Showing posts with label Budaya Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Budaya Ilmu. Show all posts

Wednesday, August 19, 2009

Sumber Bahan Gubal Soalan Ujian 1 MPW1133

Seperti yang ditekankan dalam buku nota MPW1133 Jilid 1, sebagai pelengkap kepada kuliah dan buku nota, blog ini juga berperanan sebagai sumber tambahan untuk melengkapkan pengetahuan dan maklumat kursus ini.

Justeru, secara tidak langsung blog ini juga menjadi sebahagian sumber untuk penggubalan soalan ujian. Maka pelajar hendaklah sentiasa merujuk kepada bahan-bahan yang dimuatkan dalam blog ini. Ini bermakna dari semasa ke semasa, blog ini hendaklah dikunjungi untuk mengemaskini nota kuliah.

Sebagai penegasan untuk kesekian kalinya, selalulah membuat senarai Frequently Asked Questions (FAQs) bagi setiap bab yang dipelajari. Pesan saya sebagaimana dipesan oleh Aristotle dulu, diamal oleh para sahabat Nabi dan lain-lain kumpulan manusia yang membudayakan ilmu "Belajarlah dengan cara bersoal jawab". Jadikan ia sebagai amalan. Hanya dengan kaedah itu, pembelajaran menjadi aktif kerana adanya soalan-jawapan yang kritis.

Diam mungkin tanda setuju atau - dalam konteks akademik - faham. Tetapi itu tidak selalunya betul. Saya risaukan pelajar masih dengan habit lamanya.

Diam bukan tanda faham. Tapi diam itu kerana mereka reseptif. Terima je apa yang keluar dari lisan pensyarah. Pelajar tidak menyemak dari segenap penjuru tentang suatu tajuk atau isu. Pelajar lebih selesa menghafal fakta bukannya mengetahui 'selok belok' punca dan terbitnya fakta itu.

Gejala yang tidak betul lagi tidak sihat kepada pembinaan minda ini disinggung oleh Prof Dr Khoo Kay Kim dalam sebuah tulisannya :

"Di negara-negara Asia, termasuk Malaysia, di mana penuntut lebih biasa menghafal dan jarang menyoal, yang spekulatif * sering diterima sebagai hakikat [kebenaran/fakta]. Ini membawa kepada intelek yang statik serta sikap yang naif padahal di Amerika di mana para intelek tidak pernah berpuas hati dengan satu-satu jawapan yang diberikan tetapi sentiasa cuba mencari jawapan baru, proses perkembangan intelek itu seterusnya dinamis."

Dalam situasi yang lain pula, - lebih malang lagi - ada yang pelajar perasan yang dia faham. Ada juga yang bodoh sombong! Jika ada yang dah sedar tapi terhalang pula untuk bertanya kerana masih ada perasaan takut atau malu. Akhirnya pi mai pi mai tang tu juga.

Ingatlah setelah mengetahui pesan dan nasihat ini, saya tinggalkan satu lagi nasihat untuk dilaksanakan iaitu:

"Tidak penting apa yang diketahui, dipercayai, bahkan diimani. Yang penting ialah apa yang kita lakukan (susulan daripada itu)".

Selamat mengulangkaji dan bersoal jawab.

------

*Semata-mata andaian kerana tidak disandarkan kepada bukti, fakta atau siasatan yang mendalam

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Friday, July 31, 2009

Kuliah Tidak Cukup, Mentelaahlah

Penguasaan suatu disiplin ilmu memerlukan pembacaan yang meluas dari berbagai sumber rujukan. Ini jadi prinsip pembelajaran tapi tidak lumrah di kalangan pelajar hari ini.

Mereka telah terbiasa atau dibiasakan (conditioned) untuk merujuk dan membaca hanya satu atau dua buku yang dicadangkan pensyarah. Lebih teruk lagi apabila nota kuliah yang difotokopi dari pensyarah itulah yang menjadi satu-satunya bahan bacaan mereka.

Bagi kursus Pengajian Malaysia, dengan rangkuman silibus yang luas, adalah tidak memadai untuk pelajar hanya bergantung kepada nota yang saya berikan.

Banyak sisi penting perlukan huraian lanjut dan kupasan lebih mendalam. Justeru, pelajar perlu lakukan dua perkara penting.

Pertama, sentiasa berbincang menggunakan senarai soalan lazim (FAQs) sama ada dalam Kumpulan Belajar (Group Study) atau melalui sesi konsultansi dengan saya selaku pensyarah. 

Kedua, cari bahan tambahan untuk menambaik dan menyempurnakan nota kuliah. Lakukan rujukan silang, pilih bahan yang hanya sesuai di internet, cari di arkib berita untuk isu-isu semasa yang lepas dan banyak lagi boleh dilakukan untuk memperkukuh kefahaman.

Dengan kaedah di atas - dan ditambah lagi dengan cara buat nota yang efektif, membuat latihan, menyemak jawapan dan berbagai lagi - insyaALlah pelajar dapat menyegarkan semula ingatan dan mendalamkan kefahaman mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan pembelajaran aktif. 

Untuk membantu pelajar mendapatkan rujukan yang sesuai, saya telah upload senarai 'Rujukan Pengajian Malaysia' di Kenegaraan..box. Sila download untuk mendapatkan senarai buku-buku tersebut.

Selamat menimba ilmu di khutub khanah atau di mana sahaja yang boleh menjadi sumber rujukan ilmu.

Mentelaahlah pelajarku..

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...