Sunday, January 29, 2012
Yang Lama Itu Tidak Lagi Dikelek, Yang Baharu Saja Terus Dijunjung
Tidak boleh dinafikan - akibat proses pemodenan dan dipacu oleh jentera pensegajatan Barat seperti kecanggihan dan kemudahan teknologi maklumat dan peranan media massa - generasi pasca merdeka makin menipis patriotismenya. Generasi baru ini khasnya remaja dan belia hari ini sudah kurang mengenali pusaka bangsanya dan semakin hilang sifat jati diri. Yang lama tidak lagi dikelek, yang baharu saja yang terus didukung.
Bacalah tulisan sarjana mengenai globalisasi dan kesan akibatnya serta amaran para alim ulama dan budayawan tentang ancaman dari Barat (khususnya) yang sedang berusaha - secara halus - menjajah pemikiran dan menakluk jiwa halus bangsa Timur dan beragama melalui gerak kerja 24/7 al ghazwu al-fikr selepas kegagalan kuasa Kristian Eropah terhadap kuasa hijau Islam dalam Perang Salib selama kira-kira 200 tahun dari abad ke 11 - 13 M lalu.
Pada masa sama carilah lagi ilmu dan maklumat mengenai gerakan terancang golongan yang anti-Islam melalui tulisan ulama tentang kegiatan orientalisme yang tidak habis-habis berusaha memesong dan memomokkan Islam dan penganutnya. Kelak kita akan faham bahawa benarlah kalam Allah bahawa bahawa orang Yahudi dan Nasara tidak pernah akan redha dengan kita sehingga kita mengikut millah (cara hidup) mereka.
Monday, September 7, 2009
Jati Diri Melayu dari Kacamata Ilmiah
Apakah jati diri Melayu dari kacamata ilmiah ?
Sila tekuni bahan berikut bertajuk Jati Diri Melayu dari blog Bahasa dan Budaya selenggaraan Profesor Abdullah Hasan, UPSI untuk memahami keperibadian orang Melayu.
Tulisan ringkas Prof Abdullah ini merujuk kajian orientalis Barat dan sarjana tempatan sebelum disimpulkan makna jati diri Melayu.
Antara isi pokok tulisan ini adalah bagaimana jati diri Melayu dipengaruhi nilai dan cara hidup penjajah Barat. Berikut adalah sebahagian petikan tulisan Prof. Abdullah :
"Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita.
Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisikan diri dan dunia kita sendiri."
Dapatkah anda kaitkan dengan sikap xenosentrisme Melayu hingga kumpulan etnik ini mengamalkan budaya tiruan atau jajahan (Bab 2 Budaya) ?
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009