Monday, March 8, 2010
Toleran versus Muhibbah dan Samahah
Beliau, sebagaimana yang sempat saya ikuti buah fikirannya di akhir waktu siaran, menyatakan bahawa istilah atau terma toleran yang sangat diwar-warkan sebagai sikap atau pendekatan dalam cara hidup masyarakat majmuk bukanlah suatu yang betul dan tepat. Ini kerana ia hanya mewujudkan satu sikap lemah di pihak yang mengamalkan toleransi.
Kita Yang Kian Terbuka dan Liberal - Pengaruh dan Tekanan Parti Perkauman
Manakala GERAKAN, PPP, malah DAP dan PKR pula adalah parti siasah pelbagai kaum, sebagaimana yang pernah dimulakan oleh almarhum Dato' Onn Jaafar ketika menubuhkan Parti Negara dahulu. Cuma kebanyakan ahli parti ini pun kelihatannya didominasi kaum tertentu. GERAKAN dan DAP misalnya terdiri dari majoritinya kaum Cina. Bakinya barulah kaum India dan Melayu. Teraju utama kepimpinan juga seakan dimonopoli oleh satu kamu sahaja.
Sunday, October 25, 2009
Tradisi Rumah Terbuka Malaysia (Kini 1Malaysia) - Hari Deepavali
Antara kaedah yang popular dan telah menjadi tradisi sejak bertahun lamanya ialah mengadakan Rumah Terbuka Malaysia sempena sambutan perayaan hari raya atau kebesaran agama atau kaum utama di negara kita.
Monday, September 14, 2009
Toleransi Agama oleh Masyarakat Barat
Saya turunkan kisah pengalaman toleransi agama oleh masyarakat Barat untuk mencelikkan kita yang agak miskin pemahaman tentang bagaimana toleransi agama antara masyarakat berbilang kaum dipraktiskan.
Ironisnya amalan ini datangnya dari sebuah masyarakat yang dicop sekular-liberal dan sarat hedonisma. Bagaimana mereka boleh berlaku begitu adil dan menghormati agama komuniti minoriti di bumi mereka sendiri ?
Saya teringat pendapat rakan-rakan saya dahulu apabila membincangkan mengenai amalan yang islamic. Dari pengamatan mereka yang pernah belajar dan bekerja di negara Barat dan Asia maju seperti Jepun dan Korea, nilai-nilai dan amalan yang islamic lebih tertonjol dalam budaya dan cara hidup masyarakat yang sering didakwa gersang rohaninya.
Sebaliknya, kita yang lahir sebagai muslim (muslim-born) mempamerkan nilai dan amalan yang unislamic. Kitalah yang menunjukkan kepada orang lain yang kita ni selalu lambat menghadiri temu janji, pemungkir janji, tidak menghormati kaum yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak, kuat merasuah dan terima rasuah, tidak mesra-alam sekitar, tidak menjaga kebersihan, dan macam-macam lagi budaya hidup.
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Ini semata-mata persepsi yang tidak tepat. Namun, di celah-celah persepsi ini saya percaya terdapat kebenarannya. Di mata saya ianya cukup jelas. Kalau takda angin, masakan pokok tu boleh bergoyangkan!
Kembali kepada isu pokok entri kali ini mari kita tekuni petikan dari tulisan Nasreel Khalib,Illinois bertajuk 'Toleransi Agama: Selangor Malaysia vs Illinois USA' dalam ruangan pembaca Harakahdaily.net.
Moga ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari masyarakat Barat yang sedang ranap moralnya ini.
Mon | Sep 07, 09 | 3:31:20 pm MYT
"Dalam kita menerima kunjungan Ramadhan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan tindakan yang sangat menyedihkan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam dalam protes mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di syeksyen 23 Shah Alam.
Mereka bertindak menghina agama Hindu dalam keadaan yang sangat ekstrem - sesuatu yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Tidak pernah kita diajar oleh Rasulullah agar menghina agama-agama lain.
Alasan yang dipersoalkan beberapa penduduk setempat sangat mudah, mengapa perlu dibina kuil di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu Islam.
Sebentar tadi saya membaca yang proses pemindahan kuil ini telah dibekukan disebabkan oleh kekecohan yang berlaku semasa sesi dialog diantara kerajaan negeri dan penduduk setempat.
Kebetulan pada ketika ini saya berada di bumi Amerika atas urusan kerja. Sudah hampir tiga bulan saya disini bersama keluarga.
Menyambut Ramadhan bersama penduduk minoriti Islam Des Plaines Illinois. Saya dapat melihat sesuatu yang amat 'ganjil' disini, di tengah-tengah bumi Amerika yang penduduk Islamnya tidak sampai 1%, tersergam masjid yang indah dan selesa.
Malah Masjid ini juga hanyalah beberapa ratus meter jaraknya dari sebuah gereja Katholik. Tidak pula kelihatan masyarakat Kristian disini berdemo dan membantah kewujudan Masjid disitu.
Malah apa yang lebih dikagumi ialah setiap kali waktu solat Jumaat, akan ada beberapa orang pegawai Polis 'mat saleh' bukan Islam yang akan mengawal lalulintas dan parking didalam kawasan Masjid.
Mungkin, itu perkara biasa, seminggu sekali. Tetapi apabila bermulanya Ramadhan, saya dapat melihat bagaimana mereka bertugas setiap malam. Kebetulan Ramadhan tahun ini berlangsung di hujung musim panas, maka waktu Isya'nya sedikit lewat dari Malaysia. Pegawai-pegawai Polis ini masih lagi bertugas menjaga lalulintas dan parking sehinggalah Terawikh tamat pada jam hampir 11.30 malam.
Keliru saya memikirkan situasi di sini apabila dibandingkan dengan situasi kuil di Shah Alam. Malu dengan perbuatan dan sikap segelintir umat Islam di Malaysia. Apakah mungkin masyarakat Kristian di Amerika ini lebih baik dari Umat Islam di Malaysia?
Dimanakah keadilan dan keindahan Islam yang ingin kita tonjolkan? Apakah mungkin masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam dalam situasi ini."
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Wednesday, September 9, 2009
Akibat Menyentuh Perkara Sensitif secara Ekstrim
Namun kebebasan ini tidaklah mutlak atau hampir mutlak sebagaimana diamal di negara Barat. Kebebasan ini terhenti pada perkara-perkara yang sensitif seperti agama, kaum, bahasa, hak istimewa Melayu, institusi Raja-raja Melayu. Sebagaimana semua maklum, semua perkara tersebut merupakan sebahagian daripada Kontrak Sosial yang mengikat seluruh rakyat negara ini.
Justeru, sebarang bentuk luahan secara terbuka seperti perbincangan dalam forum, demonstrasi, rapat umum, kempen politik dan sebagainya dalam nada mempertikai, memperlekeh apatah lagi menghina perkara-perkara yang tersebut tadi adalah dilarang sama sekali.
Pendek kata kebebasan bersuara di Malaysia hendaklah diiringi tanggungjawab dan dibuat secara berpada-pada mengikut konteks dan dalam ruang lingkup perlembagaan negara.
Larangan ini telah berkuat kuasa selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 bagi menjaga dan memelihara keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk di negara kita.
Larangan dan amaran yang mempunyai implikasi undang-undang ini bukan sahaja tertuju kepada masyarakat awam, NGO, dan institusi sosial lain bahkan meliputi ADUN dan ahli Parlimen semasa sidang DUN dan Parlimen berlangsung.
DUN dan Parlimen tidak lagi memberi kekebalan atau lesen (sebelum 1969 mereka mempunyai imuniti yang luas) kepada penggubal undang-undang ini untuk bercakap apatah lagi mendebatkan isu agama ini selain isu kaum, bahasa dan lain-lain lagi.
Undang-undang ini sangat penting bagi mengelakkan ketenteraman awam diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang chauvinistik, ekstrimis atau fanatik.
Oleh itu, kenyataan Pejabat Peguam Negara semalam 8 September untuk mendakwa beberapa penduduk Melayu Seksyen 23 Shah Alam kerana menghasut dilihat sejajar dengan maksud memelihara ketenteram awam dari api perkauman.
Berikut adalah sebahagian laporan Malaysiakini bertajuk 'Kepala Lembu : 12 didakwa esok':
"Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.
Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini."
"...mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis."
Semalam, peguam negara berkata mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi berkenaan akan didakwa menghasut.
Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Kira-kira 50 penunjuk perasaan meluahkan keberangan mereka di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam dengan ucapan berapi-api dan memijak kepala lembu yang diusung dari pintu masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut.
Mereka membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dari Seksyen 19 Shah Alam.
Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.
Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.
Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".
Melalui kes ini - sebagaimana yang boleh kita baca dalam media lain, beberapa pengajaran boleh diambil.
Pertama, orang Islam juga tidak mempunyai kebebasan untuk menyentuh agama kaum lain dengan nada provokosi dan menghasut untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian orang awam terhadap kaum India.
Kontrak Sosial tidak sewajarnya dilihat lagi sebagai satu ingatan satu hala tetapi dua hala. Bukan sahaja orang bukan Islam dilarang mempertikai Islam, tetapi orang Islam juga diingatkan agar tidak melakukan perkara sama kepada agama lain.
Kedua, PDRM dan pejabat Peguam Negara menyiasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa memihak kepada orang Melayu. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang negara.
Ketiga, Akta Hasutan 1948 digunakan hanya dalam kes sensitif yang boleh mengancam ketenteraman awam dengan impak yang besar.
Keempat, emosi dan kejahilan tidak (pernah) boleh menyelesaikan masalah terutamanya dalam isu sensitif.
Kita semua patut kembali kepada undang-undang dan asas kenegaraaan Kontrak Sosial. Kebebasan bersuara tidak patut dijadikan alat atau alasan untuk membuat tuntutan bersifat perkauman.
Moga kerukunan dan keharmonian kaum di negara bertuah ini terus dipertahankan.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Monday, September 7, 2009
Perpaduan Sekadar Retorik ?
Malaysia dibanggai kerana masyarakat majmuknya hidup dalam keadaan harmoni. Biarpun pernah berlaku tragedi berdarah kerana rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan terbaru Peristiwa Kg Medan 2001 lalu namun kehidupan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya masih lagi didefinisikan oleh sikap tolak ansur, saling hormat menghormati dan faham memahami.
Di samping itu, alat kawalan sosial seperti undang-undang (Akta Hasutan 1948 dan ISA 1960) turut berperanan dalam mengekalkan keamanan awam di negara ini. Ia menjadi jalan terakhir apabila nasihat dan amaran pihak berkuasa tidak lagi dipatuhi oleh pihak yang sudah dirasuk emosi dan kemaruk kuasa.
Adakah anda bersetuju dengan pandangan di atas ?
Terpulang kepada penilaian masing-masing. Pengetahuan melalui kajian, pengalaman dan pendedahan sosial dan sikap yang terbentuk selama ini menentukan aliran atau mazhab pandangan yang kita dokong.
Untuk mencetus perbincangan kritis, pendapat berikut dari seorang tokoh akademik Cina yang mewakili aliran sederhana boleh menjadi bahan awal pemikiran kita.
Profesor Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM menyatakan :
"Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik. Perlu ada interaksi yang kerap dan tulen sifatnya supaya ada semangat kenal-mengenali. Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalahnya. Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya".
Dengan kata lain, Profesor Teo menyimpulkan bahawa perpaduan di kalangan masyarakat majmuk hanyalah bersifat kosmetik atau superficial.
Wawancara penuh boleh dibaca dari arkib Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009 bertajuk 'Perpaduan kaum hanya retorik'.
Sebagai pelajar bagaimana situasi di atas boleh di atasi bagi mengelakkan terjadinya 'api dalam sekam' dalam hubungan inter-etnik di negara kita?
Bolehkah kita menganggap bahawa masih wujud sikap 'bagai enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing' di kalangan kumpulan etnik tertentu?
Untuk menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh bersandarkan kepada persepsi popular atau pun persepsi pinggiran. Pandangan dan komentar di dalam media alternatif seperti blog atau laman sesawang hendaklah dibaca dengan berhati-hati. Ia boleh dibaca tetapi tidak boleh disandarkan sebagai hujah ilmiah kerana ia sarat prejudis personal, emosi dan sangat tidak objektif.
Kita perlu mengusul periksa dari sumber yang autentik agar tidak terjebak ke dalam perangkap maklumat pincang (bias information).
Sebagai pelajar tugas andalah untuk meneliti dan menapis bahan-bahan yang dirujuk agar hanya bahan-bahan terpilih sahaja diguna untuk mendirikan premis untuk mencapai kesimpulan yang konklusif.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
'Agree To Disagree' : Sikap dan Prinsip Muhibbah
Kemelut dalam isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam jelas memperlihatkan agama adalah isu yang sangat sensitif di negara kita. Ia menjadi salah satu ujian atau mehnah terbesar kepada amalan toleransi beragama di kalangan orang Islam dengan rakan senegaranya, orang bukan Islam.
Bagi orang Melayu sendiri pantang datuk nenek moyang mereka jika ada pihak yang cuba menyentuh tentang agama mereka (Islam). Sesiapa yang cuba mempertikai, meremeh apatah lagi menghina akidah Islam ibarat menjolok sarang tebuan. Padahlah jawabnya!
Saya percaya bagi orang Hindu, Buddha dan Kristian mereka juga sensitif apabila kepercayaan dan amalan agama mereka diremeh dan dihina. Agama adalah jiwa nurani suatu bangsa. Ia roh kehidupan masyarakat. Justeru, ia wajib dipertahankan dengan apa cara sekalipun apabila adanya ancaman dari luar.
Namun, dalam banyak situasi orang Melayu dikatakan ekstra-sensitif apabila bercakap soal-soal agama. Di Malaysia sikap ini begitu diserlah oleh orang Melayu.
Atas alasan inilah maka isu agama dianggap sebagai perkara yang tidak boleh dibincang secara terbuka. Walaupun fitrah agama itu baik dan mengajak kepada perdamaian, ia juga boleh menjadi sebab kepada pertelingkahan dan wujudnya sentimen benci membenci.
Bagaimana ini boleh berlaku ?
Alasannya ialah wujudnya penganut agama yang ekstrim atau fanatik. Golongan ini tidak boleh menerima idea atau pandangan orang lain. Sikap mereka menonjolkan amalan agama yang rigid atas nama mereka sebagai kumpulan yang superior dan dominan.
Satu contoh kepada sikap yang keras dan tidak menghormati pihak berkuasa dan rakan minoriti yang lain ialah semasa majlis dialog isu kuil di Shah Alam. Harakahdaily dalam laporan 5 September bertajuk 'Dialog tidak bertamadun: Selangor tangguhkan pemindahan kuil' menonjolkan sisi buruk segelintir penduduk Islam apabila berhadapan dengan isu agama.
Tanpa prejudis dan meremehkan kecintaan mereka terhadap Islam, pada hemat saya dialog tersebut wajar dilakukan dalam suasana muhibbah. Amarah tidak boleh dikemuncakkan dengan sikap tidak rasional, ucapan caci maki dan sarat penghinaan.
Kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dalam kemelut ini iaitu kerajaan negeri, penduduk Melayu Syeksen 23 dan orang India minoriti di situ wajarlah menukar sikap. Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila sepanjang masa kemelut ini diisi oleh tuduh menuduh, maki hamun antara satu sama lain. Apapun alasan yang diberikan ia perlu mengambil kira semua aspek.
Antara aspek pokok yang tidak boleh dikesampingkan ialah kebebasan beragama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikel 3 perlembagaan persekutuan hendaklah diterjemahkan dengan penuh hikmah.
Namun, seperkara lagi, ia hendaklah 'dibaca' sekali dengan kefahaman teras atau induk kenegaraan Malaysia iaitu Melayu dan Islam adalah dilindungi dan diberikan keistimewaan, sejajar dengan kedudukannya sebagai agama resmi Persekutuan. Maka tidak wajar juga apabila kata-kata berikut dikeluarkan untuk menjustifikasi hak menubuhkan rumah ibadah kita.
Malaysiakini melaporkan "Bercakap soal toleransi kaum, R Gunaretinam kemarahan penduduk Melayu kerana berkata, setiap rumah kawasan mempunyai surau dan masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.
"Kita boleh terima azam lima kali sehari," katanya, disambut bantahan besar hadirin dalam majlis itu yang bangun dan menjerit beliau berhenti berucap.
Rupa-rupanya kita masih perlu belajar untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sebaiknya episod kali perlu dijadikan teladan dan sempadan untuk mencelikkan kita agar belajar untuk 'agree to disagree' tanpa perlu menggadai prinsip dan kepercayaan masing-masing.
Prinsip 'agree to disagree' merujuk kepada :
"... to a situation where two or more people or groups of people resolve conflict by reaching an agreement whereby both sides tolerate but do not accept the views, opinions or position of the other side. Both sides typically "agree to disagree" where they recognise that further conflict is unnecessary, ineffective or otherwise undesirable. They may also remain on amicable terms while continuing to disagree. "Agreeing to disagree" is a common phrase in English which may be better described as a situation where the parties agree that they disagree."
Tidakkah dengan mengamalkan sikap dan prinsip ini rasa muhibbah akan terpupuk dengan lebih baik sesama kita ?
Sewajarnya begitu kerana selama ini kita lebih suka apabila idea dan pandangan kita diterima orang lain, tidak sebaliknya. Kita perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa kita boleh berbeza pendapat - kerana berfikiran kritis - untuk mencari idea atau pilihan terbaik.
Isu kali ini benar-benar menguji sikap toleransi beragama kita, khususnya orang Melayu-Islam. Menyelesaikan isu ini menjadi sangat rumit kerana sensitivitinya. Orang tua kita mengingatkan bila berdepan dengan isu serumit ini ibarat 'menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung juga tidak berselerak'.
Moga petunjukNya di bulan penuh barakah ini mencelikkan kita semua kepada kebenaran sebagai asas penyelesaian isu ini.
Tiada siapa boleh kalah dalam isu ini.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Wednesday, August 19, 2009
Buku "Multiethnic Malaysia"
Baru di pasaran ialah sebuah buku - kompilasi artikel tokoh akademik, sejarawan, budayawan, aktivis sosial dan sebagainya mengenai kepelbagaian etnik di Malaysia.
Buku bertajuk 'Multiethnic Malaysia : Past, Present and Future' yang disunting oleh Lim Teck Ghee, Alberto Gomez dan Azly Rahman ini ditawarkan kepada khalayak pembaca, peminat isu dan pelajar Kenegaraan Malaysia dengan harga RM60.00 senaskah.
Ia diterbitkan secara usahasama antara UCSI University dan SIRD.
Lebih 20 esei kritis menyentuh mengenai subjek semasa seperti kontrak sosial dan salah gunanya, Dasar Ekonomi Baru dan konsep Ketuanan Melayu.
Esei-esei ini juga mengemukakan sumbangan pelbagai kumpulan etnik dalam membina Malaysia sebagaimana yang kita lihat hari ini.
Buku ini sesuai sebagai bahan bacaan tambahan untuk memahami isu kenegaraan dan hubungan etnik di Malaysia.
Bagi memberikan nilaian dan impak yang 'positif', buku ini mendapat komentar dari tokoh berikut:
Prof. Wang Gungwu "displaying a sharing of experiences and probing thought that should make the book a light for future Malaysians"
Tan Sri Ramon Navaratnam "written by some of the most prominent and intellectually honest academics and political analysts"
Beliau menyambung dengan harapan agar tulisan ini "will contribute greatly to the new era of open debate and discussion and go a long way to promoting more balanced and independent thinking and stronger national unity".
Manakala Datuk Zaid Ibrahim, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2008 dalam kabinet Pak Lah mengulas bahawa "delighted and proud that the editors have come together to keep alive the discourse on multiethnicity".
Beliau percaya "There is a huge reservoir of support for a united Bangsa Malaysia out there. The strength is our multiethnicity, our diversity. We all just have to work for it".
----------
Diterjemahkan secara bebas dari ulasan Helen Ang bertajuk "New book on multiethnic Malaysia" dalam blog Malaysia Today.
Pandangan Moderator
Namun, untuk memahami tulisan yang kritis ini bagi para pelajar terutamanya hendaklah merujuk kepada mereka yang arif dalam ilmu Kenegaraan Malaysia sebelum boleh menerima pandangan penulis. Ini kerana idea-idea yang dikemukakan mungkin menongkah pemikiran dan maklumat dari arus perdana dan bersifat provokatif. Justeru buku ini lebih sesuai untuk bacaan pelajar peringkat ijazah dan ke atas.
Tulisan yang kritis mestilah dibaca oleh fikiran yang kritis juga!
-------------------
Saturday, August 15, 2009
Etnik/Ras OK, Etnosentrisme/Rasisme KO
Etnik dan ras adalah istilah sosiologi merujuk kepada kumpulan manusia dengan ciri-ciri pengenalan tertentu. Dua istilah ini tiada membawa maksud atau label negatif.
Namun apabila dua istilah tersebut dijelmakan sebagai etnosentrisme dan rasisme maksudnya berubah. Kedua-duanya kini menjadi satu fahaman hidup atau isme (sebagai akhiran suatu perkataan atau suffix -ism).
Apakah yang dimaksudkan dengan isme ?
Mengikut wordweb isme merujuk kepada 'A belief (or system of beliefs) accepted as authoritative by some group or school'.
Oxford Advanced Learners Dictionary pula mentakrifkan isme sebagai '..a distinctive doctrine or practice'.
Ringkasnya kedua-dua takrif ini menunjukkan bahawa isme adalah suatu kepercayaan, pegangan, anutan, atau amalan. Isme boleh juga dikaitkan dengan satu lagi istilah sosio-politik lain iaitu ideologi.
Menurut Webster's Classic Reference Library ideaologi merujuk kepada '...a body of ideas that influence a person, group, culture, or political party'.
Bila kita meletakkan semua takrifan ini dalam konteks dua istilah tadi iaitu etnosentrisme dan rasisme, maka fahaman berpusatkan kepada etnik dan ras ini condong kepada sikap menjadi tuan, superior, dominan dalam sesebuah komuniti atau masyarakat. Dengan menggunakan kayu ukur sendiri, semua kumpulan etnik lain adalah inferior, lemah, hina dan tidak setaraf.
Kerana sifat-sifat ini melewati batas pertengahan atau kesederhanaan, golongan ini disebut sebagai pelampau kaum.
Apabila berlaku pertembungan dengan kumpulan etnik atau ras lain - lebih-lebih lagi minoriti - pendokong isme ini akan melakukan, sama ada secara terang-terang atau tersorok, diskriminasi dalam setiap kesempatan berinteraksi.
Ini ditunjukkan dalam pengambilan pekerja, akses kepada kemudahan asas, peluang ekonomi, dan banyak lagi. Di Afrika Selatan - melalui dasar Apartheid - orang kulit hitam menjadi warganegara kelas kedua oleh tuan politik di situ iaitu orang kulit putih. Penduduk natif Afrika Selatan menjadi mangsa dasar diskriminatif kerajaan kulit putih atas nama kemuliaan bangsa kulit putih yang (kononnya) lebih bertamadun.
Di tahap yang ekstrim - atas nama kemuliaan bangsa - mereka akan tergamak melakukan pembersihan etnik (ethnic cleansing) ke atas kumpulan etnik lain. Dalam sejarah kemanusiaan, amalan ini telah ditunjukkan oleh kumpulan Nazi-Jerman ke atas kaum Yahudi dan kaum Serbia ke atas muslim Bosnia.
Bagi orang Yahudi pula mereka beriman kepada satu kepercayaan iaitu 'We are the chosen tribe'. Kini orang Yahudi dalam bentuk institusi pemerintah iaitu regim Zionis-Yahudi membunuh orang Palestin sewenang-wenangnya tanpa dapat disekat oleh undang-undang antarabangsa di tanah air penduduk Palestin sendiri.
Di kala penjajahan diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Isreal pula dibenarkan melakukannya ke atas bumi Palestin yang sangat strategik itu. Orang Palestin dihapuskan dan dihalau dari tanah air mereka agar Israel dapat meluaskan wilayah taklukan mereka untuk bagi mewujudkan Israel Raya (the Greater Israel).
Sangat ironis peristiwa ini masih tergamak diizinkan oleh kerajaan berkuasa dunia sedangkan tamadun manusia semakin maju!
Di Malaysia kumpulan yang rasis atau etnosentrik ini juga pernah wujud. Pada 13 Mei 1969 merekalah yang bertanggungjawab mencetus rusuhan kaum berdarah.
Apakah kita mahu peristiwa ini diulangi lagi sekarang apabila sudah banyak pihak yang cuba mempengaruhi pendapat umum untuk menyokong idea yang mirip Malaysian Malaysia ?
Kerajaan perlu bertegas membendung gejala ini dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan seperti Akta Hasutan 1948 agar individu atau kumpulan rasis atau etnosentrik ini dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka perlu disabitkan kesalahan ke atas negara. Dosa mereka terlalu besar untuk dibiarkan begitu saja.
Peringatan saja tidak cukup. Bahasa yang mereka dan kita semua akan faham sebenarnya ialah bahasa undang-undang - yang dikuatkuasakan.
Mesej yang tegas perlu disampaikan kepada rakyat Malaysia bahawa 'di mana bumi dipijak di situlah langit mesti dijunjung'.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Monday, July 27, 2009
Melayu Tidak Buruk Siku
Pandangan Dr Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisannya bertajuk 'Nasib Melayu di bumi Melayu' dalam Mingguan Malaysia 26 Julai tersemat mesej mendalam terutamanya buat pejuang keadilan dari kalangan parti siasah bukan Melayu.
Mesej dan nada yang sama telah diluahkan lebih awal oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya bertajuk 'Kaki dalam Kasut' bertarikh 20 Julai.
Pernyataan berani dan terus terang itu menyentuh perasaan saya sebagai orang Melayu. Saya percaya ramai yang sebangsa dengan saya berkongsi kebimbangan dan rasa sedih dua orang tokoh - seorang Cina Muslim, manakala seorang lagi Melayu Muslim - dengan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang.
Mari kita berhenti berprasangka dan kembali waraskan diri wahai rakyat Malaysia.
Bagi masyarakat bukan Melayu amnya mereka harus bermuhasabah. Carilah keinsafan diri agar kembali beramal dengan pesanan peribahasa lama Melayu 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'.
Kepada semua termasuk orang Melayu juga marilah kita rasa insaf dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Tidak patut terjadi orang Melayu dan bumiputera terpinggir di bumi sendiri hanya kerana orang bukan Melayu mahukan keadilan (mengikut ukuran dan definisi mereka) di bumi bertuah ini.
Orang Melayu tidak mahu menjadi bangsa yang 'buruk siku' - mengungkit pemberiannya dahulu kepada orang bukan Melayu. Jadi, saling menerima dan saling memberilah sesama kita.
Saya percaya kuasa politik tidak harus diserahkan kepada bukan Melayu sekurang-kurangnya dalam tempah 3-4 dekad lagi. Ini bukanlah suatu kenyataan semborono yang rasis.
Ada sebabnya. Pengorbanan memang berlaku di dua belah pihak. Namun bagi orang Melayu pengorbanan mereka selalu dilihat bersifat sejarah dan tidak perlu disebut-sebut lagi.
Benarkah begitu?
Orang Melayu memang bangsa yang toleran dan gemar mengambil sikap mengalah. Malangnya sikap ini menyebabkan orang Melayu banyak memberi untuk rakan senegaranya yang lain. Ibarat 'kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar mati kelaparan' orang Melayu terus kehilangan hak peribuminya di sisi perlembagaan.
Ini kerana - dari sudut kebendaan - dalam keadaan Perlembagaan Persekutuan yang tidak diubah dan orang Melayu menerajui kepimpinan negara pun, orang bukan Melayu masih terus menguasai 'kek ekonomi' negara. Dominasi ekonomi bukan Melayu ini adalah kesinambungan pencapaian semenjak 1957 lagi. Dan prestasi mereka tidak pernah merosot!
Walaupun Dasar Ekonomi Baru telah tamat pada 1990 dahulu, pemilikan ekuiti Melayu/Bumiputera masih di paras bawah 20%. Sedangkan ekonomi faktor utama perubahan dalam masyarakat, apakah kini - ketika orang Melayu dikatakan lemah - kuasa politik harus diserahkan kepada bukan Melayu pula?
Semua pihak patut faham apa yang boleh dilakukan dengan kuasa politik bila jatuh ke tangan orang yang opurtunis atau yang ada agenda sempit untuk menjaga kepentingan kumpulan mereka.
Formula perkongsian kuasa dalam Perikatan dan kini Barisan Nasional sudah cukup menjadi testimoni kerukunan hidup semua kaum di negara kita. Jika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pun formula serupa harus diamalkan tetapi mestilah jauh lebih baik dari apa yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional.
Orang Melayu tidak patut mengalami perkara ini iaitu 'Bumi dipijak milik orang lain'.
Kepada bukan Melayu pula ingatlah 'Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung'.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
Sunday, July 26, 2009
Rasional Kursus Sejarah dan Kenegaraan Malaysia
Masyarakat (society) dibentuk oleh individu-individu yang berkongsi budaya, norma, cita-cita, aspirasi, matlamat hidup dan sebagainya. Tidak terkecuali yang menjadi perkongsian semua ahlinya - sebagai elemen yang lebih asas - ialah sejarah kelahiran negara, kepercayaan (anutan) hidup yang diwarisi dan bahasa pertuturan.
Elemen-elemen ini menjadi social glue yang mengikat semua ahli masyarakat agar kekal bersatu dalam menghadapi cabaran semasa.
Bagi masyarakat Malaysia, cabaran maha besarnya adalah menghapuskan jurang sosial sesama ahli masyarakatnya. Ini adalah disebabkan masyarakat Malaysia bersifat heterogenus. Dalam bahasa lebih mudah, masyarakat negara ini bersifat majmuk yakni terdiri dari pelbagai lapisan bangsa atau kaum, keturunan, agama dan budaya.
Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat Jepun yang rata-ratanya sebangsa - bangsa Jepun. Masyarakat homogen ini tidaklah sulit untuk dibentuk atau diurus tadbir kerana tiada perbezaan jurang sosial yang luas dan ketara kerana perbezaan kaum atau budaya. Yang ada adalah perbezaan ekonomi - kaya miskin, bangsawan vs buruh - antara ahli masyarakatnya. Ini bukanlah fenomena tempatan di Jepun sahaja. Ia adalah fenomena global.
Kerana kerencaman dan kompleksiti dalam latar budaya sesebuah masyarakat majmuk ini maka ia mengahadapi cabaran utama mewujudkan perpaduan dan keharmonian. Ini kerana semua kaum baik majoriti atau minoiriti (seperti golongan imigran) sentiasa bersaing untuk mendapatkan peluang dan hak yang sama.
Biarpun ada peraturan sosial dan undang-undang bagi mengawal 'persaingan' ini, kadang-kadang terjadi juga pergeseran antara kaum hingga mencetus konflik kaum. Di Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969 dan terbaru di Kg. Medan 2001 adalah bukti kepada masalah hubungan antara kaum yang pernah wujud.
Peristiwa ini dan beberapa insiden lain beberapa tahun kebelakangan ini memberi isyarat yang tidak baik kepada kerajaan dan masyarakat kita. Bahaya sifat perkauman cukup besar untuk meruntuhkan sebuah negara jika tidak dibendung.
Ia boleh menjadi 'duri dalam daging' yang boleh merosakkan usaha kerajaan mewujudkan persefahaman antara kaum. Kita juga sedar memang wujud 'gunting dalam lipatan' dalam masyarakat kita.
Namun untuk menanganinya bukanlah mudah. Bahkan ia sangat sukar kerana pihak kerajaan kena berhati-hati dalam tindakannya berhadapan dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda perkauman.
Sebarang kesilapan di pihak kerajaan boleh mengundang padah yang lebih besar. Harga yang perlu dibayar ialah perpaduan masyarakat itu sendiri. Menyelesaikan kemelut sosial ini ibarat 'menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung pula tidak berselerak'.
Dengan alasan bahawa potensi perpecahan dan konflik antara kaum boleh tercetus lagi, maka generasi muda hari ini perlu dicelikkan tentang asal usul kelahiran negara ini. Tidak cukup untuk bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 untuk membendung penularan dan perebakan fahaman perkauman.
Ia berhajat kepada usaha yang lebih mendasar iaitu dengan memperkasakan pengajian sejarah. Peri pentingnya sejarah perlu disemai ke dalam minda pelajar. Petikan berikut menjelaskan kepentingan sejarah.
- If you want to understand today, you have to search yesterday. ~Pearl Buck
- Professor Johnston often said that if you didn't know history, you didn't know anything. You were a leaf that didn't know it was part of a tree. ~Michael Crichton, Timeline
- A nation that forgets its past can function no better than an individual with amnesia. ~David McCullough
- History is who we are and why we are the way we are. ~David McCullough
- History teaches us the mistakes we are going to make. ~Author Unknown
- History is a living whole. If one organ be removed, it is nothing but a lifeless mass. ~Frederic Harrison, The Meaning of History
Di peringkat pengajian tinggi kurikulum perlu diisi dengan kursus pemahaman perlembagaan sebagai dokumen Kontrak Sosial.
Dengan cara ini sistem pendidikan kebangsaan akan lebih holistik sifatnya. Ia melengkapkan lagi kurikulum di IPT yang selama ini sejak 1990-an lagi menerapkan sisi-sisi sains kemanusiaan bercorak sejarah dan kenegaraan.
Kini selain kursus Pengajian Islam/Moral, Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan Kenegaraan atau Pengajian Malaysia kursus Hubungan Etnik telah mula diajar sejak beberapa tahun lalu.
Biarpun pada awal pelaksanaannya tercetus kontroversi berhubung teks atau modul pengajaran kursus baru ini, namun berikutan 'campur tangan' pihak kerajaan akhirnya semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak, modul Hubungan Etnik yang dihasilkan oleh sekumpulan ahli dalam bidang Kenegaraan Malaysia telah diterima dengan sepakat.
Kini semua pelajar di IPT wajib mempelajari semua kursus di atas tanpa kecuali.
Jika tidak, menurut lisan Derek Heather 'To many of the modern generations, history, like God, is dead'. Saya percaya arah tuju masa depan sesebuah negara mesti dimulai dengan pemahaman jujur dan objektif sejarah bangsa dan negaranya.
Kepada generasi muda hari ini yang diulit oleh kemewahan kebendaan dan berfikiran liberal marilah 'kembali ke pangkal jalan'. Jalan yang akan menyuluh semula perjalanan hidup untuk menemukan semula akar budaya dan warisan peribadi bangsa kita.
Dengan fikiran yang kritis tapi kekal objektifnya, ilmu sejarah negara yang sebenar akan diperolehi. Masa depan negara bergantung kepada pemahaman sejarah yang benar. C.K.Chesterton menasihatkan kita 'We can be almost certain of being wrong about the future, if we are wrong about the past.'
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009Wednesday, July 22, 2009
Modul Hubungan Etnik untuk Kursus SKP2204
Berikut adalah sinopsis modul ini yang disalin daripada website KPT
MODUL HUBUNGAN ETNIK
Modul ini disediakan sebagai panduan utama Kursus Hubungan Etnik di Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT). Tujuan utama modul Ini ialah untuk mendedahkan para pelajar pada tajuk-tajuk asas yang difikirkan sesuai untuk dibincang dan dibahaskan dalam kumpulan disamping dikaji dengan lebih mendalam menerusi kerja kursus. Oleh itu, modul ini bukanlah sebuah teks yang terperinci dan definitif sifatnya, tetapi lebih merupakan satu batu loncatan untuk pelajar memikir dan meneliti hal-hal yang berkait dengan hubungan etnik yang merupakan sebahagian daripada kehidupan dan pengalaman seharian mereka.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.©cikgubad,2009
