Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Thursday, December 29, 2011

Buku 'Sejarah Perlembagaan Malaysia'

Pemahaman mengenai perlembagaan negara - sejarah, dasar dan isi-isi utamanya adalah antara rukun utama kenegaraan Malaysia. Maka, ia wajar menjadi satu atau sebahagian silibus teras atau wajib Universiti di semua IPTA dan IPTS lebih-lebih lagi kini semakin banyak isu berbangkit dari kelemahan dan miskinnya pemahaman tentang maksud dan tujuan perlembagaan 1957 dan 1963 digubal.

Kini satu lagi karya tentang sejarah perlembagaan negara yang baru diterbitkan Grupbuku Karangkraf telah ada di pasaran. Karya dalam bentuk buku berkulit tebal ini ditulis oleh Abd Manaf Ahmad.

Saya baru sahaja membelinya dari MPH kira-kira 2 bulan lalu dengan harga RM45.00 setelah secara tidak sengaja terjumpa buku ini di atas rak buku di cawangan baru MPH di Mydin Ayer Keroh Melaka. Ketika itu saya ingin membeli buku agama. Setakat ini saya belum berjumpa lagi buku ini di kedai buku lain yang biasa saya kunjungi. Justeru, kerana takut terlepas cetakan pertama ini saya terus sahaja membelinya walaupun harganya agak mahal.






Para pelajar Pengajian Malaysia perlu mendapatkan senaskah buku ini sebagai salah satu rujukan tambahan untuk memahami satu sisi penting perlembagaan tanah air yang kini sering disalah tafsir untuk kepentingan satu-satu kelompok atas nama hak asasi, hak kaum minoriti bahkan mungkin bagi mereka yang berkuasa juga.

-------------------
 'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011

Sunday, July 26, 2009

Jangan Abaikan Sastera! Ia Lebih Manusiawi

"Sekali seseorang menemukan kehidupannya maka tidak satu pun mampu memuaskannya selain ilmu, seni dan agama..." Anton Chekov

Petikan di atas bukan lahir dari lisan seorang nabi. Saya memetiknya dari seorang penyair bernama Anton Chekov yang beliau nukilkan dalam sebuah puisi yang kemudian dipetik oleh Jujun S. Suriasumantri untuk bukunya bertajuk 'Ilmu dalam Perspektif Moral, Sosial dan Politik', terbitan DBP tahun 1990.

Kita tidak wajib mengimaninya. 

Namun, kita boleh akur bahawa ada nilai sejagat yang boleh dijadikan pedoman. Terutamanya untuk remaja yang sedang membesar dalam persekitaran yang sarat ujian. Pesona duniawi sering memesongkan kiblat kehidupan para remaja yang mencari-cari identiti diri.

Saya ingin pesanan dari pujangga Barat ini ditekuni sebentar oleh kita semua. Mari kita luangkan sedikit masa yang kian cepat berlalu ini untuk 'kembali' menginsafi peri pentingnya bidang sastera (atau seni) - yang dilupakan oleh sebahagian besar daripada kita termasuk mereka yang bergiat dalam lingkungan pendidikan.

Barangkali manusia sudah hilang budi dan kemanusiaan kerana terlalu mementingkan bidang sains dan teknologi dan mengejar kebendaan.

Saya bimbang pendidikan kita telah gagal melahirkan pelajar yang kaya budi. Saya tidak pernah berbangga dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagaimana berbangga dan tersentuhnya saya dengan kehadiran pelajar-pelajar yang berkeperibadian mulia dan beradab sopan. Ini kerana keperibadian atau akhlak tidak boleh dicerminkan dan diukur oleh keputusan peperiksaan. 

Sahsiah diri adalah realiti 'siapakah diri seseorang itu' dari segi tingkah laku, pertuturan, pergaulan dan gaya hidup pelajar. Ia tidak boleh disorokkan. Ia suatu yang telah sebati dan terbatin dalam diri seseorang. Justeru lambat laun 'the true colours of their skin' akan terzahir juga.

Angka dalam slip keputusan peperiksaan adalah teks yang yang kaku. Maklumat ini sukar untuk dikorelasikan dengan penampilan sahsiah pelajar. Ia lebih sukar dalam situasi atau konteks hari ini. 

Hari ini saya selalu bersedih kerana selalu melihat kemiskinan budi dan kemanusiaan di depan mata saya. Ramai yang biadap dari beradap, ramai yang kurang ajar daripada yang cukup ajarnya.Remaja atau pelajar hari ini lebih memustahakkan kekayaan 'body'nya daripada kemewahan budinya.

Kembali kepada peranan bidang sastera - dan disempurnakan oleh agama - , ia menurut saya menyentuh sisi paling dalam dalam diri manusia. Tidak seperti disiplin sains, ia bisa memberi makna kemanusiaan dan ketuhanan. Ia membangun jiwa manusia yang halus. Pengertian yang dibawanya menyempurnakan maksud sebenar pendidikan yang bersifat holistik.

Sastera sahaja - selain suluhan wahyu Tuhan dan pedoman nabi -  yang boleh membangunkan aspek emosi dan rohani pelajar, sebagaimana yang disuratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Semua pendidik di negara kita tahu tentang ini (JERI - Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek) tetapi hanya sedikit yang menghayatinya dalam sesi Pnp mereka.

Mesej mengenai 'jangan abaikan sastera' ini tidak boleh diabaikan. Saya merayu kepada semua terutamanya pelajar saya agar merenung ke dalam diri masing-masing untuk mencari kebenaran mesej ini.

Latar budaya Anton Chekov memang berbeza dengan kita. Dia orang Barat/Eropah. Kita pula orang Timur. Tapi nilai yang baik - kejujuran, keiklasan, pandang semesta tentang pendidikan yang holistik - adakalanya bersifat sejagat. Jelas di sini di sebalik perbezaan antara kita dengan mereka, masih ada persamaan untuk kita 'raikan' bersama.

Dalam keadaan manusia hari ini yang condong kepada kebendaan atau materialisme, pesan ini sangat wajar diberikan perhatian berat terutamanya para pendidik.

Kepada khalayak pembaca, mengertikanlah sambungan nasihat Anton Chekov di dalam puisinya ini. 

Bacalah puisi anakku
Setelah belajar Matematik;
Bacalah doa
Dalam kekerasan usaha;
Jadilah manusia
Bukan robot tidak berjiwa!

Sesungguhnya sains memudahkan kehidupan kita. Sastera pula memanusiawikan kita.

Namun agamalah yang mengawal semuanya.

Disunting semula dari posting dalam blog cikgubad.wordpress.com bertajuk 'Jangan Abaikan Sastera' Disember 8, 2008

-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Rasional Kursus Sejarah dan Kenegaraan Malaysia

Masyarakat (society) dibentuk oleh individu-individu yang berkongsi budaya, norma, cita-cita, aspirasi, matlamat hidup dan sebagainya. Tidak terkecuali yang menjadi perkongsian semua ahlinya - sebagai elemen yang lebih asas - ialah sejarah kelahiran negara, kepercayaan (anutan) hidup yang diwarisi dan bahasa pertuturan. 

Elemen-elemen ini menjadi social glue yang mengikat semua ahli masyarakat agar kekal bersatu dalam menghadapi cabaran semasa. 

Bagi masyarakat Malaysia, cabaran maha besarnya adalah menghapuskan jurang sosial sesama ahli masyarakatnya. Ini adalah disebabkan masyarakat Malaysia bersifat heterogenus. Dalam bahasa lebih mudah, masyarakat negara ini bersifat majmuk yakni terdiri dari pelbagai lapisan bangsa atau kaum, keturunan, agama dan budaya. 

Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat Jepun yang rata-ratanya sebangsa - bangsa Jepun. Masyarakat homogen ini tidaklah sulit untuk dibentuk atau diurus tadbir kerana tiada perbezaan jurang sosial yang luas dan ketara kerana perbezaan kaum atau budaya. Yang ada adalah perbezaan ekonomi - kaya miskin, bangsawan vs buruh - antara ahli masyarakatnya. Ini bukanlah fenomena tempatan di Jepun sahaja. Ia adalah fenomena global. 

Kerana kerencaman dan kompleksiti dalam latar budaya sesebuah masyarakat majmuk ini maka ia mengahadapi cabaran utama mewujudkan perpaduan dan keharmonian. Ini kerana semua kaum baik majoriti atau minoiriti (seperti golongan imigran) sentiasa bersaing untuk mendapatkan peluang dan hak yang sama. 

Biarpun ada peraturan sosial dan undang-undang bagi mengawal 'persaingan' ini, kadang-kadang terjadi juga pergeseran antara kaum hingga mencetus konflik kaum. Di Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969 dan terbaru di Kg. Medan 2001 adalah bukti kepada masalah hubungan antara kaum yang pernah wujud.

Peristiwa ini dan beberapa insiden lain beberapa tahun kebelakangan ini memberi isyarat yang tidak baik kepada kerajaan dan masyarakat kita. Bahaya sifat perkauman cukup besar untuk meruntuhkan sebuah negara jika tidak dibendung.

Ia boleh menjadi 'duri dalam daging' yang boleh merosakkan usaha kerajaan mewujudkan persefahaman antara kaum. Kita juga sedar memang wujud 'gunting dalam lipatan' dalam masyarakat kita.

Namun untuk menanganinya bukanlah mudah. Bahkan ia sangat sukar kerana pihak kerajaan kena berhati-hati dalam tindakannya berhadapan dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda perkauman.

Sebarang kesilapan di pihak kerajaan boleh mengundang padah yang lebih besar. Harga yang perlu dibayar ialah perpaduan masyarakat itu sendiri. Menyelesaikan kemelut sosial ini ibarat 'menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung pula tidak berselerak'.

Dengan alasan bahawa potensi perpecahan dan konflik antara kaum boleh tercetus lagi, maka generasi muda hari ini perlu dicelikkan tentang asal usul kelahiran negara ini. Tidak cukup untuk bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 untuk membendung penularan dan perebakan fahaman perkauman.

Ia berhajat kepada usaha yang lebih mendasar iaitu dengan memperkasakan pengajian sejarah. Peri pentingnya sejarah perlu disemai ke dalam minda pelajar. Petikan berikut menjelaskan kepentingan sejarah.

  • If you want to understand today, you have to search yesterday. ~Pearl Buck
  • Professor Johnston often said that if you didn't know history, you didn't know anything. You were a leaf that didn't know it was part of a tree. ~Michael Crichton, Timeline
  • A nation that forgets its past can function no better than an individual with amnesia. ~David McCullough
  • History is who we are and why we are the way we are. ~David McCullough
  • History teaches us the mistakes we are going to make. ~Author Unknown
  • History is a living whole. If one organ be removed, it is nothing but a lifeless mass. ~Frederic Harrison, The Meaning of History

Di peringkat pengajian tinggi kurikulum perlu diisi dengan kursus pemahaman perlembagaan sebagai dokumen Kontrak Sosial.

Dengan cara ini sistem pendidikan kebangsaan akan lebih holistik sifatnya. Ia melengkapkan lagi kurikulum di IPT yang selama ini sejak 1990-an lagi menerapkan sisi-sisi sains kemanusiaan bercorak sejarah dan kenegaraan.

Kini selain kursus Pengajian Islam/Moral, Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan Kenegaraan atau Pengajian Malaysia kursus Hubungan Etnik telah mula diajar sejak beberapa tahun lalu. 

Biarpun pada awal pelaksanaannya tercetus kontroversi berhubung teks atau modul pengajaran kursus baru ini, namun berikutan 'campur tangan' pihak kerajaan akhirnya semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak, modul Hubungan Etnik yang dihasilkan oleh sekumpulan ahli dalam bidang Kenegaraan Malaysia telah diterima dengan sepakat.

Kini semua pelajar di IPT wajib mempelajari semua kursus di atas tanpa kecuali.

Jika tidak, menurut lisan Derek Heather 'To many of the modern generations, history, like God, is dead'. Saya percaya arah tuju masa depan sesebuah negara mesti dimulai dengan pemahaman jujur dan objektif sejarah bangsa dan negaranya. 

Kepada generasi muda hari ini yang diulit oleh kemewahan kebendaan dan berfikiran liberal marilah 'kembali ke pangkal jalan'. Jalan yang akan menyuluh semula perjalanan hidup untuk menemukan semula akar budaya dan warisan peribadi bangsa kita.

Dengan fikiran yang kritis tapi kekal objektifnya,  ilmu sejarah negara yang sebenar akan diperolehi. Masa depan negara bergantung kepada pemahaman sejarah yang benar. C.K.Chesterton menasihatkan kita 'We can be almost certain of being wrong about the future, if we are wrong about the past.'

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009

Monday, July 13, 2009

Sejarah dilupa jangan..

Pelajar hari ini rata-rata tidak meminati mata pelajaran sejarah. Banyak pengakuan terus terang pelajar saya terutamanya dari aliran sains bahawa mereka tidak ada 'perasaan' terhadap mata pelajaran membaca ini. Mereka tidak segan silu atau takut-takut lagi untuk meluahkan pandangan mereka.

Kerana itu seorang pensyarah Pengajian Malaysia di IPT atau guru sejarah di sekolah berhadapan dengan cabaran yang bukan kecil untuk menyampaikan isi-isi penting sejarah sebagaimana yang dituntut silibus. 

Saya sendiri masih mencari-cari formula terbaik untuk menyampaikan kuliah Pengajian Malaysia agar menjadi efektif dan membekas dalam pemikiran dan jiwa pelajar.

Eksperimen terbaru yang saya buat dengan menggunakan Power Point tidak memberikan hasil yang diharap-harapkan. Biarpun setelah 7 tahun mengajar kursus ini dan cuba mengkonkritkan isi-isi kuliah yang abstrak dengan memberi banyak contoh dan tamsilan hasilnya masih tidak jauh berbeza dengan pencapaian pelajar sebelum ini.

Walaupun saya tahu punca-punca utama kepada respons yang lemah dari pelajar mungkin berpunca dari pendekatan (metodologi) pengajaran yang digunakan, namun saya masih berpegang bahawa sikap pelajar masih memainkan peranan yang besar dalam menentukan arah tuju dan pencapaian mereka dalam satu-sati kursus yang mereka ambil. 

Saya tinggalkan pesanan di bawah untuk renungan pelajar-pelajar sekalin. Moga ada kesudian untuk merenunginya sedalam-dalamnya. 

Melupakan sejarah mengakibatkan generasi hari ini tidak ubah macam datuk nenek moyang mereka - apabila mengulangi kesilapan sama lagi dan lagi. 

  • History is a great teacher which can help us create a better world. But unfortunately the lessons of history are often ignored, sometimes deliberately. And because we ignore the lessons of history we keep on repeating the mistakes of the past and we suffer accordingly.”

    International Association of Historians of Asia, 2000
    Dikutip dari Malaysian History Blog.

----------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...