrimis atau fanatik.

Oleh itu, kenyataan Pejabat Peguam Negara semalam 8 September untuk mendakwa beberapa penduduk Melayu Seksyen 23 Shah Alam kerana menghasut dilihat sejajar dengan maksud memelihara ketenteram awam dari api perkauman.

Berikut adalah sebahagian laporan Malaysiakini bertajuk 'Kepala Lembu : 12 didakwa esok':

"Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.

Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini."

"...mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis."

Semalam, peguam negara berkata mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi berkenaan akan didakwa menghasut.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Kira-kira 50 penunjuk perasaan meluahkan keberangan mereka di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam dengan ucapan berapi-api dan memijak kepala lembu yang diusung dari pintu masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut.

Mereka membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dari Seksyen 19 Shah Alam.

Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

Melalui kes ini - sebagaimana yang boleh kita baca dalam media lain, beberapa pengajaran boleh diambil.

Pertama, orang Islam juga tidak mempunyai kebebasan untuk menyentuh agama kaum lain dengan nada provokosi dan menghasut untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian orang awam terhadap kaum India.

Kontrak Sosial tidak sewajarnya dilihat lagi sebagai satu ingatan satu hala tetapi dua hala. Bukan sahaja orang bukan Islam dilarang mempertikai Islam, tetapi orang Islam juga diingatkan agar tidak melakukan perkara sama kepada agama lain.

Kedua, PDRM dan pejabat Peguam Negara menyiasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa memihak kepada orang Melayu. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang negara.

Ketiga, Akta Hasutan 1948 digunakan hanya dalam kes sensitif yang boleh mengancam ketenteraman awam dengan impak yang besar.

Keempat, emosi dan kejahilan tidak (pernah) boleh menyelesaikan masalah terutamanya dalam isu sensitif.

Kita semua patut kembali kepada undang-undang dan asas kenegaraaan Kontrak Sosial. Kebebasan bersuara tidak patut dijadikan alat atau alasan untuk membuat tuntutan bersifat perkauman.

Moga kerukunan dan keharmonian kaum di negara bertuah ini terus dipertahankan.


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Tuesday, September 8, 2009

Polis Tidak Kebal Undang-undang

Tiada siapapun bebas daripada membuat kesalahan hatta pihak polis sendiri. Kerana itu polis juga boleh diheret ke mahkamah untuk diadili sama ada tindakan mereka adalah betul, sah dan mengikut undang-undang atau tidak ketika melaksanakan tanggungjawabnya menjaga dan mengekalkan keselamatan awam jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kaedah yang digunakan semasa proses itu berlaku.

Bagi melaksanakan keadilan, hakim di mahkamah - cabang ketiga dalam amalan doktrin pengasingan kuasa - akan menilai semua keterangan dan bukti kes untuk membuat keputusan (judgement) without fear or favour

Sikap dan etika para hakim ini maha penting agar keadilan tidak tunduk kepada pihak pemerintah (eksekutif). Sebarang campur tangan dan tekanan pihak yang berpengaruh tidak boleh dibenarkan sama sekali. Di mata hakim semua pihak adalah sama. Prinsip no one is above the law akan dijunjung oleh mahkamah.

Laporan Harakahdaily, 7 September bertajuk 'Kerajaan setuju bayar RM50,000 gantirugi kepada Mustafa Ali' adalah testimoni kepada amalan prinsip keadilan ini.

Berikut adalah sebahagian laporan berita berkenaan:

"Polis dan kerajaan Malaysia mengaku bersalah kerana menahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS) di bangunan Parlimen hampir dua tahun lalu. 

Ekoran itu, mereka bersetuju membayar gantirugi kepada beliau sebanyak RM50,000 hari ini. 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini merekodkan persetujuan kerajaan itu kerana menahan beliau di bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007. 

Hakim P.S. Nathan merekodkan persetujuan itu ekoran saman yang dikemukakan oleh Mustafa kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia. 

Mustafa yang datang ke Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan untuk menolak cadangan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman. 

Beliau telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis. Di sana beliau telah ditahan selama tiga jam setengah mulai jam 1 hingga 4.30 petang. 

Mustafa diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Tuan Rosli Ahmad. 

Dalam insiden penangkapan itu, Mustafa telah diheret dengan kasar dan secara kurang ajar oleh dua orang polis."

Melalui kes ini, selagi kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara dipatuhi selagi itulah rakyat akan aman dari tindakan zalim dan melampau pihak berkuasa.

Justeru, dalam negara demokratik seperti Malaysia, rakyat tidak perlu berasa takut kerana ada saluran undang-undang untuk menegakkan keadilan apabila dirasakan wujudnya ancaman, penindasan atau perampasan hak oleh pihak lain.

Yang perlu ada pada kita sebagai rakyat ialah ilmu dan pemahaman undang-undang dan keberanian. Itulah prasyarat kepada tertegaknya keadilan berlunaskan undang-undang.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Monday, September 7, 2009

Jati Diri Melayu dari Kacamata Ilmiah

Apakah jati diri Melayu dari kacamata ilmiah ?

Sila tekuni bahan berikut bertajuk Jati Diri Melayu dari blog Bahasa dan Budaya selenggaraan Profesor Abdullah Hasan, UPSI untuk memahami keperibadian orang Melayu.

Tulisan ringkas Prof Abdullah ini merujuk kajian orientalis Barat dan sarjana tempatan sebelum disimpulkan makna jati diri Melayu.

Antara isi pokok tulisan ini adalah bagaimana jati diri Melayu dipengaruhi nilai dan cara hidup penjajah Barat. Berikut adalah sebahagian petikan tulisan Prof. Abdullah :

"Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita.

Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisikan diri dan dunia kita sendiri."

Dapatkah anda kaitkan dengan sikap xenosentrisme Melayu hingga kumpulan etnik ini mengamalkan budaya tiruan atau jajahan (Bab 2 Budaya) ?

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Perpaduan Sekadar Retorik ?

Malaysia dibanggai kerana masyarakat majmuknya hidup dalam keadaan harmoni. Biarpun pernah berlaku tragedi berdarah kerana rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan terbaru Peristiwa Kg Medan 2001 lalu namun kehidupan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya masih lagi didefinisikan oleh sikap tolak ansur, saling hormat menghormati dan faham memahami.

Di samping itu, alat kawalan sosial seperti undang-undang (Akta Hasutan 1948 dan ISA 1960) turut berperanan dalam mengekalkan keamanan awam di negara ini. Ia menjadi jalan terakhir apabila nasihat dan amaran pihak berkuasa tidak lagi dipatuhi oleh pihak yang sudah dirasuk emosi dan kemaruk kuasa.

Adakah anda bersetuju dengan pandangan di atas ?

Terpulang kepada penilaian masing-masing. Pengetahuan melalui kajian, pengalaman dan pendedahan sosial dan sikap yang terbentuk selama ini menentukan aliran atau mazhab pandangan yang kita dokong.

Untuk mencetus perbincangan kritis, pendapat berikut dari seorang tokoh akademik Cina yang mewakili aliran sederhana boleh menjadi bahan awal pemikiran kita. 

Profesor Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM menyatakan :

"Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik. Perlu ada interaksi yang kerap dan tulen sifatnya supaya ada semangat kenal-mengenali. Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalahnya. Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya".

Dengan kata lain, Profesor Teo menyimpulkan bahawa perpaduan di kalangan masyarakat majmuk hanyalah bersifat kosmetik atau superficial.

Wawancara penuh boleh dibaca dari arkib Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009 bertajuk 'Perpaduan kaum hanya retorik'.

Sebagai pelajar bagaimana situasi di atas boleh di atasi bagi mengelakkan terjadinya 'api dalam sekam' dalam hubungan inter-etnik di negara kita? 

Bolehkah kita menganggap bahawa masih wujud sikap 'bagai enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing' di kalangan kumpulan etnik tertentu? 

Untuk menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh bersandarkan kepada persepsi popular atau pun persepsi pinggiran. Pandangan dan komentar di dalam media alternatif seperti blog atau laman sesawang hendaklah dibaca dengan berhati-hati. Ia boleh dibaca tetapi tidak boleh disandarkan sebagai hujah ilmiah kerana ia sarat prejudis personal, emosi dan sangat tidak objektif.

Kita perlu mengusul periksa dari sumber yang autentik agar tidak terjebak ke dalam perangkap maklumat pincang (bias information). 

Sebagai pelajar tugas andalah untuk meneliti dan menapis bahan-bahan yang dirujuk agar hanya bahan-bahan terpilih sahaja diguna untuk mendirikan premis untuk mencapai kesimpulan yang konklusif.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

'Agree To Disagree' : Sikap dan Prinsip Muhibbah

Kemelut dalam isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam jelas memperlihatkan agama adalah isu yang sangat sensitif di negara kita. Ia menjadi salah satu ujian atau mehnah terbesar kepada amalan toleransi beragama di kalangan orang Islam dengan rakan senegaranya, orang bukan Islam.

Bagi orang Melayu sendiri pantang datuk nenek moyang mereka jika ada pihak yang cuba menyentuh tentang agama mereka (Islam). Sesiapa yang cuba mempertikai, meremeh apatah lagi menghina akidah Islam ibarat menjolok sarang tebuan. Padahlah jawabnya!

Saya percaya bagi orang Hindu, Buddha dan Kristian mereka juga sensitif apabila kepercayaan dan amalan agama mereka diremeh dan dihina. Agama adalah jiwa nurani suatu bangsa. Ia roh kehidupan masyarakat. Justeru, ia wajib dipertahankan dengan apa cara sekalipun apabila adanya ancaman dari luar.

Namun, dalam banyak situasi orang Melayu dikatakan ekstra-sensitif apabila bercakap soal-soal agama. Di Malaysia sikap ini begitu diserlah oleh orang Melayu.

Atas alasan inilah maka isu agama dianggap sebagai perkara yang tidak boleh dibincang secara terbuka. Walaupun fitrah agama itu baik dan mengajak kepada perdamaian, ia juga boleh menjadi sebab kepada pertelingkahan dan wujudnya sentimen benci membenci.

Bagaimana ini boleh berlaku ?

Alasannya ialah wujudnya penganut agama yang ekstrim atau fanatik. Golongan ini tidak boleh menerima idea atau pandangan orang lain. Sikap mereka menonjolkan amalan agama yang rigid atas nama mereka sebagai kumpulan yang superior dan dominan.

Satu contoh kepada sikap yang keras dan tidak menghormati pihak berkuasa dan rakan minoriti yang lain ialah semasa majlis dialog isu kuil di Shah Alam. Harakahdaily dalam laporan 5 September bertajuk 'Dialog tidak bertamadun: Selangor tangguhkan pemindahan kuil' menonjolkan sisi buruk segelintir penduduk Islam apabila berhadapan dengan isu agama.

Tanpa prejudis dan meremehkan kecintaan mereka terhadap Islam, pada hemat saya dialog tersebut wajar dilakukan dalam suasana muhibbah. Amarah tidak boleh dikemuncakkan dengan sikap tidak rasional, ucapan caci maki dan sarat penghinaan.  

Kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dalam kemelut ini iaitu kerajaan negeri, penduduk Melayu Syeksen 23 dan orang India minoriti di situ wajarlah menukar sikap. Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila sepanjang masa kemelut ini diisi oleh tuduh menuduh, maki hamun antara satu sama lain. Apapun alasan yang diberikan ia perlu mengambil kira semua aspek.

Antara aspek pokok yang tidak boleh dikesampingkan ialah kebebasan beragama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikel 3 perlembagaan persekutuan hendaklah diterjemahkan dengan penuh hikmah.

Namun, seperkara lagi, ia hendaklah 'dibaca' sekali dengan kefahaman teras atau induk kenegaraan Malaysia iaitu Melayu dan Islam adalah dilindungi dan diberikan keistimewaan, sejajar dengan kedudukannya sebagai agama resmi Persekutuan. Maka tidak wajar juga apabila kata-kata berikut dikeluarkan untuk menjustifikasi hak menubuhkan rumah ibadah kita.

Malaysiakini melaporkan  "Bercakap soal toleransi kaum, R Gunaretinam kemarahan penduduk Melayu kerana berkata, setiap rumah kawasan mempunyai surau dan masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.

"Kita boleh terima azam lima kali sehari," katanya, disambut bantahan besar hadirin dalam majlis itu yang bangun dan menjerit beliau berhenti berucap.

Rupa-rupanya kita masih perlu belajar untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain.  Sebaiknya episod kali perlu dijadikan teladan dan sempadan untuk mencelikkan kita agar belajar untuk 'agree to disagree' tanpa perlu menggadai prinsip dan kepercayaan masing-masing.

Prinsip 'agree to disagree' merujuk kepada :

"... to a situation where two or more people or groups of people resolve conflict by reaching an agreement whereby both sides tolerate but do not accept the views, opinions or position of the other side. Both sides typically "agree to disagree" where they recognise that further conflict is unnecessary, ineffective or otherwise undesirable. They may also remain on amicable terms while continuing to disagree. "Agreeing to disagree" is a common phrase in English which may be better described as a situation where the parties agree that they disagree."

Tidakkah dengan mengamalkan sikap dan prinsip ini rasa muhibbah akan terpupuk dengan lebih baik sesama kita ?

Sewajarnya begitu kerana selama ini kita lebih suka apabila idea dan pandangan kita diterima orang lain, tidak sebaliknya. Kita perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa kita boleh berbeza pendapat - kerana berfikiran kritis - untuk mencari idea atau pilihan terbaik.

Isu kali ini benar-benar menguji sikap toleransi beragama kita, khususnya orang Melayu-Islam. Menyelesaikan isu ini menjadi sangat rumit kerana sensitivitinya. Orang tua kita mengingatkan bila berdepan dengan isu serumit ini ibarat 'menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung juga tidak berselerak'.

Moga petunjukNya di bulan penuh barakah ini mencelikkan kita semua kepada kebenaran sebagai asas penyelesaian isu ini.

Tiada siapa boleh kalah dalam isu ini. 

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Thursday, September 3, 2009

Raja Pelindung Rakyat

Peranan Sultan atau Raja Melayu sebagai pelindung kesejahteraan rakyat semakin terserlah sejak akhir-akhir ini berikutan wujudnya ancaman kepada keharmonian kaum di negara kita. Walaupun mereka bukan lagi pemerintah (eksekutif) sebenar sebagaimana di era Melayu klasik dahulu, namun Raja Melayu masih ada pengaruhnya dalam bidang atau sisi penting masyarakat.

Dalam situasi tertentu, sultan atau raja Melayu akan memberikan peringatan atau teguran kepada rakyat mahupun kerajaan (pemerintah) agar sentiasa patuh kepada perlembagaan dan saling hormat menghormati antara kaum sebagai pra-syarat untuk mencapai kerukunan dalam masyarakat majmuk.

Lazimnya teguran ini dihormati oleh semua pihak. Ini kerana selaku tunggak kepada kerajaan, sultan atau raja Melayu adalah pihak yang non-partisan dan sentiasa adil kepada semua tanpa memilih kasih.

Sikap keprihatinan dan ambil berat ini dinyatakan dalam ucapan-ucapan baginda sultan atau raja Melayu sempena majlis sambutan hari keputeraan atau majlis rasmi lain.

Yang terbaru ialah ucapan Raja Perlis sempena sambutan kemerdekaan ke-52 negara di Kangar Perlis, sebagaimana yang dilaporkan BERNAMA bertajuk 'Raja Perlis Bimbang Ancaman Perosak Perpaduan ' pada 1 September lalu.

Cuba anda kaitkan dengan tajuk '3 kumpulan minoriti berpengaruh' yang menjadi penghalang perpaduan rakyat , sub-tajuk Bab 3 Hubungan Etnik. 

Mungkinkah teguran Raja Perlis juga disasarkan kepada salah satu daripada 3 kumpulan minoriti ini?

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

The White Man's Burden versus 3 G

Penjajahan adalah aktiviti kuasa Eropah pada abad 16 - 20 Masihi ke atas negara-negara Timur atau Asia bagi mencapai matlamat 3 G ; iaitu gold (ekonomi), glory (politik) dan god/gospel (dakwah kristian). 

Untuk itu semua kuasa penjajah Barat ini adalah manipulatif atau eksploitatif. Namun bagi mengaburi pandangan dunia, mereka sering menggunakan alasan bahawa kedatangan mereka ke dunia bukan Barat adalah kerana menunaikan tanggungjawab bangsa bertamadun. Mereka berselindung di sebalik alasan yang dikenali sebagai 'The White Man's Burden'.

Mereka membawa obor kemajuan untuk mencerahkan kehidupan masyarakat bukan Barat yang masih 'bergelap' dengan sistem pemikiran, kepercayaan, pegangan, anutan dan cara hidup yang kolot, mundur atau primitif. 

Maka dengan tujuan semurni ini mereka cuba membantu masyarakat tempatan atau natif yang mereka jajahi mencapai kemajuan hidup seperti mereka.

Mengikut Herbert Luthy dasar koloninialisme diganding dengan proses pemodenan, telah mencetuskan “a world revolution” dan menjadi punca “for the maturation of non-western cultures”.

Manakala Cecil Rhodes, pengasas imperialisme moden pula dengan sikap etnosentrismenya berkata “Kita adalah ras tertinggi di dunia, maka makin luas bumi yang kita duduki, makin baik umat manusia.”

Apakah tujuan ini benar ? Apakah yang sebenarnya telah berlaku sepanjang tempoh penjajahan kuasa Barat ke atas negara Timur atau Asia? Adakah selepas kemerdekaan negara yang dijajah, berlakulah proses pencerahan atau kemajuan sehebat negara Barat sebagaimana didakwa.

Dalam hal ini Auni Hj Abdullah dalam bukunya bertajuk 'Tradisi, Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu' terbitan Darul Fikir, 2007 di halaman 76 menyatakan penjajah Barat ini :

“…memaksakan nilai-nilai kehidupan Barat, pemikiran Barat, kemahiran teknologi Barat, dan sejarah Barat. Sesungguhnya apa yang sebenarnya berlaku ialah proses membaratkan atau mengeropahkan anak-anak jajahan dengan tujuan memudahkan penjajah menjalankan segala kemahuan mereka serta dapat membantu dalam usaha mengekalkan kesinambungan cengkaman pengaruh mereka.” 

Hakikatnya penjajahan adalah usaha terancang kuasa hegemoni dunia yang manipulatif ke atas kaum pribumi (natif) bukan Barat. Kesan jangka jauh walaupun selepas kemerdekaan tanah jajahan ialah imperialisme budaya iaitu “… a process of cultural self liquidation”

Dengan mengkaji secara objektif impak dan cara hidup masyarakat Asia atau Timur yang telah dijajah kita akan menemukan jawapan dan realiti kepada persoalan di atas. 

Dalam kajian tersebut cuba ukur dan kesan corak dan sistem politik (terutamanya), sosial dan ekonomi negara bekas jajahan kuasa Barat.

Maklumat dan data yang diperolehi akan menjurus kepada fakta bahawa wujudnya pengaruh kuasa Barat ke atas masyarakat peribumi dalam hampir semua sisi kehidupan mereka.

Boleh anda senaraikan kesan-kesan tersebut secara lebih terperinci?

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Wednesday, September 2, 2009

Ujian 1 MPW1133 Ditunda

Diumumkan bahawa Ujian 1 Kursus Pengajian Malaysia MPW1133 yang dijadualkan pada pertengahan September ini telah ditunda ke awal Oktober iaitu selepas cuti Raya 'Eidil Fitri. Tarikh sebenar akan dimaklumkan kemudian. 

Semua calon ujian ini dikehendaki membawa nota Jilid 1 MPW1133 masing-masing (yang ori iaitu bertanda cop hijau 'Galeri Ilmu') sebagai syarat masuk ke dewan peperiksaan.

Penyelaras Kursus MPW1133 Uniti

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...