Sunday, February 21, 2010

Hukuman Sebat Syariah ke atas Pesalah Wanita Pertama Dilaksanakan

Polemik hukuman sebat syariah yang dicetus oleh isu Kartika masih belum lagi berakhir. Di pihak pejuang hak asasi manusia, NGO dan ahli politik liberal hukuman sebat (khasnya dalam Islam hasil stereotyping dan momokan pihak Barat) adalah undang-undang yang tidak bertamadun.

Manakala di pihak yang pro undang-undang syariah ia wajar dan mempunyai justifikasi dari sudut kesan baiknya kepada sosio-budaya masyarakat Islam. Menurut kumpulan ini juga wajaran kumpulan yang anti-hukum sebat lebih didorong oleh sikap dan anutan liberal-sekular yang hanya melihat dari segi logik aqal semata-mata.

Sebenarnya ia adalah non-issue kerana undang-undang sebat ini telah pun sah kerana statusnya sebagai akta atau enakmen setelah diluluskan badan legaslatif negara dan negeri masing-masing. Maka, kenapa ia perlu dipertikaikan sebegitu rupa dan mendapat liputan luar biasa dewasa ini.

Namun pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri pada 17 Februari lalu menunjukkan satu perkembangan yang positif kepada isu ini walaupun ia tidak secara langsung menyelesaikan kemelut isu Kartika.


Berikut adalah salinan laporan Bernama bertajuk "Tiga Pesalah Syariah Wanita Jalani Hukuman Sebat Buat Pertama Kali":
PUTRAJAYA, 17 Feb (Bernama) -- Buat pertama kali, tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lepas di Penjara Wanita Kajang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sambil merujuk kepada hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum pun dilaksanakan, beliau berkata kes itu sengaja digembar-gemburkan kerana jelas dari segi pelaksanaan hukuman sebat itu menunjukkan pesalah tidak mengalami kecederaan.

"Apa yang digembar-gemburkan dalam kes Kartika itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, saya harap janganlah hanya fokus kepada satu kes yang belum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Hishammuddin berkata seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.
Bagi mereka yang sangsi dan 'bimbang' dengan implikasi psikologi ke atas pesalah wanita yang disebat, pengakuan berikut wajar direnungi.
"Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, beliau berkata didapati bahawa mereka insaf, reda dan bertaubat dengan hukuman yang diterima walaupun sebatan tersebut tidak mendatangkan kesan luka.

"Diharapkan isu itu tidak disalahertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.
Apakah yang kita harapkan selepas perkembangan ini ?

Pada hemat saya, biarpun Kartika pula akan disebat selepas ini, polemik ini tetap akan berterusan, sekurang-kurangnya sebagai tema wacana akademik dalam disiplin perundangan dan kehakiman Islam versus sivil.
Polemik ini hanya akan dihentikan oleh dua faktor. Pertama, ruangan untuk berkonflik ditutup oleh pihak pemerintah (eksekutif) kerana menghormati semangat dan maksud perlembagaan. Urusan Islam dilindungi sebagai perkara sensitif kerana ia adalah hak Majlis Raja-raja. Justeru, menyentuhnya secara terbuka dan dengan cara ofensif hanya akan mencetuskan perselisihan faham dan konflik antara agama yang tidak mudah akan ditamatkan. Apabila ini berlaku maka undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 boleh digunakan bagi menghentikan kesan buruknya bagi memelihara keharmonian masyrakat majmuk di negara kita.

Atau kedua, pihak-pihak yang menentang undang-undang dan kehakiman syariah telah faham akan keadilan undang-undang Islam, baik makna yang tersurat mahu pun yang tersiratnya. Maka, persetujuan dan persefahaman lebih mudah dicapai antara pihak yang berselisih dalam isu ini.

Namun penyelesaian ini tidak mudah dicapai kerana selagi dasar terbuka dan lembut pemerintah hari ini 'berkuatkuasa', isu ini dan juga isu lain yang serupa pada masa akan datang akan terus mewarnai hubungan antara kaum dan agama di negara kita. Ini menunjukkan kita tidak sensitif dan memahami konsep religious privacy.

Keterbukaan itu prasyarat untuk perubahan dan mencapai kemajuan dalam masyarakat. Namun, ia tetap ada batasnya. Kita tidak boleh mengambil dan menggunakan ukuran dan kacamata Barat kerana ia tidak kenal erti batas atau sempadan.

Atas sebab inilah, agama dalam pengertiaan yang sebenar diperlukan. Tidakkah Rukunegara kita menyebut dalam prinsip yang pertama 'Kepercayaan kepada Tuhan' ?
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...