Thursday, December 29, 2011
Buku 'Sejarah Perlembagaan Malaysia'
Kini satu lagi karya tentang sejarah perlembagaan negara yang baru diterbitkan Grupbuku Karangkraf telah ada di pasaran. Karya dalam bentuk buku berkulit tebal ini ditulis oleh Abd Manaf Ahmad.
Saya baru sahaja membelinya dari MPH kira-kira 2 bulan lalu dengan harga RM45.00 setelah secara tidak sengaja terjumpa buku ini di atas rak buku di cawangan baru MPH di Mydin Ayer Keroh Melaka. Ketika itu saya ingin membeli buku agama. Setakat ini saya belum berjumpa lagi buku ini di kedai buku lain yang biasa saya kunjungi. Justeru, kerana takut terlepas cetakan pertama ini saya terus sahaja membelinya walaupun harganya agak mahal.
Para pelajar Pengajian Malaysia perlu mendapatkan senaskah buku ini sebagai salah satu rujukan tambahan untuk memahami satu sisi penting perlembagaan tanah air yang kini sering disalah tafsir untuk kepentingan satu-satu kelompok atas nama hak asasi, hak kaum minoriti bahkan mungkin bagi mereka yang berkuasa juga.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011
Wednesday, September 28, 2011
Perspektif Peguam Hak Asasi Tentang Hak Berhimpun
Pemahaman kita mengenai hak ini dari perpektif alternatif ini tidak menjadikan kita seorang pembangkang kepada sistem atau undang-undang sedia ada. Ia perlu sebagai landasan untuk berfikir secara kritis agar kita lebih objektif, terbuka dan akhirnya dapat menemukan kebenaran - satu 'harta kemanusiaan' yang boleh disorokkan oleh pihak tertentu demi mencapai matlamat mereka.
Ingat ! Orang yang ingin berkuasa, kekal berkuasa atau mempertahan kuasa atau ingin mula berkuasa juga cenderung memilih untuk berpegang dan melaksanakan prinsip Machievelli iaitu 'matlamat menghalalkan cara' jika keadaan memaksa. Golongan ini dibutakan hati dek kerana mengejar kebendaan (material) dan survival atas nama etnik, agama, tanah air di mana semuanya adalah samaran atau topeng ke atas niat sebenar mereka.
Kepada pelajar Kenegaraan / Pengajian Malaysia anda dituntut untuk bersikap kritis bukan reseptif lagi pasif terhadap idea-idea dan prinsip yang membina kenegaraan kita (harap tidak disalah erti sebagai satu pilihan untuk mempertikai teras kenegaraan seperti Rukunegara dan perlembagaan Malaysia).
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011
Tuesday, January 11, 2011
Bibliografi Merdeka
Melengkapkan senarai bahan rujukan ini adalah karya kritis sarjana tempatan dan luar negeri mengenai teori dan amalan perlembagaan di negara kita. Dokumen yang dinamakan Bibliografi Merdeka ini disediakan oleh Seksyen Pusat Sumber, Jabatan Peguam Negara 2010.
Para pengkaji juga boleh memuaturun terus bibliografi tersebut yang berjudul Bibliografi Merdeka dari Box Kenegaraan Malaysia.
Selamat mengkaji.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011
Thursday, September 10, 2009
Tafsiran Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan
Kitab perlembagaan sarat teks undang-undang. Bahasanya agak umum dan kabur. Selain yang tersurat ia juga mempunyai sisi-sisi tersirat yang berlapis-lapis. Justeru teks undang-undang tidak mudah untuk difahami oleh orang awam.
Ini menjelaskan mengapa dokumen sepenting ini tidak menjadi bacaan orang awam. Ia hanya menjadi rujukan ilmiah pelajar undang-undang dan segelintir mereka yang berminat sahaja.
Entri kali ini ingin mengajak pembaca untuk memahami maksud tersirat satu teks undang-undang dalam kitab perlembagaan tersebut. Teks tersebut adalah Artikel 3 - Islam agama resmi persekutuan.
Tekuni tafsiran teks tersebut di blog Abu Nawas, selenggaraan Dr. Shamsuddin Moner El-Askarey.
Dengan pemahaman ini, wajarkah kursus pemahaman perlembagaan persekutuan dijadikan sebahagian dari silibus atau kurikulum pelajar IPT atau lebih baik lagi dimulakan di sekolah menengah ?
Apa pendapat anda ?
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Sunday, August 23, 2009
Melayu adalah Induk Kenegaraan Malaysia
Ruang wawancara dalam Mingguan Malaysia hari ini sangat baik menjadi bahan bacaan khususnya pelajar Pengajian Malaysia. .Tajuknya adalah 'Melayu dalam Perlembagaan', telah dikupas dengan panjang lebar oleh mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.
Ia kena pada masanya untuk menjelaskan sisi-sisi penting mengenai teras keneagaraan negara ini di sisi perlembagaan yang telah diserongkan oleh pihak-pihak yang chauvinistik dan oputunistik terhadap kelemahan pihak kerajaan lebih-lebih lagi pasca-PRU ke 12 lalu.
Semua rakyat Malaysia mesti memahami bahawa induk negara ini adalah Melayu dan apa yang berkaitan dengannya. Kenyataan ini sesekali tidak berhasrat mengenepikan kepentingan sah kaum Cina dan India. Jika ini dilihat sebagai suatu ungkitan sejarah, maka ia wajar kerana ramai yang telah atau sengaja ingin menghapuskan fakta sejarah ini.
Menurut mereka Malaysia tidak boleh didefinisikan oleh sejarah silam tetapi oleh sumbangan semua kaum. Adapun demokrasi perlu menjadi sepenuhnya asas paradigma kenegaraan Malaysia.
Saya turunkan muqaddimah wawancara tersebut di bawah untuk menarik perhatian pembaca semua. Selebihnya boleh dibaca di sini.
SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu.
Mereka menuntut kedudukan yang sama dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.
Ada pihak yang mempertikaikan kenapa orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.
Pertikaian tentang hak keistimewaan orang Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam Perlembagaan menyebut tentang hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak mendiskriminasi kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua pihak.
Kita juga memberikan pengkelasan yang tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menjadi tonggak di negara ini.Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.
“Saya syorkan kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Khamis lalu.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Saturday, July 25, 2009
Majlis Raja-rajalah yang Berkuasa
Isu ini juga dilihat sebagai usaha campur tangan eksekutif ke atas tugas atau bidang kuasa judisiari (kehakiman). Ini bercanggah dengan semangat dan prinsip dalam doktrin pengasingan kuasa. Sedangkan batas kuasa dan tanggungjawab tiga cabang pemerintahan negara iaitu eksekutif, legaslatif dan judisiari telah diperincikan dalam perlembagaan persekutuan.
Untuk seketika polemik mengenainya mewarnai lanskap sosio-politik tanah air dan menghangatkan lagi suhu politik yang tidak pernah surut semenjak PRU ke-12 lalu.
Posting kali ini mengajak pembaca melihat isu ini dari kaca mata Pengajian Malaysia iaitu bagaimana Majlis Raja-raja berperanan untuk menyelesaikan kemelut perundangan yang timbul berikutan berlakunya pertukaran agama salah seorang ibu atau bapa yang bukan Islam kepada Islam.
Bernama melaporkan bahawa Majlis Raja-Raja hari ini (29 Jun) :
“…memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).”
Melalui kenyataan dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dinyatakan bahawa :
“…Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini.”
Signifikannya berita ini kepada kursus Pengajian Malaysia menjelaskan bidang kuasa pemutus Majlis Raja-raja dalam menyelesaikan masalah yang timbul tentang Islam dan hal ehwal orang Melayu.
Sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan institusi paling tinggi dalam negara kita ini mempunyai segala kuasa untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa cadangan, pindaan apatah lagi jika ada usaha pemansuhan perkara-perkara bersangkutan agama Islam di negara ini, sama ada ia datangnya dari pihak eksekutif (dasar) atau pun legaslatif (akta).
Keputusan Majlis Raja-raja adalah konklusif dan muktamad. Justeru, semua pihak mesti menghormatinya kerana ia adalah tuntutan dalam masyarakat yang bertiang serikan kontrak sosial seperti masyarakat Malaysia.
Diharap selepas ini tiada lagi perbincangan lanjut di pihak NGO bukan Islam bahkan NGO Islam sendiri untuk membuka ruang perbincangan awam kerana ia boleh mengeruhkan kembali keadaan yang melanda emosi masyarakat yang sangat mudah dimainkan oleh sentimen keagamaan dan kebangsaan. Jika adapun ia hanyalah perbincangan yang bersifat akademik bagi mencari kejernihan melalui penelitian lanjut para intelektual.
Kepada pihak kerajaan yang memegang tanggungjawab esksekutif juga harus lebih bijaksana sebelum membuat satu dasar atau meminda akta berkaitan isu sensitif. Ini kerana ramai pihak di kalangan ahli masyarakat yang melihat ia sebagai satu langkah untuk mengambil hati melalui tawar menawar politik di kalangan ahli Barisan Nasional.
Di samping itu semua pihak berkaitan mesti terus mendokong dan berpegang sekuat-kuatnya doktrin pengasingan kuasa dan tidak membiarkan kepentingan sempit sepihak menguasai pertimbangan rasional mereka hingga terlajak mencampuri bidang kuasa pihak lain.
Penyelesaian suatu kemelut dalam masyarakat apatah lagi dalam isu sensitif di negara kita mestilah dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh kewarasan. Ini kerana emosi dan kepentingan sempit sepihak tidak pernah menyelesaikan masalah apapun.
Kita mesti lebih rasional dari orang dahulu kerana pendidikan hari ini lebih menyeluruh dan demokratik.
Tidak cukupkah dengan iktibar dari Tragedi hitam 13 Mei 1969 dan Kg. Medan 2001?
Disalin daripada blog cikgubad.wordpress.com dengan sedikit suntingan, posting 30 Jun
-------------------'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009
Sunday, July 12, 2009
India dan Cina sebagai bumiputera, bolehkah?
Saya mengutip bahan ini dari kertas kerja Profesor Hashim Hj. Musa bertajuk 'Islam dan Dialog Antara Peradaban : Konsep dan Idealisme' yang dibentangkan dalam Perbincangan Meja Bulat “Islam dan Dialog Peradaban”, anjuran Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, 23 Disember 2003.
Kumpulan tersebut ialah :
Pertama, kumpulan ekstrimis yang mempunyai kecenderungan mentafsir dan melaksanakan sesuatu peraturan atau hukum dengan cara melampaui batas pertengahan dan keseimbangan.
Kedua, kumpulan chauvinis (rasis) yang begitu taasub dengan pemikiran dan pendekatannya. Bagi mereka ide dan cara sendiri atau kumpulan mereka sahaja yang terbaik dan paling benar. Manakala fikiran di luar kelompok mereka adalah batil dan mesti ditolak.
Ketiga, kumpulan fanatik yang menggunakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan secara membabi buta (menghampiri psikosis). Sikap dan watak yang tegar ini menolak sekeras-kerasnya sumbangan pihak lain.
Bagaimana kumpulan minoriti ini mendatangkan bahaya ke atas masyarakat majmuk?
Kumpulan ini cuba menjustifikasi dan mempengaruhi pandangan umum dalam usahanya mencapai motif perjuangan mereka sama ada bersifat politik (yang paling biasa), ekonomi dan sosial. Mereka menggunakan isu hak asasi, kesamarataan semua kaum, keadilan, kebebasan bersuara, hak demokratik rakyat dan berbagai lagi. Cara ini mudah mencuri perhatian umum terutamanya dari kelompok mereka sendiri.
Apabila berpeluang - kerana kelemahan pihak berkuasa atau kaum majoriti - mereka akan membuat tuntutan-tuntutan yang melintasi garis kaum atau agama. Peluang juga muncul apabila pihak berkuasa mempamerkan sikap yang lebih terbuka dan menyediakan ruang yang luas untuk kebebasan bersuara.
Sikap-sikap ini bila tidak dibendung akan menjadi lebih berani dan ekstrim. Bila ini berlaku ia akan mengundang bahaya kerana ia berpotensi mencetus konflik antara etnik, agama, dan antara minoriti dengan majoriti.
Apabila situasi ini tidak dapat dikawal lagi maka terjadilah tragedi kemanusiaan. Jika kumpulan minoriti ini mempunyai kelengkapan persenjataan kemusnahan yang berlaku akan menuntut korban yang lebih besar.
Bagi kumpulan yang mempunyai idealogi dan cita-cita politik yang lebih besar daripada keutuhan negara-bangsanya sebagaimana dituntut prinsip 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung', jika mereka gagal secara lembut atau diplomasi, mereka akan menggunakan cara-cara lain seperti mengadu domba, menghasut, menyebar fitnah dan sebagainya.
Sebagai langkah akhir – seperti yang pernah dilakukan komunis dahulu – mereka menggunakan cara paksaan, kekerasan dan aksi militan. Bagi mereka 'matlamat menghalalkan cara' Machievelli menjadi rukun iman dalam perjuangan mereka asalkan matlamat tercapai.
Dengan perancangan yang rapi impak besar dari tindak tanduk mereka – sama ada bermotifkan politik, sosial atau ekonomi – direncanakan. Ia disengajakan bagi memberikan kesan ketakutan dan pengaruh meluas dan lama serta lebih berkesan ke atas masyarakat dan negara bahkan suasana sejagat.
Jika kita objektif melihat kembali sejarah pasti kita menemukan rekod jenayah kumpulan-kumpulan ini. Kumpulan ini tidak berbangsa, tidak beragama, tidak bernegara. Ia wujud di seluruh pelusuk bahagian benua bumi. Tanpa kecuali satu pun!
Adakah kumpulan ini wujud dalam masyarakat kita ?
Kajian yang lebih mendalam diperlukan untuk mengumpul fakta yang konklusif. Bukan mudah untuk menghukum seseorang sebagai pelampau.
Namun sejak 13 Mei 1969 ciri-ciri asas pelampau ini dalam bentuk kumpulan ektrimis, cauvinis dan fanatik memang dapat dikesan wujud pada parti siasah perkauman.
Kini ia meresapi pula di kalangan NGO dan kumpulan individu tertentu. Sekurang-kurangnya ciri ini dikesan dalam media cetak dan kini elektronik melalui siaran artikel, ruang forum pembaca dan juga kolum tetap. Debat dan polemik sekitar isu perjuangan menuntut hak etnik dan agama misalnya hampir tidak berkesudahan.
Kita patut bimbang dengan senario yang berlaku ini. Ia tidak sihat kepada iklim sosial, politik dan ekonomi negara. Ia adalah simtom kepada penyakit psikologi etnik yang merasakan diri mereka tertindas, dipinggirkan dan didiskriminasikan oleh pihak kerajaan.
Justeru apabila ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan menuntut agar kaum bukan Melayu diberi taraf Bumiputera dalam sidang DUN Selangor 8 Julai lalu ia wajar dilihat sebagai petanda yang tidak baik kepada kaum Melayu dan bumiputera.
Apa salahnya tuntutan Manoharan itu ?
Mudah untuk kita menelah niat beliau. Sebagai seorang pemuka HINDRAF dan ahli DAP - terbitan PAP Singapura yang memperjuang konsep Malaysian Malaysia - tuntutan beliau atau kumpulan yang beliau wakili itu jika tercapai akan membelakangkan kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang dimeterai antara kaum Melayu dengan kaum imigran.
Bagai kaduk naik junjung di atas keterbukaan yang diberikan kerajaan, sikap Manoharan jelas sebagai satu percubaan awal untuk mengubah perlembagaan Persekutuan dan cuba mengambil peluang di atas konsep 1Malaysia yang ditaja Dato' Seri Najib.
Benarkah konsep 1Malaysia akhirnya akan menghilang langsung jurang sosial antara etnik di Malaysia?
Saya tidak fikir ini akan terjadi. Melayu dan bumiputera tetap dengan status etnik ini. Begitu jugalah kaum CIna dan India.
Ini kerana masyarakat Malaysia sejak 1957 telah didefinisikan oleh perlembagaan persekutuan dalam apa yang disebut sebagai Kontrak Sosial. Perkara 153 misalnya telah difahami sebagai perlindungan ke atas kaum Melayu dan bumiputera oleh Raja-raja Melayu.
Tidak kerana dalam perkara yang sama (Per. 153) perlembagaan persekutuan YDPA juga bertanggungjawab menjaga kepentingan yang sah kaum bukan Melayu ini.
Jadi konsep baru 1Malaysia ini masih terikat dengan semangat asal perlembagaan persekutuan. Jika ada niat tersirat untuk mengubah kerangka ini maka ia boleh dipertikaikan di kamar mahkamah satu masa nanti atau pihak Majlis Raja-raja boleh campur tangan untuk mengelakkan natijah buruk ke atas kaum Melayu dan bumiputera.
Berbalik kepada tuntutan Manoharan tadi memanglah ia tidak akan berhasil kerana bukannya mudah meminda apatah lagi memansuhkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu, namun kelantangan Manoharan memberi mesej kepada kita bahawa golongan ini tidak mudah untuk toleran dan boleh jadi cenderung menjadi cauvinis pula kelak.
Tanpa kajian objektif ramai yang akan terpengaruh bahawa kaum India dan lain-lain minoriti telah menjadi warganegara kelas kedua berbanding kaum Melayu dan bumiputera.
Dengan kebimbangan ini, maka pada hemat saya kursus Hubungan Etnik diperkasakan dan Pengantar Perlembagaan Negara perlu diwujudkan. Dan oleh kerana melentur buluh itu biarlah dari rebungnya, seeloknya mata pelajaran sejarah juga perlulah dipinda semula agar elemen pemahaman perlembagaan negara diberikan penekanan yang sewajarnya.
Usaha ini - bersama dengan pelan pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang lebih adil dan saksama oleh kerajaan - akan menggiatkan lagi usaha melahirkan negara-bangsa Malaysia berdasarkan acuan tempatan dan lunas sejarah kelahiran Persekutuan Tanah Melayu merdeka 1957.
Saya fikir kita semua wajib kembali melihat akar budaya dan lipatan sejarah. Kita semua sangat memerlukannya kerana seakan-akan kita sedang hilang punca dan kiblat kehidupan.
Kepada saudara Manoharan tidak pentingkah lagi 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar '?
------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.
Saturday, July 11, 2009
‘Implikasi’ Menjadi Muslim di Malaysia – Perspektif Perlembagaan
Isu ini adalah antara isi utama kuliah bab Perlembagaan dalam kursus MPW1133 Pengajian Malaysia. Ia disentuh kerana nilai berita dan sifat kesemasaannya (contemporary) bagi memahamkan pelajar tentang faham perlembagaan (constitutionalism) dalam konteks negara kita Malaysia.
Juga untuk menyampaikan mesej kepada pelajar mengenai perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi dan diluhurkan rakyat Malaysia. Di dalamnya termuat unsur tradisi yang dikekalkan dalam negara moden, ikatan dan kontrak sosial selain berfungsi sebagai dokumen undang-undang. Prinsip dan hukum hakam perundangan ini mendefinisikan cara hidup rakyat dan kelakuan kerajaan serta institusi sosial dan politik.Namun isu ‘Implikasi menjadi muslim di Malaysia’ menjadi polemik berikutan timbulnya konflik antara kebebasan asasi (Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan – selepas ini diringkaskan sebagai PP) bersama kebebasan beragama (Perkara 3 dan 11 PP) dengan (Kewajipan) menjadi dan kekal muslim di Malaysia mengikut Perkara 160(2).
Sebagai teks undang-undang yang tidak bersifat muktamad dan tidak langsung definitif, peruntukan-peruntukan ini memerlukan pentafsiran para hakim yang arif untuk membuat kata putus di kamar mahkamah – peruntukan manakah yang patut ditegakkan manakala yang lain akan tertakluk kepada maksud sebenar atau maksud asal peruntukan tadi.
Kes Lina Joy yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di mana beliau kalah dalam rayuannya untuk dibuang perkataan Islam dalam Kad Pengenalannya membuktikan bahawa ketertinggian Islam di sisi undang-undang negara.
Mengulas isu ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faiza Thamby Chik – dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa 2008 di USIM – telah berkata :
“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan”.
Selanjutnya beliau juga menegaskan bahawa kebebasan beragama di Malaysia dijamin oleh perlembagaan. Namun dakwah agama bukan Islam dibatasi oleh peruntukan lain PP – iaitu Perkara 11 (4) – sebarang usaha mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam adalah dilarang.
Adakah maksud yang lain daripada apa yang telah dihuraikan oleh bekas hakim tersebut yang boleh dianggap lebih autentik (berwibawa) untuk dipegang oleh kita? Bagi yang kritis pendapat oleh bekas hakim itu masih boleh dibahaskan lagi. Ruang polemik ini akan ditutup hanya apabila perkara ini dipersetujui secara konsensus oleh para pengamal undang-undang, sarjana, legaslatif dan eksekutif. Atau – jika terpaksa – melalui paksaan undang-undang juga sebagai alat kawalan sosial apabila keadaan menjadi tidak lagi terkawal hingga berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
____
Petikan tertentu di atas diambil daripada sumber BERNAMA.com bertajuk ‘Penganut Islam di Malaysia Tidak Boleh Tukar Agama, Kata Bekas Hakim’, 19 Nov 2008 dan diolah untuk menyokong buah fikiran penulis di atas.
Disalin semula dari blog : cikgubad.wordpress.com , November 21, 2008...6:25 am


