Kemelut karya sastera bertajuk 'Interlok' di sisi Pengajian Malaysia adalah satu lagi contoh kegagalan segelintir masyarakat Malaysia berfikir dengan otak yang waras. Agak malang apabila - untuk kesekian kalinya - isu yang sepatutnya bersifat akademik dipolitikkan.
Yang mensasikannya juga bukan sembarangan orang. Mereka bijak dan terpelajar tetapi menjadi irrational bila (kononnya) budaya warisan mereka dihina dalam sebuah karya sastera berbahasa Melayu. Ironisnya karya ini pernah memenangi anugerah sastera negara satu waktu dahulu.
Emosi yang sedang terbakar itu dengan mudahnya menjelmakan Interlok sebagai satu karya jahat perkauman. Dengan demonstrasi jalanan agenda kumpulan ini agar kerajaan menarik balik karya ini sebagai satu komponen teks sastera SPM mencuri perhatian umum.
Maka terjadilah isu kaum. Namun, sebahagian besar daripada kita masih boleh berfikir dengan lurus dan waras. Kemelut dan polemik ini sedang dirungkai oleh pohak kerajaan. Biarlah mereka yang menyelesaikannya sebagai pihak berkuasa negara.
Saya tidak ingin mengulas panjang kerana ada satu tulisan mengenainya akan saya siarkan tidak lama lagi di blog ini atau blog personal saya. Cukuplah saya menyalin semula satu laporan berita terbitan hari ini yang saya kutip dari Malaysiakini bertajuk 'Empat Sasterawan Negara Tampil Pertahan Interlok' untuk mengukuhkan pandangan akademik. Pandangan ini juga ada merit dan wibawanya kerana ia datang ahli ilmu sastera. Manakan tidak mereka semua adalah Sasterawan Negara (SN).
