Wednesday, March 3, 2010
Pengampunan Diraja Akan Tamatkan Isu Kartika
Keputusan oleh mahkamah ini adalah muktamad. Maka berakhirlah proses kehakiman dan pesalah tidak lagi mempunyai apa-apa lagi peluang untuk merayu. 'Talian hayat' kehakiman telah pun habis digunakan.
Sunday, February 21, 2010
Hukuman Sebat Syariah ke atas Pesalah Wanita Pertama Dilaksanakan
Manakala di pihak yang pro undang-undang syariah ia wajar dan mempunyai justifikasi dari sudut kesan baiknya kepada sosio-budaya masyarakat Islam. Menurut kumpulan ini juga wajaran kumpulan yang anti-hukum sebat lebih didorong oleh sikap dan anutan liberal-sekular yang hanya melihat dari segi logik aqal semata-mata.
Sebenarnya ia adalah non-issue kerana undang-undang sebat ini telah pun sah kerana statusnya sebagai akta atau enakmen setelah diluluskan badan legaslatif negara dan negeri masing-masing. Maka, kenapa ia perlu dipertikaikan sebegitu rupa dan mendapat liputan luar biasa dewasa ini.
Wednesday, August 26, 2009
Kes Kartika : Terbukanya 'Pekung' Pihak Berkuasa
Sebagai negara Islam (berdasarkan perisytiharan oleh Dr. Mahathir Mohamad), kes Kartika yang tidak jadi (dibaca : tidak boleh) disebat kerana Malaysia tiada jurusebat syariah adalah suatu yang memalukan. Ikuti laporan media berkenaan perkara ini.Ironisnya, enakmen tentang hukuman sebat ini telah lama diwartakan di negeri Melayu setelah melalui proses penggubalan di Dewan Undangan Negeri (DUN). Mengapa pula apabila hukuman telah dijatuhkan oleh hakim syarie ia gagal dilaksanakan kerana alasannya ketidaksediaan dari segi tatacara melaksanakan hukuman tersebut?
Undang-undang yang diguna pakai - dalam kes ini di mahkamah syariah negeri Pahang - bukan baru diluluskan oleh badan perundangan negeri Pahang baru-baru ini, bukan tahun lepas bahkan bukan juga 10 tahun lepas!
Rupa-rupanya enakmen ini (Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987) masih tidak melepasi piawaian undang-undang yang adil dan saksama. Ia tidak mampu mendidik pesalah syariah. Begitulah antara komen dan kritikan pihak-pihak tertentu ke atas undang-undang syariah - sekurang-kurangnya di negeri Pahang.
Kes ini mengingatkan saya kepada penguatkuasan undang-undang syariah ke atas wanita Islam yang bertanding sebagai calon ratu cantik di Selangor satu masa dulu. Yang kena hentam bertubi-tubi ialah penguatkuasa agama. Yang dibela ialah wanita Melayu-Islam yang bersalah di sisi undang-undang syariah yang telah diluluskan oleh DUN berkenaan.
Yang lebih menyedihkan apabila undang-undang syariah tersebut dicemuh dan dipertikaikan pula oleh orang Islam sendiri atas nama keadilan dan hak asasi bagi membela wanita teraniya. Para simpatisan kepada Kartika dan yang skeptikal ke atas undang-undang syariah merupakan tokoh dan aktivis sosial serta ahli politik Islam yang berpengaruh dalam masyarakat. (Sila klik di sini untuk mendapatkan pandangan profresional dalam bidang undang-undang agar kita tidak terus menerima persepsi yang salah tentang situasi yang sedang berlaku sekarang).
Namun, bagaikan tidak peduli dengan simpati dan 'pujukan' pihak-pihak berkenaan agar beliau merayu semakan kehakiman, Kartika masih tetap dengan pendiriannya untuk menjalani hukuman sebat itu apabila masanya tiba kelak.
Pada saat ini saya cuba mencari kewajaran mengapa undang-undang syariah ini dilayan sebegitu rupa. Saya kebingungan untuk seketika.
Apapun ini menjadi petanda bahawa pihak berkuasa berkenaan memandang enteng isu penguatkuasaan undang-undang (pentadbiran) syariah. Senario terbaru ini menjadi bahan ketawa orang (mockery) bukan Islam di luar sana.
Begitulah nasib undang-undang syariah di negara ini. Kes-kes ini - walaupun dihujahkan oleh pihak tertentu sebagai terpencil - tetap menjadikan ia sebagai undang-undang yang inferior di sisi perlembagaan dan penerimaan masyarakat Islam sendiri.
Siapakah atau apakah yang menjadi masalah pokok di sini - undang-undang syariah itukah atau pembuat undang-undang syariah itu sendiri (para ADUN) atau sikap kita terhadap undang-undang syariah itu?
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Sunday, August 9, 2009
Kes Kartika - Antara Syariah dan Amarah.
Undang-undang sivil adalah undang-undang yang diluluskan di Parlimen iaitu insitusi perundangan tertinggi negara. Kebanyakan undang-undang yang terpakai di negara kita hari ini bersumberkan undang-undang sivil ini. Undang-undang ini dikuatkuasakan ke atas semua rakyat Malaysia tanpa kecuali.
Manakala undang-undang syariah - sesuai dengan sejarah negara ini dan status 'negara Islam' - diperlembagakan di dalam sidang badan perundangan negeri iaitu DUN. Namun ia adalah khusus untuk orang Islam di negara ini.
Peruntukan mengenai kewujudan dan pemisahan dua undang-undang dan sistem kehakiman ini dinyatakan dengan jelas di dalam Jadual 9, Senarai I dan Senarai II Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, menuruti prinsip ke-3 dan ke-4 Rukunegara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, sebagai rakayat negara ini kita hendaklah akur dengan sistem, tatacara dan kesan kuatkuasa dua undang-undang ini. Melainkan ia dipertikaikan banyak pihak sebagai bercanggah dengan hak asasi manusia dan nilai keadilan, undang-undang yang telah diluluskan sama ada sebagai akta (parlimen) atau enakmen/ordinan (DUN) perlulah dijunjung.
Setiap dari kita mestilah mempamerkan sikap yang sama apabila suatu undang-undang itu dikuatkuasakan sama ada ia bersifat sivil atau syariah. Ini adalah kerana kesemua undang-undang itu telah diluluskan oleh pembuat undang-undang melalui tatacara yang rapi dan kaedah yang sah di sisi perlembagaan.
Oleh itu, agak ironis apabila beberapa pihak mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 selepas mengaku salah meminum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2007.
Alasan mereka begitu mudah - mengikut rasional biasa kita - pesalah (Kartika) sudah insaf maka tak perlulah sampai dirotan, ramai lagi yang buat kesalahan syariah seperti berkhalwat, zina dan sebagainya kenapa tidak pula dikenakan hukuman sebat, dan berbagai lagi alasan.
Saya juga simpati dengan Kartika. Tetapi untuk mempertikai keputusan hakim syarie Abdul Rahman Yunus bukanlah suatu sikap yang wajar.
Saya percaya hakim berkenaan telah mengambil kira dan memperhalusi semua aspek semasa menjatuhkan hukuman tersebut. Antaranya, berdasarkan suasana semasa di mana gejala dan kemelut sosial umat Islam di tahap yang kronik kerana berleluasanya tingkah laku sumbang, menjolok mata, gaya hidup bebas bagai tanpa disekat lagi hukuman tersebut adalah wajar sekali.
Selalunya keberanian seorang hakim adalah diperlukan untuk menjatuhkan hukuman seberat ini. Ini kerana masyarakat moden tidak mudah menerimanya kerana ia dilihat barbaric dan tidak berperikemanusiaan.
Kita perlu faham undang-undang syariah berbeza dengan undang-undang sivil. Undang-undang syariah adalah undang-undang Allah. Ia bukan dari ilham aqal manusia hasil pemahaman dan keinsafan di atas masalah sosial yang berlaku dari semasa ke semasa.
Jenayah dalam Islam diputuskan mengikut hukum hudud dan qisas - hukuman yang tetap (qatie) berdasarkan Quran dan hadith. Ini meliputi antara lain kesalahan membunuh, mencuri dan berzina. Jika tiada dinyatakan dalam Quran dan hadith maka hakim diberikan ruang untuk menjatuhkan hukuman secara takzir - mengikut pertimbangan hakim sendiri.
Dalam kes Kartika, apabila sabit kesalahannya mengikut hukum asal hudud dan qisas, hukuman bagi kesalahan minum arak adalah 40 kali sebatan - tidak kira lelaki atau perempuan. Ada sesetengah ulama pula mengatakan hukumannya adalah 80 kali sebatan! (baca soal jawab agama ini ).
Namun di Malaysia hukuman bagi jenayah syariah telah ditetapkan kadarnya iaitu penjara tidak lebih dari 3 tahun, denda tidak lebih daripada RM5000 atau sebat tidak lebih dari enam kali (Formula 3:5:6).
Hakim Abdul Rahman berlunaskan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan telah memilih menjatuhkan hukuman maksimum dengan memilih denda RM5,000 dan sebat maksima 6 kali. Ini bukan kali pertama hukum sebat dijatuhkan ke atas pesalah minum arak.
Sejak 2 orang lelaki adik beradik ditahuhkan hukuman sebat beberapa tahun lalu di Pahang, kes Kartika adalah kes yang ketiga (baca artikel The Star Online bertajuk 'Is Whipping the answer?' ).
Perkara ini menjadi isu hanya kerana ia dilihat dari perspektif psikologi, emosi dan sentimen gender. Justeru tidaklah pelik apabila tokoh wanita tertentu dari NGO atau kerajaan mempersoal hukuman ini.
Apakah mereka ini terikut-ikut dengan pemikiran Barat yang liberal dan sangat menghormati hak individu mengatasi hak masyarakat ?
Apapun dengan keberanian seorang hakim syarie dan keinsafan dan redhanya Kartika dengan hukum sebat tersebut, apakah kita tegar lagi membiarkan masyarakat kita mengambil ringan dan memandang rendah terhadap sistem kehakiman syariah negara ini?
Setelah undang-undang asal jenayah Islam tidak boleh dikuatkuasakan di negara 'Islam' ini, sekurang-kurangnya hukuman 6 sebatan ini dapat memenuhi sebahagian maksud hukuman dalam Islam.Masyarakat Islam di negara kita sedang mengalami masalah sosial yang besar. Minum arak, berkhalwat, bersekedudukan, berzina dan berbagai lagi kesalahan atau jenayah syariah bukan lagi kes terpencil. Ia bukan juga gejala lokal lagi. Ia ibarat barah yang sedang merebak akibat dari fenomena pensejagatan. Kerana 'dunia sudah menjadi tanpa sempadan' nilai, pemikiran dan isme liberal dan hedonis Barat mudah keluar masuk ke dalam pemikiran dan jiwa anak-anak muda negara kita.
Oleh itu, kawalan sosial melalui undang-undang menjadi pilihan terakhir bagi memperbetulkan keadaan ini.
Kita berharap kes Kartika ini menjadi teladan buat kita semua. Bak kata Kartika sendiri yang merupakan ibu kepada dua anak berusia lima dan tujuh tahun ( Utusan Malaysia Online, 23 Julai):
''Saya menyesal dengan perbuatan yang saya lakukan. Saya telah menjatuhkan maruah keluarga. Sebab itulah saya mahu hukuman sebat dijalankan segera kerana mahu lupakan apa yang berlaku dan menjalani kehidupan baru bersama keluarga.
''Saya harap dengan hukuman ini, orang lain akan membuka mata dan tidak melakukan kesalahan yang serupa. Ini bukan sesuatu yang dibanggakan," katanya.
Lebih meruntun perasaan saya apabila beliau menyatakan (Mstaronline, 22 Julai) :
"Hukuman dunia saya akan terima, hukuman di akhirat biar Allah tentukan. Setakat ini mahkamah belum memberitahu bila hukuman itu akan dijalankan, dan saya ingin memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu."
Tidakkah kita bersyukur kerana mempunyai rakyat seperti Kartika ?
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009