Tuesday, March 8, 2011

Interlok Di Sisi Sasterawan Negara

Kemelut karya sastera bertajuk 'Interlok' di sisi Pengajian Malaysia adalah satu lagi contoh kegagalan segelintir masyarakat Malaysia berfikir dengan otak yang waras. Agak malang apabila - untuk kesekian kalinya - isu yang sepatutnya bersifat akademik dipolitikkan.

Yang mensasikannya juga bukan sembarangan orang. Mereka bijak dan terpelajar tetapi menjadi irrational bila (kononnya) budaya warisan mereka dihina dalam sebuah karya sastera berbahasa Melayu. Ironisnya karya ini pernah memenangi anugerah sastera negara satu waktu dahulu.

Emosi yang sedang terbakar itu dengan mudahnya menjelmakan Interlok sebagai satu karya jahat perkauman. Dengan demonstrasi jalanan agenda kumpulan ini agar kerajaan menarik balik karya ini sebagai satu komponen teks sastera SPM mencuri perhatian umum.

Maka terjadilah isu kaum. Namun, sebahagian besar daripada kita masih boleh berfikir dengan lurus dan waras. Kemelut dan polemik ini sedang dirungkai oleh pohak kerajaan. Biarlah mereka yang menyelesaikannya sebagai pihak berkuasa negara.

Saya tidak ingin mengulas panjang kerana ada satu tulisan mengenainya akan saya siarkan tidak lama lagi di blog ini atau blog personal saya. Cukuplah saya menyalin semula satu laporan berita terbitan hari ini yang saya kutip dari Malaysiakini bertajuk 'Empat Sasterawan Negara Tampil Pertahan Interlok' untuk mengukuhkan pandangan akademik. Pandangan ini juga ada merit dan wibawanya kerana ia datang ahli ilmu sastera. Manakan tidak mereka semua adalah Sasterawan Negara (SN).


Berikut adalah laporannya.



Empat sasterawan negara tampil pertahan Interlok
Mac 8, 11 2:13pm
Empat sasterawan negara hari ini tampil mempertahankan novel Interlok, karya, Datuk Abdullah Huseein dan menganggap tidak ada masalah dilihat pada istilah dan lukisan yang digambarkan oleh pengarang dalam novel berkenaan. 

Malah keempat-empat mereka - Muhammad Haji Salleh, Datuk AnwarRidhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan - menyifatkan tujuan penulis itu cukup mulia, iaitu melukis gambaran kaum-kaum di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya bersatu menerima negara dan harapan baru. 

“Kami juga tidak mengesan tujuan untuk menghina mana-mana kaum. Akhiran karya ini menawarkan harapan dan kecerahan. Itulah tujuan terpenting pengarang,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, keempat-empat sasterawan negara tersebut mengajak rakyat membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya dapat dikutip pemikiran dan kearifan sasterawan negara.

“Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah teks sastera bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya. 

“Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum. Peristiwa di luar - peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan - dilukis oleh kata-kata dan peribadi pengarang. Ini telah dilakukan sejak beribu tahun oleh semua pengarang, di semua negara,” kata mereka.



Tidak selau rapi dan cantik


Mereka berkata sastera bukan dokumen rasmi pemerintah, atau maklumat yang dirapikan serta dicantikkan untuk disebarkan. Sebaliknya, sastera ialah lukisan kehidupan, dan kehidupan tidak
selalu rapi dan cantik.


“Inilah bahan sastera, dan untuk berlaku adil kepada bahan ini sastera melukis dengan warna berbagai-bagai - ada yang merah, kuning, kelabu dan hitam. Itulah warna kehidupan yang lebih banyak jalurnya. Malah pengarang- pengarang dari benua kecil India, telah turut menyentuh isu dalam Interlok yang oleh segelintir orang di sini disensasikan, kerana sistem sosial masyarakatnya telah dinormakan dalam perjalanan panjang peradabannya,” kata mereka.


Menurut mereka Interlok adalah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latardari 1910 hinggalah sebelum merdeka. 


“Tujuan penulis cukup mulia, iaitu melukis gambaran kaum-kaum yang terdapat di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya telah bersatu untuk menerima negara dan harapan baru. 


“Inilah tujuan pengarang. Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia, terutama Maniam, yang besar hati dan jiwanya, dan masih ingin membantu orang lain, walau pun dia pernah dimangsakan,” kata mereka.

Dicairkan


Sehubungan itu, keempat-empat sasterawan negara berkenaan berkata mereka merasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka sudah dicairkan. 


“Dan sekiranya perubahan pada lukisan satu kaum hanya dibuat, dan tidak pada kaum yang lain, maka akhirnya terdapat suatu lukisan yang tidak lagi berimbang dan benar – hanya cantik pada suatu kaum dan comot pada yang lainnya,” kata mereka.


Justeru, mereka meminta masyarakat membenarkan penulis negara ini melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. 


“Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis,berfikir dan berpendirian,” kata mereka lagi.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...