Showing posts with label Kontrak Sosial. Show all posts
Showing posts with label Kontrak Sosial. Show all posts

Friday, April 2, 2010

Kedudukan Melayu dalam 1Malaysia dan Malaysian Malaysia

Konsep 1Malaysia tajaan Datuk Seri Najib membawa mesej keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang etnik dan agama. Ia adalah gagasan sosial yang besar dalam usaha mewujudkan bangsa-Malaysia. Dengan slogannya 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' dan kempen berterusan di media ia telah mencuri perhatian dan juga hati rakyat Malaysia.

Namun, di pihak tertentu konsep ini ada kelemahannya. Bagi orang Melayu (di luar lembaga pemerintah tentunya) konsep ini diragui kerana dilihat mirip konsep Lee Kuan Yew 50 tahun dulu iaitu Malaysian Malaysia. Generasi muda mungkin tidak tahu apatah lagi memahami intisari konsep tersebut dan implikasinya jika ia diterima oleh rakyat Tanah Melayu dan kemudian menjadi dasar atau undang-undang negara dalam perlembagaan Persekutuan.

Sunday, March 14, 2010

Jawatan PM - Antara Undang-undang dan Tradisi

Dato' Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri Malaysia ke-6. Sebagaimana 5 orang Perdana Menteri terdahulu, beliau adalah seorang Melayu dan beragama Islam.

Semenjak era Tunku Abdul Rahman lagi,  jawatan Ketua Menteri (selepas PRU 1955 utk kabinet pertama) dan kemudian Perdana Menteri pasca-1957 hinggalah sekarang jawatan Ketua Eksekutif Malaysia ini seakan milik warganegara berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adakah ini mempunyai asas undang-undang di sisi perlembagaan?

Wednesday, September 9, 2009

Akibat Menyentuh Perkara Sensitif secara Ekstrim

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya. Ini dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan persekutuan Bahagian 2 di bawah tajuk 'Kebebasan Asasi'.

Namun kebebasan ini tidaklah mutlak atau hampir mutlak sebagaimana diamal di negara Barat. Kebebasan ini terhenti pada perkara-perkara yang sensitif seperti agama, kaum, bahasa, hak istimewa Melayu, institusi Raja-raja Melayu. Sebagaimana semua maklum, semua perkara tersebut merupakan sebahagian daripada Kontrak Sosial yang mengikat seluruh rakyat negara ini.

Justeru, sebarang bentuk luahan secara terbuka seperti perbincangan dalam forum, demonstrasi, rapat umum, kempen politik dan sebagainya dalam nada mempertikai, memperlekeh apatah lagi menghina perkara-perkara yang tersebut tadi adalah dilarang sama sekali.

Pendek kata kebebasan bersuara di Malaysia hendaklah diiringi tanggungjawab dan dibuat secara berpada-pada mengikut konteks dan dalam ruang lingkup perlembagaan negara.

Larangan ini telah berkuat kuasa selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 bagi menjaga dan memelihara keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk di negara kita.

Larangan dan amaran yang mempunyai implikasi undang-undang ini bukan sahaja tertuju kepada masyarakat awam, NGO, dan institusi sosial lain bahkan meliputi ADUN dan ahli Parlimen semasa sidang DUN dan Parlimen berlangsung.

DUN dan Parlimen tidak lagi memberi kekebalan atau lesen (sebelum 1969 mereka mempunyai imuniti yang luas) kepada penggubal undang-undang ini untuk bercakap apatah lagi mendebatkan isu agama ini selain isu kaum, bahasa dan lain-lain lagi.

Undang-undang ini sangat penting bagi mengelakkan ketenteraman awam diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang chauvinistik, ekstrimis atau fanatik.

Oleh itu, kenyataan Pejabat Peguam Negara semalam 8 September untuk mendakwa beberapa penduduk Melayu Seksyen 23 Shah Alam kerana menghasut dilihat sejajar dengan maksud memelihara ketenteram awam dari api perkauman.

Berikut adalah sebahagian laporan Malaysiakini bertajuk 'Kepala Lembu : 12 didakwa esok':

"Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.

Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini."

"...mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis."

Semalam, peguam negara berkata mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi berkenaan akan didakwa menghasut.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Kira-kira 50 penunjuk perasaan meluahkan keberangan mereka di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam dengan ucapan berapi-api dan memijak kepala lembu yang diusung dari pintu masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut.

Mereka membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dari Seksyen 19 Shah Alam.

Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

Melalui kes ini - sebagaimana yang boleh kita baca dalam media lain, beberapa pengajaran boleh diambil.

Pertama, orang Islam juga tidak mempunyai kebebasan untuk menyentuh agama kaum lain dengan nada provokosi dan menghasut untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian orang awam terhadap kaum India.

Kontrak Sosial tidak sewajarnya dilihat lagi sebagai satu ingatan satu hala tetapi dua hala. Bukan sahaja orang bukan Islam dilarang mempertikai Islam, tetapi orang Islam juga diingatkan agar tidak melakukan perkara sama kepada agama lain.

Kedua, PDRM dan pejabat Peguam Negara menyiasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa memihak kepada orang Melayu. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang negara.

Ketiga, Akta Hasutan 1948 digunakan hanya dalam kes sensitif yang boleh mengancam ketenteraman awam dengan impak yang besar.

Keempat, emosi dan kejahilan tidak (pernah) boleh menyelesaikan masalah terutamanya dalam isu sensitif.

Kita semua patut kembali kepada undang-undang dan asas kenegaraaan Kontrak Sosial. Kebebasan bersuara tidak patut dijadikan alat atau alasan untuk membuat tuntutan bersifat perkauman.

Moga kerukunan dan keharmonian kaum di negara bertuah ini terus dipertahankan.


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Sunday, August 23, 2009

Melayu adalah Induk Kenegaraan Malaysia

Ruang wawancara dalam Mingguan Malaysia hari ini sangat baik menjadi bahan bacaan khususnya pelajar Pengajian Malaysia. .Tajuknya adalah 'Melayu dalam Perlembagaan', telah dikupas dengan panjang lebar oleh mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Ia kena pada masanya untuk menjelaskan sisi-sisi penting mengenai teras keneagaraan negara ini di sisi perlembagaan yang telah diserongkan oleh pihak-pihak yang chauvinistik dan oputunistik terhadap kelemahan pihak kerajaan lebih-lebih lagi pasca-PRU ke 12 lalu.

Semua rakyat Malaysia mesti memahami bahawa induk negara ini adalah Melayu dan apa yang berkaitan dengannya. Kenyataan ini sesekali tidak berhasrat mengenepikan kepentingan sah kaum Cina dan India. Jika ini dilihat sebagai suatu ungkitan sejarah, maka ia wajar kerana ramai yang telah atau sengaja ingin menghapuskan fakta sejarah ini.

Menurut mereka Malaysia tidak boleh didefinisikan oleh sejarah silam tetapi oleh sumbangan semua kaum. Adapun demokrasi perlu menjadi sepenuhnya asas paradigma kenegaraan Malaysia.

Saya turunkan muqaddimah wawancara tersebut di bawah untuk menarik perhatian pembaca semua. Selebihnya boleh dibaca di sini.

SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu. 

Mereka menuntut kedudukan yang sama dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.

Ada pihak yang mempertikaikan kenapa orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.

Pertikaian tentang hak keistimewaan orang Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam Perlembagaan menyebut tentang hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak mendiskriminasi kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua pihak.

Kita juga memberikan pengkelasan yang tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menjadi tonggak di negara ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.

“Saya syorkan kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Khamis lalu.


-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Wednesday, August 19, 2009

Kontrak Sosial versus Blog dan Web

Isu kontrak sosial masih terus diperkatakan. Ia kini menjelma menjadi polemik yang membahayakan.

Sikap kerajaan yang lebih terbuka dan liberal, terutamanya pasca PRU-12 dan percambahan media baru yang bersifat maya seperti website dan blog, menyebabkan perkara-perkara sensitif dalam kontrak sosial disentuh secara terbuka dan berani. Malangnya perbincangan tersebut telah mula bertukar kepada debat emosi yang sarat caci maki, hina menghina, kutuk mengutuk antara satu sama lain. (Klik di sini untuk mendapatkan gambaran polemik emosi oleh kumpulan rasis anti-kontrak sosial). Ini tidak lagi waras!

Dulu gejala ini tidak begitu ketara. Jika ada pun yang 'terlanjur' dari kalangan ahli politik pemerintah ia diselesaikan di meja rundingan atas semangat Barisan Nasional. Atau kerana tak makan sama pihak yang berkenaan 'dipeti sejukkan' di Kem Kemunting jika perlu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tentulah tindakan pihak berkuasa itu memberi mesej tegas untuk golongan rasis atau chauvinis ini kecut perut.

Kita patut berasa bimbang dengan perkembangan ini. Ia tidak sihat kepada iklim sosial dalam masyarakat kita. Di usia 52 tahun kemerdekaan negara ini, sepatutnya kita telah lebih akrab dan saling hormat menghormati. 

Bagaimana masalah ini dapat ditangani ?

Semua pihak bertanggungjawab menanganinya. Namun, sebagai pihak yang mempunyai kuasa, kerajaanlah yang mesti memainkan peranan terbesar. Rakyat, NGO dan yang lain-lain akan menurut dan patuh kepada arahan kerajaan demi kemakmuran negara ini.

Peranan kerajaan ini telah mula ditunjukkan melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya. Terbaru dalam laporan Malaysiakini 19 Ogos, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri  Hishammudin menyatakan kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan "menyekat capaian kepada blog dan laman web" yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Selanjutnya dari laporan yang sama :

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada. 

"Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini." 

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi. 

"Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara," kata Hishammuddin lagi. 

Kita harap selepas ini dasar atau undang-undang yang sedia ada dilaksana dan dikuatkuasakan apabila individu atau kumpulan yang rasis tersebut terus melakukan keterlanjuran menyentuh perkara-perkara sensitif dalam kontrak sosial melalui ruang maya di blog atau media elektronik lain.

Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, bahasa yang orang akan mudah faham ialah bahasa undang-undang - yang dikuatkuasakan.

Rakyat Malaysia perlu kritis terhadap apa yang mereka baca, dengar, lihat dan alami agar tidak mudah dipengaruhi dan dieksploitasi untuk kepentingan politik golongan rasis.

Bersama kerajaan yang bertanggungjawab, kita semua mesti menoktahkan debat emosi tentang Kontrak Sosial ini. 

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Friday, August 7, 2009

Wasiat Raja-raja Melayu untuk Rakyat Malaysia

Sistem politik negara kita adalah unik. Ini kerana ia mengamalkan dua sistem pemerintahan. Pertama, sistem demokrasi. Kedua, sistem monarki. Kedua-dua sistem ini berjalan dengan fungsi dan tanggungjawab masing-masing untuk menjamin kelangsungan negara ini sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Dalam situasi harian (day to day basis) negara diperintah sebuah kerajaan awam hasil pilihan majoriti rakyat. Menurut Abraham Lincon, 'kerajaan ini adalah dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat'. Prinsip ini melandasi pemerintahan demokrasi negara kita.

Pemerintahan oleh rakyat ini adalah jelas di mata kita semua. Manakala Raja-raja pula dilihat sebagai pemerintah secara nominal sahaja.

Namun kenyataannya kuasa kerajaan sebagai eksekutif masih dibatasi oleh perlembagaan dalam hal-hal tertentu. Kerajaan tiada kuasa mutlak dan boleh memuktamadkan semua perkara di negara ini.

Apakah maksud kenyataan ini ?

Kerajaan atau eksekutif yang juga sebahagian daripada badan pembuat undang-undang (legaslative body) di Parlimen (atau DUN di peringkat negeri) tidak boleh membuat dasar atau menggubal akta (atau enakmen atau ordinan) apabila ia menyentuh tentang kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, agama Islam dan hal-hal lain berkaitan.

Mengapa ini berlaku sedangkan kerajaan demokratik mendapat mandat untuk menggubal undang-undang demi mewujudkan keadilan dan mencapai kemakmuran negara ?

Ini disebabkan perkara-perkara yang disebutkan tadi adalah di bawah jagaan Majlis Raja-raja. Perkara tersebut yang diletakkan sebagai perkara sensitif juga merupakan sebahagian daripada apa yang selalu disebut sebagai Kontrak Sosial.

Dengan kata lain, Raja-raja Melayu sebenarnya mempunyai kuasa tertentu yang perlu dirujuk oleh pihak kerajaan untuk mendapat perkenan atau restu sebelum undang-undang yang ingin digubal, dipinda apatah lagi dimansuhkan diluluskan oleh badan perundangan negara iaitu Parlimen.

Perkara ini menjadi lebih jelas lagi apabila Raja Nazrin Shah bertitah semalam dalam majlis pelancaran tiga buku allahyarham Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena seminar antarabangsa legasi pemikiran pemikir itu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Titah ucapan itu menyorot 'Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu'  (laporan Malaysiakini, 6 Ogos) semasa Raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 5 Ogos 1957.

Raja Nazrin menyatakan semula tujuh wasiat tersebut adalah :

Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain.(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Diturunkan berikut sebahagian lagi laporan Bernama yang dipetik Malaysiakini mengenai perkara di atas.

Menurut Bernama, baginda bertitah wasiat sembilan Raja Melayu – yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu – disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

Titah ucapan dari seorang kerabat istana Perak di atas adalah kena pada tempatnya di kala negara dilanda percubaan banyak pihak untuk mendefinisikan semula sistem kenegaraan Malaysia atas nama hak asasi, demokrasi dan keadilan sejagat.

Ia adalah satu peringatan tentang perjanjian lama dan pengorbanan penduduk asal Tanah Melayu menjelang penubuhan sebuah negara merdeka 1957. Generasi baru hari ini perlu dicelikkan mengenai fakta ini. 

Penjelasan di atas telah memahamkan kita mengenai konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. 

Tidak seperti negara demokrasi lain apatah lagi negara republik seperti Singapura, sistem yang diamalkan di negara kita suatu yang unik kerana Raja dan rakyat berganding bahu memerintah negara ini.

Benarlah sejarah dan warisan silam masih ada pengaruh ke atas sebuah negara moden Malaysia hinggalah ke hari ini.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Wednesday, August 5, 2009

Masyarakat Majmuk dan Kontrak Sosial

Pengenalan

Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan etnik. Ada etnik Melayu, suku kaum Asli, Cina, India dan lain-lain minoriti. Kerana itu masyarakat Malaysia disifatkan sebagai majmuk. Istilah lain yang mirip atau berkaitan dengannya ialah heterogen atau plural.

Sifat majmuk ini lebih ketara berbanding masyarakat negara jiran Malaysia seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Singapura juga mencerminkan masyarakat majmuk kecuali ia tidak mempunyai etnik bumiputera dari kalangan orang asli.

Namun sifat majmuk ini bagi negara kita bukanlah suatu yang wujud secara semulajadi. Ia adalah suratan takdir yang dizinkan Ilahi apabila imperialis Inggeris menjajah Tanah Melayu mulai abad ke-18 Masihi. Maknanya jika tidak berlaku penjajahan takdir yang berlaku ialah bumi Tanah Melayu didiami oleh kaum Melayu dan bumiputera sahaja. Ini menjadikan masyarakat Tanah Melayu hampir homogen.

Kaum Cina dan India asalnya adalah imigran dari Tanah besar Cina dan benua India masing-masing. Mereka dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk memenuhi keperluan ekonomi Inggeris.

Sejak kemasukan mereka ke Tanah Melayu keturunan dan populasi mereka terus meningkat. Apabila Tanah Melayu merdeka kaum imigran ini telah diterima menjadi warganegara Tanah Persekutuan Tanah Melayu. 

Ini adalah hasil proses perundingan dan 'tawar menawar' antara semua kaum utama dan kumpulan minoriti semasa Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid 1956.

Realiti Masyarakat Tanah Melayu pasca-1957

Secara amnya, selepas merdeka 1957, masyarakat Tanah Melayu (kini Malaysia) dibahagikan kepada Melayu/Bumiputera dan bukan bumiputera. Bagi kaum Melayu ia dianggap sebagai kaum induk berdasarkan fakta sejarah. Bersama dengan bumiputera Sabah dan Sarawak, ia membentuk kaum majoriti di Malaysia.

Hubungan antara kumpulan masyarakat ini diatur dan didefinisikan oleh apa yang selalu disebut sebagai Kontrak Sosial. Di sisi perlembagaan, perkara ini dinyatakan secara jelas. Misalnya dalam Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 - antara 'rukun' yang menjadi tunggak kepada bangsa induk di Tanah Melayu.

Manakala kepentingan kaum bukan Melayu pula dijamin di sisi perlembagaan dan dijaga oleh YDPA- juga menurut Perkara 153 (dibaca secara penuh).

Mengapakah masyarakat Tanah Melayu yang majmuk ini perlukan Kontrak Sosial ?

Ada sebab sejarah yang perlu dipelihara agar kelangsungan Malaysia sebagai tanah tumpah orang Melayu/Bumiputera sebagai kaum natif dan hal-hal berkaitan dengannya terus kekal tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Dari sudut sosiologi pula, masyarakat majmuk tidak serupa dengan masyarakat yang homogen. Banyak sisi dalam kehidupan masyarakat majmuk yang berbeza yang memerlukan kawalan undang-undang - selain pendidikan yang bersifat kebangsaan - untuk mewujudkan perpaduan dan rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Semua kaum - atas nama rakyat Malaysia - berhak mendapat segala kemudahan asas dan peluang ekonomi. Tidak wujud warganegara kelas kedua. Semua kaum wajib dilayan dengan saksama.

Namun kerana persaingan yang tidak boleh dielakkan bagi merebut peluang ekonomi (terutamanya) yang sama, di tempat yang sama, dasar atau undang-undang tertentu perlu digubal bagi mengelakkan monopoli suatu kaum dan seterusnya mencetuskan perasaan tidak puas hati ekoran pembahagian kekayaan negara yang tidak sama rata.

Justeru, prinsip survival of the fittest yang sekarang menjelma sebagai dasar meritokrasi tidak boleh terpakai begitu sahaja tanpa mengambil kira kedudukan dan status sosio-ekonomi kaum-kaum di Malaysia.

Cuma satu konsep yang perlu difahami dengan jelas di sini ialah adil iaitu meletakkan suatu pada tempatnya. Konsep ini tidak sama bahkan bertentangan dengan konsep sama rata - yang kini diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini atas nama hak dan kebebasan asasi.

Cabaran ini bertambah besar selepas PRU ke-12 apabila pihak pembangkang berjaya menguasai 5 buah negeri dan mengurangkan majoriti 2/3 dominasi Barisan Nasional di Parlimen.

Bahkan dengan konsep 1Malaysia yang kini sedang dimasyhurkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak pun, peluang untuk menuntut hak sama rata ke atas semua kaum termasuk kaum minoriti semakin menjadi-jadi.

Golongan opurtunis dan chauvinis akan merebut peluang ini walaupun terpaksa meminggirkan Kontrak Sosial 1957.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Thursday, July 16, 2009

Perkara 11 (4) - Dakwah Bukan Islam kepada Khalayak Islam Ditegah!

Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam adalah agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.

Namun berbanding agama-agama lain Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang.Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang. Pengecualian diberikan kepada penyebaran syiar dan dakwah Islam.

Sebab itulah berita dan perkembangan syiar Islam disiarkan media dengan meluas dan terbuka. Manakala institusi Islam seperti Majlis agama Islam negeri, agensi berasaskan Islam di bawah naungan kerajaan, siaran radio Islam IKIM.fm dan lain-lain lagi dibenarkan beroperasi dalam ruang lingkup negeri dan nasional. Sesiapapun tidak boleh mempertikai perkara ini kerana ia adalah terjemahan kepada maksud Perkara 3, dan Perkara 11 perlembagaan persekutuan.

Dengan alasan inilah, maka 9 orang telah ditahan kerana didakwa cuba menyebarkan atau melakukan dakwah kristian ke atas pelajar UPM semalam.

Berikut adalah petikan laporan Wong Pheak Zern dari Malaysiakini, Jul 15, 09 1:37pm:

Sembilan penganut Kristian termasuk dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditahan polis semalam berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut.

Sumber-sumber pelajar memberita Malaysiakini hari ini, kumpulan itu berada beberapa hari di beberapa kolej kediaman UPM dengan bergerak dari bilik ke bilik untuk menyampaikan ajaran mereka.

Selain itu, mereka juga didapati menyebarkan risalah kepada warga kampus dan bergerak di tiga buah kolej iaitu Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh, dan Kolej Sebelas," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM Safwan Abdul Ghani dalam satu kenyataan.

"Aktiviti yang berlaku beberapa hari itu akhirnya membawa kepada penangkapan sembilan individu tersebut."

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi diperolehi daripada pihak universiti dan polis, setakat ini.

Undang-undang negara melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim.

Jika laporan berita ini mempunyai keesahannya dan dakwaan penyebaran dakwah kristian adalah benar dan boleh disabitkan di sisi undang-undang negara, maka langkah pihak berkuasa boleh dipertahankan. Sementara pihak berkenaan mestilah dihukum kerana melanggar undang-undang utama negara menurut Perkara 11 (4) dan akta atau enakmen negeri Selangor berkaitan berhubung penyebaran dakwah agama bukan Islam kepada orang Islam.

Dalam situasi di mana perbincangan terbuka mengenai isu sensitif semakin menjadi-jadi pasca-PRU 12 diharap isu ini dapat menyedarkan semua pihak bahawa ada perkara yang menjadi teras dalam masyarakat tidak boleh diusik atas semangat mematuhi semangat dan maksud Kontrak Sosial 1957.

Satu mesej tegas perlu disampaikan melalui hukuman yang setimpal. Berhujah atas nama hak asasi dan keadilan atau kesamarataan hak untuk menyebarkan dakwah kristian sebagaimana dakwah Islam tidak tertakrif dalam konteks perlembagaan negara.

Islam di Malaysia adalah agama rasmi dan ia dilindungi untuk menjamin kesucian dan kelangsungannya di bumi bertuah ini.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.


----------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...