Showing posts with label Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat. Show all posts

Sunday, January 29, 2012

Yang Lama Itu Tidak Lagi Dikelek, Yang Baharu Saja Terus Dijunjung

Salah satu objektif mempelajari Pengajian Malaysia ialah untuk generasi muda hari ini mengenal kembali akar budaya dan tradisi bangsanya.

Tidak boleh dinafikan - akibat proses pemodenan dan dipacu oleh jentera pensegajatan Barat seperti kecanggihan dan kemudahan teknologi maklumat dan peranan media massa - generasi pasca merdeka makin menipis patriotismenya. Generasi baru ini khasnya remaja dan belia hari ini sudah kurang mengenali pusaka bangsanya dan semakin hilang sifat jati diri. Yang lama tidak lagi dikelek, yang baharu saja yang terus didukung.

Bacalah tulisan sarjana mengenai globalisasi dan kesan akibatnya serta amaran para alim ulama dan budayawan tentang ancaman dari Barat (khususnya) yang sedang berusaha - secara halus - menjajah pemikiran dan menakluk jiwa halus bangsa Timur dan beragama melalui gerak kerja 24/7 al ghazwu al-fikr selepas kegagalan kuasa Kristian Eropah terhadap kuasa hijau Islam dalam Perang Salib selama kira-kira 200 tahun dari abad ke 11 - 13 M lalu.

Pada masa sama carilah lagi ilmu dan maklumat mengenai gerakan terancang golongan yang anti-Islam melalui tulisan ulama tentang kegiatan orientalisme yang tidak habis-habis berusaha memesong dan memomokkan Islam dan penganutnya. Kelak kita akan faham bahawa benarlah kalam Allah bahawa bahawa orang Yahudi dan Nasara tidak pernah akan redha dengan kita sehingga kita mengikut millah (cara hidup) mereka.

Monday, September 14, 2009

Toleransi Agama oleh Masyarakat Barat

Saya turunkan kisah pengalaman toleransi agama oleh masyarakat Barat untuk mencelikkan kita yang agak miskin pemahaman tentang bagaimana toleransi agama antara masyarakat berbilang kaum dipraktiskan.  

Ironisnya amalan ini datangnya dari sebuah masyarakat yang dicop sekular-liberal dan sarat hedonisma. Bagaimana mereka boleh berlaku begitu adil dan menghormati agama komuniti minoriti di bumi mereka sendiri ?

Saya teringat pendapat rakan-rakan saya dahulu apabila membincangkan mengenai amalan yang islamic. Dari pengamatan mereka yang pernah belajar dan bekerja di negara Barat dan Asia maju seperti Jepun dan Korea, nilai-nilai dan amalan yang islamic lebih tertonjol dalam budaya dan cara hidup masyarakat yang sering didakwa gersang rohaninya.

Sebaliknya, kita yang lahir sebagai muslim (muslim-born) mempamerkan nilai dan amalan yang unislamic. Kitalah yang menunjukkan kepada orang lain yang kita ni selalu lambat menghadiri temu janji, pemungkir janji, tidak menghormati kaum yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak, kuat merasuah dan terima rasuah, tidak mesra-alam sekitar, tidak menjaga kebersihan, dan macam-macam lagi budaya hidup. 

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Ini semata-mata persepsi yang tidak tepat. Namun, di celah-celah persepsi ini saya percaya terdapat kebenarannya. Di mata saya ianya cukup jelas. Kalau takda angin, masakan pokok tu boleh bergoyangkan!

Kembali kepada isu pokok entri kali ini mari kita tekuni  petikan dari tulisan Nasreel Khalib,Illinois bertajuk 'Toleransi Agama: Selangor Malaysia vs Illinois USA' dalam ruangan pembaca Harakahdaily.net.

Moga ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari masyarakat Barat yang sedang ranap moralnya ini.
 
Mon | Sep 07, 09 | 3:31:20 pm MYT

"Dalam kita menerima kunjungan Ramadhan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan tindakan yang sangat menyedihkan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam dalam protes mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di syeksyen 23 Shah Alam. 

Mereka bertindak menghina agama Hindu dalam keadaan yang sangat ekstrem - sesuatu yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Tidak pernah kita diajar oleh Rasulullah agar menghina agama-agama lain.

Alasan yang dipersoalkan beberapa penduduk setempat sangat mudah, mengapa perlu dibina kuil di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu Islam.

Sebentar tadi saya membaca yang proses pemindahan kuil ini telah dibekukan disebabkan oleh kekecohan yang berlaku semasa sesi dialog diantara kerajaan negeri dan penduduk setempat.

Kebetulan pada ketika ini saya berada di bumi Amerika atas urusan kerja. Sudah hampir tiga bulan saya disini bersama keluarga.

Menyambut Ramadhan bersama penduduk minoriti Islam Des Plaines Illinois. Saya dapat melihat sesuatu yang amat 'ganjil' disini, di tengah-tengah bumi Amerika yang penduduk Islamnya tidak sampai 1%, tersergam masjid yang indah dan selesa.

Malah Masjid ini juga hanyalah beberapa ratus meter jaraknya dari sebuah gereja Katholik. Tidak pula kelihatan masyarakat Kristian disini berdemo dan membantah kewujudan Masjid disitu.

Malah apa yang lebih dikagumi ialah setiap kali waktu solat Jumaat, akan ada beberapa orang pegawai Polis 'mat saleh' bukan Islam yang akan mengawal lalulintas dan parking didalam kawasan Masjid.

Mungkin, itu perkara biasa, seminggu sekali. Tetapi apabila bermulanya Ramadhan, saya dapat melihat bagaimana mereka bertugas setiap malam. Kebetulan Ramadhan tahun ini berlangsung di hujung musim panas, maka waktu Isya'nya sedikit lewat dari Malaysia. Pegawai-pegawai Polis ini masih lagi bertugas menjaga lalulintas dan parking sehinggalah Terawikh tamat pada jam hampir 11.30 malam.

Keliru saya memikirkan situasi di sini apabila dibandingkan dengan situasi kuil di Shah Alam. Malu dengan perbuatan dan sikap segelintir umat Islam di Malaysia. Apakah mungkin masyarakat Kristian di Amerika ini lebih baik dari Umat Islam di Malaysia?

Dimanakah keadilan dan keindahan Islam yang ingin kita tonjolkan? Apakah mungkin masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam dalam situasi ini."

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Sunday, August 2, 2009

Masyarakat Boleh Ada Perbezaan Bukan Hanya Persamaan

Definisi 'siapakah masyarakat?' dalam posting lalu menyatakan bahawa setiap ahlinya berkongsi perkara yang sama. Ini menggambarkan bahawa untuk masyarakat itu wujud ia perlukan persetujuan, penerimaan, pendokongan nilai, cara, falsafah dan sebagainya oleh setiap ahlinya agar masyarakat itu dapat terus berkembang dan mencapai kemajuan tanpa halangan.

Namun adakah ini yang dimaksudkan oleh para sarjana ketika mengemukakan definisi mereka terhadap masyarakat ?

Jawapannya ya dan tidak.

Ya - kerana itu adalah prinsip asas penyatuan masyarakat untuk mencapai matlamat sama. Ia perlu kekal wujud, dan berkeupayaan secara fizikal dan spiritual berhadapan dengan cabaran dari luar. 

Syed Serajul Islam dan Abdul Rashid Morten menjelaskan maksud ini ketika memperincikan sifat masyarakat :

“…it [society] means a web of social relationship… society also means likeness. It consist of a number of likemindedness and are therefore able to work together for common ends.”  

Tidak pula - kerana yang dimaksudkan persetujuan itu adalah dalam konteks umum. Tidak semua perkara yang pelbagai itu memerlukan persetujuan. Persetujuan hanyalah pada idea asas sahaja.

Namun tidak bermakna dalam sesebuah masyarakat tidak boleh berlaku perbezaan atau perselisihan. Masyarakat manusia bukanlah masyakat malaikat yang tidak mempunyai nafsu dan kepentingan. Mereka boleh berselisih kerana sebab tertentu.

Syed menjelaskan lagi :

There may exist differences among individuals, which is natural. All cannot be exactly alike. Likemindedness means there is give and take among individuals. Humans are interdependent. Each is incomplete and seeks fulfillment by the help of others. Society demands cooperation.”

Kesimpulan akhir berikut olehnya lebih mencakupi makna masyarakat :

Thus, society means the web of social relationships, likeness, differences, interdependences, and cooperation.”

Kita ambil contoh tentang Rukunegara. Ia adalah idealogi kebangsaan. Semua rakyat Malaysia 'wajib' berpegang kepadanya tanpa kecuali.

Rukun pertama iaitu 'Kepercayaan kepada Tuhan' merujuk kepada rakyat Malaysia 'wajib' beragama, percaya wujudnya Tuhan dan pengaruhnya ke atas kehidupan masing-masing. Namun secara realistiknya mustahil rakyat Malaysia yang majmuk beriman dengan satu kepercayaan agama seperti Islam. Asalkan masing-masing ada akidah dan beramal dengannya, idea atau prinsip pokok 'Kepercayaan kepada Tuhan' sudah dipenuhi. 

Di sini idea pokok atau asal dipegang. Hanya kaedah melaksanakannya boleh berbeza. 

Islam hanyalah agama rasmi Persekutuan mengikut Perkara 3 perlembagaan persekutuan. Namun kerana rakyatnya dari latar budaya dan agama yang berbeza agama-agama selain Islam juga dibenar diamalkan dengan bebas.

Jika semua diwajibkan mengimani ALlah sebagai menterjemahkan makna semua ahli masyarakat mesti berkongsi/bersetuju dengan nilai agama, ia memerlukan paksaan atau undang-undang negara. 

Ini tidak realistik. Ia bercanggah dengan fitrah manusia juga.

Islam sendiri melarang paksaan dalam beragama. Dalam suatu firman ALlah yang mahsyur (mafhumnya "tiada paksaan dalam agama"), umat Islam diingatkan agar jangan memaksa seseorang memeluk Islam. Islam 'meraikan' perbezaan beragama walaupun ia - setiap masa - menjunjung kebenaran uluhiyyah dan rubbubiyyah dan berpegang kepada slogan ''Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya".

Satu contoh lain ialah semua rakyat Malaysia - seperti dalam ikrar yang diulang-ulang dalam perhimpunan sekolah - berpegang kepada demokrasi. Ini bermaksud setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mewujudkan pemerintahan oleh rakyat (orang awam) sebagai teras politik Malaysia di samping menerima kedaulatan sistem beraja (monarki) sebagai warisan dari Kesultanan Melayu Melaka.

Namun untuk demokrasi hidup ia mesti membenarkan penubuhan parti siasah (politik) yang pelbagai idealoginya. Di pentas politik idealogi dan pendekatan serta wawasan pemerintahan negara yang berbeza antara satu sama lain dipertandingkan untuk mendapatkan persetujuan majoriti rakyat. Berdasarkan kehendak majoriti atau popular rakyat melalui peti undi (pilihanraya) salah satu parti siasah tersebut akan diberi mandat untuk memerintah negara. 

Maksudnya semua rakyat bersetuju dengan prinsip pokok iaitu menegakkan demokrasi. Tapi masing-masing juga diberi hak di sisi perlembagaan untuk memilih idealogi dan pendekatan yang siasah yang disukainya. Inilah yang dimaksudkan oleh Syed Sirajul Islam sebagai perbezaan (differences) yang patut 'diraikan' dalam sesebuah masyarakat.

Dalam Islam sendiri perbezaan pendapat membawa rahmat di kalangan para ulamaknya. Dalam konteks pendidikan perbezaan pendapat perlu berlaku asalkan ia kritis dan objektif agar idea yang terbaik diperolehi. Ini menjadi pra-syarat kepada kelahiran sebuah masyarakat madani maju berteraskan budaya ilmu yang kukuh.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Saturday, August 1, 2009

Masyarakat - Sifat dan Sebab Kewujudannya

Masyarakat adalah kumpulan manusia yang bersatu (united human grouping). Sifat ini lumrah.  Ia adalah asas pembinaan peradaban bangsa dan negara masyarakat. Sebaliknya jika masyarakat berpecah belah maka musnahlah peradaban bangsa dan negara tersebut.

Oleh itu, tasawwur awal yang perlu kita fahami ialah masyarakat wujud kerana - sekurang-kurangnya di peringkat awal atau dalam kebanyakan masa - ahli-ahlinya bersatu padu.

Mengapa dan bagaimanakah ahli sesebuah masyarakat itu bersatu padu?

Kita dapatkan jawapannya dari rumusan atau definisi para sarjana atau pengkaji sosial (sociologist) berikut :

Gillin and Gillin, 1954
‘Society is the largest grouping in which common customs, traditions, attitudes and feeling of unity are operative.’ 

Gidding, Reading in Descriptive and Historical Sociology, 1904
‘..a group of individuals cooperating for the achievement of any subject of common interest or utility’

Koentjaraningrat, 1970
‘..masyarakat itu adalah kesatuan hidup makhluk-makhluk manusia yang terikat oleh suatu sistem adat istiadat yang tertentu.’

Horton & Hunt, 1984
“.. relatively independent, self-perpetuating human group which occupies a territory, share a culture, and has most of its associations within this group. A society is an organization of people whose associations are with one another.”

Ismail Yusof
 “sejumlah orang yang hidup dalam suatu lingkunghan bersama seperti negara, daerah, bandar, desa dan pelbagai kelompok lain seperti sebuah keluarga, persatuan buruh, persatuan nelayan dan sebagainya.”

Perspektif sosiologi dalam Pengenalan kepada Sains Sosial, 2001 hlm. 27-28
 “secara umum, masyarakat adalah sekelompok manusia yang tinggal bersama dalam satu kawasan untuk tempoh masa tertentu, mempunyai kegiatan-kegiatan ekonomi, berkongsi nilai-nilai dan norma-norma di samping mempunyai peraturan-peraturan tertentu.”

Jelas dari semua definisi di atas ahli-ahli  sesebuah masyarakat berkongsi banyak perkara yang sama (common) seperti adat resam, tradisi, bahasa , anutan atau kepercayaan hidup, idealisma, idealogi, sejarah dan cita-cita. Mereka juga mendiami (secara tetap) wilayah atau kawasan yang sama.

Di samping itu wujud peraturan seperti norma atau undang-undang yang menjadi alat kawalan sosial agar  masyarakat tidak terlanjur atau terus terjebak dalam aktiviti jenayah yang boleh meruntuhkan institusi negara. Ini perlu bagi menjamin keharmonian dan kerukunan wujud dalam masyarakat.

Kewujudan masyarakat bukan sekadar memenuhi fungsi biologi manusia iaitu kelangsungan hidup di dunia ini. Jika ini alasannya masyarakat manusia tidak jauh berbeza dengan kumpulan haiwan - untuk membiak selain mencari makan dan minum!

Masyarakat wujud untuk fungsi yang lebih besar iaitu memakmurkan alam ini. Ini dilakukan dengan adanya institusi kepimpinan. Aspek inilah yang dikaitkan dengan kemahiran berpolitik - suatu bidang yang mencetus dan mengawal perubahan semua aspek penting dalam masyarakat iaitu sosial dan ekonomi.

Bagaimana kesatuan dalam masyarakat ini dikekalkan ? 

Ahli sosiologi mengistilah dorongan kepada penyatuan dalam masyarakat sebagai espirit de corp. Istilah Perancis ini (disebut es-pree deh core) diterjemahkan sebagai semangat kumpulan (group spirit). 

Semangat ini ada pada 'any group that appears united and protective of its members'. (huraian lanjut klik di sini).

Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai morale iaitu "...is an intangible term used for the capacity of people to maintain belief in an institution or a goal, or even in oneself and others."

Alexander H. Leighton dalam bukunya bertajuk 'Human Relations in a Changing World: Observations on the Uses of the Social Sciences (1949) , mentakrifkan "morale is the capacity of a group of people to pull together persistently and consistently in pursuit of a common purpose".

Ibnu Khaldun, sarjana Islam abad ke-14, menyebut faktor yang mengikat ahli kabilah (dalam konteks masyarakat Arab) adalah assobiyah. Menurut beliau faktor ini adalah fitrah bagi masyarakat Arab badawi yang terkenal dengan sikap suka berpuak-puak. 

Apapun perspektif yang kita gunakan masyarakat itu bersatu kerana fitrah untuk mempertahan kelangsungan hidup masyarakat tersebut, terutamanya apabila menghadapi ancaman dari luar atau musuh yang ingin menjajah.

Bagaimanakah semangat kumpulan ini menjadi bahaya kepada kemanusiaan ?

Dalam sosiologi juga, ada istilah lain berkaitan dengan espirit de corp atau assobiyah iaitu nasionalisme atau semangat kebangsaan. Dari sisi positifnya, ia merujuk kepada kecintaan kepada bangsa. Ia wujud pada semua bangsa di dunia ini kerana ia adalah suatu fitrah. 

Namun dari sisi negatifnya fitrah yang baik ini boleh bertukar menjadi suatu sikap kejam dan zalim apabila ia menjelma sebagai idealogi dengan nama etnosentrisme.

Contoh yang paling 'masyhur' ialah etnosentrisme kaum Jerman yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Yahudi semasa Perang Dunia II. Peristiwa ini disebut sebagai holocoust. Tidak kurang zalimnya ialah etnosentrisme kaum Serbia yang membunuh orang Islam Bosnia pada awal 1990-an dahulu.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

Wednesday, July 29, 2009

Etnik dan Ras : Apa bezanya ?

Etnik dan Etnisiti

Satu kumpulan manusia dianggap seetnik kerana mereka mempunyai pertalian dan persamaan bahasa, adat resam, tradisi, agama atau kepercayaan hidup, sempadan geografi, keturunan (ancestry), kegiatan ekonomi atau gaya hidup. 

Mereka menunjukkan budaya yang seragam atau hampir seragam di ruang (tempat) dan masa yang sama.

Kerana itu untuk mengenali sesuatu etnik itu ukurannya ialah pada kebiasaannya atau lumrahnya  mereka mengatur dan menjalani kehidupannya. Dalam bidang sosiologi, ini  dirujuk sebagai amalan  budayanya - sama ada yang bersifat benda atau bukan benda.

Bagi orang Melayu sifat budaya etniknya – malah – ditentukan oleh undang-undang perlembagaan negara. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia mendefinisikan ciri-ciri etnik Melayu “..orang Melayu ialah mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat budaya Melayu….”.

Manakala etnisiti pula adalah rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Ia wujud sebagai ‘social glue’ kerana persamaan sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku.

Ras

Istilah ini merujuk kepada sifat lahiriah-biologi semulajadi yang mudah diperhatikan pada seseorang atau sekumpulan manusia seperti warna kulit, warna mata atau rambut dan sebagainya.

Sekelompok manusia dikatakan seras atau dari kumpulan ras yang sama kerana mempunyai ciri-ciri fizikal genetik yang sama sebagaimana yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Perbezaan Etnik dengan Ras

Etnik itu merujuk kepada tradisi atau budaya – cara hidup yang dilalui atau dipamer seperti gaya berpakaian, bahasa pertuturan, perayaan yang disambut dan sebagainya. Untuk mengenali etnik kita perlu lebih teliti. Sifat etnik tidak terus kelihatan melainkan ia dipertunjukkan melalui cara hidup.

Ini berbeza apabila mengenali suatu ras. 'Pembaris sosial'nya berbeza.

Ras lebih mudah dikenali. Pengenalannya boleh berlaku secara langsung dengan melihat kepada rupa fizikal seseorang tanpa perlu mengetahui aspek budaya yang dizahir atau diungkapkan. Misalnya dengan melihat seseorang yang berkulit hitam dan raut wajahnya kita mudah mengecamnya sebagai seorang dari ras India. Ini kerana Melayu dan Cina mempamerkan cir-ciri ras yang jauh berbeza dengan ras India.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...