Sejarah itu bagi orang Melayu ialah daulah atau kerajaan Melaka yang agung. Kewujudan kerajaan lama ini menjadi testimoni akan wibawa dan upaya orang Melayu dalam membangun sebuah peradaban bangsanya ke satu tahap yang diiktiraf dunia ketika itu walaupun mungkin tidak sehebat peradaban China yang ribuan tahun usianya.
Sistem kenegaraan negara hari ini pun ada susur galurnya daripada kerajaan Melayu lama tersebut. Selaklah kembali halaman-halaman dalam kitab 'Sejarah Melayu'. Ia sarat hujah dan dalilnya selain catatan dalam jurnal pelayar Eropah seperti Ptolemy dan lain-lain. Telitilah pula Perlembagaan Persekutuan negara - akan terjumpa kita adunan elemen tradisi tersebut dengan elemen moden.
Kita barangkali boleh menjangkakan jika tidak kerana serangan Portugis kali kedua pada 1511, mungkin sejarah negara ini tidak seperti yang kita pelajari hari ini. Evolusi dan kronologi jatuh bangun negara kita akan memperlihatkan jejak-jejak dan bekas-bekas pemikiran dan tindakan anak tempatan mengemudi bahtera kepimpinan negara.
Akhirnya masa depan negara juga akan terbentuk menurut pola dan acuan yang berbeza dengan apa yang dirancang oleh pemerintah hari ini. Sistem sosial, politik dan ekonomi negara tidak akan dipengaruhi atau ditentukan oleh faktor etnik dan budaya yang majmuk.
Kerana itu tiadalah Dasar Ekonomi Baru dan tiada juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Rukunegara juga tidak akan dicipta bagi memberi kerangka idealogi kebangsaan untuk diikrarkan setiap pelajar dalam perhimpunan mingguan di sekolah. Bahkan lebih awal dari itu tiadalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4) - sekatan kepada penyebaran akidah bukan Islam kepada umat Islam, Perkara 152 yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan yang paling penting tiadalah Perkara 153 yang menegaskan peri pentingnya kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera berbanding bukan Melayu.
Jadi secara mudahnya undang-undang dan dasar kerajaan mungkin tidak perlu serumit sekarang - yang menuntut terlalu banyak hal yang perlu diambil kira terutamanya perasaan kaum lain yang perlu dijaga. Pendek kata kerana semua yang ada kini adalah pusaka seratus peratus bangsa Melayu, semua yang dirancang dan terjadi adalah implikasinya - baik atau buruk - terkena ke atas bangsa Melayu sahaja.
Namun, Allah yang maha mengetahui tidak mentakdirkan ini terjadi. Sebaliknya, Tanah Melayu berubah menjadi Persekutuan Tanah Melayu sebelum dimuktamadkan sebagai negara baru Malaysia - negara untuk pelbagai bangsa.
Bumi kita kini sudah menjadi milik bersama dengan orang lain.
Masa untuk meratapi takdir ini telah berakhir.
Tapi kita sesekali tidak boleh melupakan sejarah ini. Justeru, kepada semua pembaca entri kali ini marilah kita 'menyegarkan' semula ingatan kita tentang sejarah yang mungkin telah kita simpan kemas dalam lipatan sejarah negara dengan menghadiri Konvensyen Memperingati 500 Tahun (1511-2011) Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka anjuran ISMA pada 29 Januari 2011 bertempat di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.
Dengan slogan 'Melayu Sepakat, Islam Berdaulat', mesejnya tersurat - Melayu dan Islam adalah sinonim untuk menjadi rahmat kepada tanah air yang tercinta ini.
Selamat berkonvensyen.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011
No comments:
Post a Comment