Syarat Kuasai KM

Kursus Kenegaraan Malaysia (KM) ini diakui sarat dengan fakta dan bahan-bahan 'baru' di mata pelajar. Bagi kebanyakan pelajar - berdasarkan temu bual dan tinjauan rambang saya - kursus ini dianggap tidak menarik dan akan menjadi pilihan terakhir mereka jika ditawarkan oleh universiti atau kolej. Ia juga ditelah dinobatkan sebagai 'killer subject'!

Sambuitan dingin dan tidak mesra-Kenegaraan Malaysia ini boleh dijelaskan oleh kecenderungan dan sikap pelajar sendiri yang tidak minat sejarah dan bahan-bahan yang mengajak pelajar untuk menekuni dan mendalami pemikiran-pemikiran seperti konsep dan falsafah yang menjadi latar belakang peristiwa atau isu yang terjadi.

Ini ditambah lagi dengan budaya membaca bahan ilmiah yang agak lemah. Akibatnya isi-isi pokok dalam isu-isu kenegaraan tanah air sendiri dikuasai di tahap paling rendah Taksonomi Bloom iaitu pada tahap Pengetahuan (Knowledge) dan Kefahaman (Comprehension).

Justeru, jumlah pelajar yang mendapat A kursus ini sangatlah kecil. Rata-rata pelajar hanya mencapai aras sederhana iaitu di tahap C hingga B.

Jadi bagaimana mengatasi masalah seumpama ini?

Tiada jalan pintas!

Jalannya panjang dan sukar. Kaedah menghafal atau 'copy and paste' hasil kerja orang lain tidak pernah menjadi formula efektif untuk pelajar skor B apatah lagi A untuk kursus ini.

Pelajar wajib rajin menekuni halaman-halaman ilmu kenegaraan secara kritis. Tidak cukup dengan itu, selain sentiasa berdiskusi dengan rakan dan pensyarah, pelajar juga perlu sentiasa peka dengan isu-isu semasa tanah air. Ini adalah kerana sebahagian daripada perkembangan yang berlaku di persekitaran tanah air kita adalah contoh-contoh nyata atau realiti kepada konsep atau teori yang dipelajari di bilik kuliah.

Kesungguhan dan ketinggian daya ilmiah perlu ditunjukkan oleh pelajar dalam tugasan esei yang diberikan. Menulis esei memerlukan kemahiran berfikir yang kritis dan objektif yang tinggi. Dalam konteks inilah kemahiran berfikir secara kritis dan objektif itu diperkenal lalu diasah dan diperkukuhkan.

Menguasai kemahiran berfikir ini menjadikan pelajar seorang yang tahu membezakan maklumat yang betul dengan maklumat yang salah apabila berhadapan dengan lambakan maklumat atau fakta di dalam bahan-bahan yang dirujuk. Pelajar tidak boleh reseptif atau menerima sesuatu maklumat tanpa usul periksa. Apa yang dipegang adalah hasil penelitian yang halus dan ada sandaran nas atau dalilnya yang tidak boleh dipertikaikan dengan mudah. Apa yang dikemukakan hanya semata-mata kebenaran dan hujah yang mantap. Inilah ciri atau ukuran kepada ketamadunan suatu bangsa - sama ada ianya lemah atau kuat.

Di samping itu, ia juga berhajatkan kepada kemahiran teknikal menulis esei. Ia ada peraturan atau format tersendiri seperti menyatakan petikan fakta di bahagian nota kaki dan menyusun bahan atau sumber fakta yang digunakan di bahagian Bibliografi. Di sinilah terletaknya disiplin teknikal ilmiah.

Kursus KM adalah kursus yang dinamik kerana isi-isi kuliah sentiasa boleh dihubung kaitkan dengan pengalaman lalu dan isu-isu semasa hari-hari. Dengan kata lain, kursus ini bukan sekadar teori atas kertas tetapi juga sesuatu yang dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Ia tidaklah tersirat atau tersorok. Ia ada contohnya di luar sana. Kita akan boleh 'nampak' nanti. Cuma pelajar perlu peka memerhati dan mengesan dengan pemikiran yang kritis dan objektif.

Kegagalan untuk melakukan tugasan ekstra ini menyebabkan pencapaian pelajar rendah atau cukup makan sahaja iaitu gred C! Adakah ini memadai untuk menaikkan PNGK anda?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...