Thursday, March 31, 2011

Interlok - Tak Habis-habis Lagi!

Berita yang dilaporkan oleh Malaysiakini.com ini semalam (klik di sini) tidak menggembirakan saya.

Setelah kaum India, kini kaum China pula - dengan kapasiti lebih besar melalui NGOnya - tampil memprotes Interlok. Seperti yang dijangkakan isi novel 40 tahun ini dinilai dan ditafsir sangat tidak mesra-kaum China dan India. Apa yang cuba dipotretkan SN Abdullah Hussain adalah, secara tersiratnya, bahawa orang Melayu adalah Tuan di tanah air ini. Manakala orang China dan India hanyalah pendatang yang menjadi warganegara kelas kedua dan didiskriminasi pemerintah.

Saya tidak membaca lagi karya yang disifatkan kontroversi ini. Justeru, adalah tidak adil untuk saya memberi ulasan muktamad selain apa yang telah saya berikan dalam entri sebelum ini. Cuma saya agak kesal kerana untuk kesekian kalinya protes ini boleh ditafsir sebagai pendekatan opurtunis di kala PRN Sarawak akan berlangsung 16 April nanti. Juga, mereka boleh juga dianggap mengambil kesempatan di atas slogan 1Malaysia tajaan Perdana Menteri.

Agak ironis sekali kumpulan yang sama juga tidak bersetuju apabila disarankan atas nama 1Malaysia agar diwujudkan hanya sekolah satu aliran iaitu aliran kebangsaan. Pendirian-pendirian mereka ini tidak konsisten. Satu ketika bercakap mahukan kesamarataan dan perpaduan. Pada masa lain pula mereka bermati-matian mempertahankan sekolah aliran jenis kebangsaan demi memelihara warisan nenenk moyang mereka. Sebenarnya pendirian ini juga boleh ditafsirkan cerminan rasisme.

Di Malaysia pluralisme atau kemajmukan budaya dipertahankan kerana pemerintah mengiktiraf asal usul etnik yang menjadi warganegaranya. Namun, formula sekolah ala vernakular ini menjadi penghalangnya. Ini bukan kata saya tetapi keluar dari mulut Prof Emeritus Khoo Kay Kim sendiri.

Agak pelik Malaysia satu-satunya negara di dunia yang pemerintahnya membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil sedangkan Singapura dan Indonesia hanya membenarkan sekolah satu aliran bagi mencapai cita-cita negara-bangsa masing-masing.

Apakah sebabnya?

Adakah kerana pemerintah kita lebih prihatin dan sangat tinggi tolak ansurnya hingga sangat mesra-bukan Melayu? Bukankah ada pepatah Melayu mengatakan 'kera nanti disusukan, anak dirumah mati kelaparan'! Dilihat dari sudut psike, orang Melayu memang lembut hati dan mudah mengalah. Terkenal dengan tolak ansurnya.

Atau kerana masyarakat Malaysia sangat unik dan mempunyai masalah hubungan kaum tersendiri. Justeru, formula sosial dalam isu ini perlu berbeza dari negara jiran Singapura misalnya.

Atau mungkin kerana pemerintah - sejak dulu lagi - mengambil pendekatan berhati-hati atas pertimbangan politik kerana isu budaya terutamanya bahasa dan agama sangat sensitif kepada semua kaum. Ia mudah terusik dan diusik hingga berupaya mencetus kemarahan awam. Justeru, menurut pandangan yang agak popular, pemerintah akan memilih untuk tidak bertegas dan - jika perlu - 'mengalah' untuk memenuhi beberapa tuntutan perkauman atau menutup sebelah mata terhadap pencetus isu yang berpotensi memarakkan api perkauman.

Protes terbaru ini bakal mengundang satu lagi polemik dan kemelut panjang. Berhujah atas nama hak asasi, kesamarataan dan peruntukan perlembagaan,  kebijaksanaan dan keikhlasan serta keberanian bertegas kepimpinan negara akan diuji sekali lagi.

Dua penyelesaian menjadi pilihan, sama ada secara mesyuarah ilmiah di kalangan sarjana dan budayawan atau penyelesaian politik sebagaimana lazim. Di saat PRU akan menjelang tidak lama lagi, kebiasaannya kaedah kedua akan dipilih.

Kita tunggu dan lihat.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...