Tuesday, January 26, 2010

SIS Dapat Semula Kebebasan Bersuara yang Disekat KDN

Pada 29 Oktober, 2009 lalu di bawah tajuk 'Kebebasan Bersuara, Peranan Kerajaan dan Judisiari' blog ini telah menulis mengenai satu kes mahkamah di mana Sisters in Islam telah mengheret Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke kamar mahkamah atas dakwaan melakukan kesilapan kerana mengharamkan penerbitan dan penyebaran buku Sisters in Islam (SIS) bertajuk Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism.

Perintah pengharaman buku ilmiah tersebut oleh KDN telah dibuat pada 31 Julai 2008 dengan alasan ia menganggu gugat ketenteraman awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang Islam khususnya wanita.

Plaintif dalam kes ini iaitu SIS mendakwa yang KDN telah terkhilaf dalam melaksanakan kuasa yang diperuntukkan oleh akta dan perlembagaan bahkan tindakan itu tidak sah kerana berlakunya ultra vires, merujuk kepada Seksyen 7 Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, dan tidak selari dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara.

Akhirnya semalam 25 Januari 2010 melaluyi portal berita Malaysiakini bertajuk 'Pengharaman buku Sisters in Islam ditarik Balik', Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah membuat semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan (KDN) tersebut dan telah "... menarik balik pengharaman buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' yang dikuatkuasakan lebih setahun setengah yang lalu."

"Dalam penghakimannya, petang tadi, hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata dia gagal melihat bagaimana buku berkenaan boleh menganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa."

Apakah iktibar dari kes ini ?

Kebebasan bersuara adalah dibenarkan dan dijamin di sisi perlembagaan persekutuan asalkan ia tidak diniatkan dan tidak mempunyai kecenderungan atau berpotensi untuk menghasut dan mempengaruhi orang awam hingga mengganggu ketenteraman awam. Maksudnya kebebasan bersuara masih ada batasannya.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar mengawal ketenteraman awam. Namun keputusan dan tindakannya belum tentu betul secara mutlak. Ia masih boleh dipertikaikan oleh pihak lain atas semangat demokrasi dan hak asasi manusia jika didapati kerajaan telah dengan sengaja atau tidak melanggarinya. Maknanya kerajaan perlu bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan.

Orang awam, NGO dan pihak seteru politik pemerintah tidak akan menjadi pihak ditindas oleh pihak berkuasa negeri atau persekutuan kerana undang-undang membenarkan mereka untuk mengheret penjawat awam atau pihak berkuasa jika berasa pihak-pihak tersebut melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara.

Mahkamah pula adalah badan bebas sebagai perantara untuk menyelesaikan pertikaian yang tidak boleh dirundingi lagi secara baik misalnya melalui dialog. Inilah yang dimaksudkan dengan tujuan diwujudkan doktrin pengasingan kuasa antara legaslatif, eksekutif dan judisiari (kehakiman). Masing-masing mempunyai autoriti yang sah di sisi perlembagaan negara. Dakam kes ini, mahkamah jelas membantu pihak awam melakukan 'check and balance' kuasa eksekutif agar tidak terus terlajak dan menjadi terlalu berkuasa.

Keputusan mahkamah adalah pemutus dan mengikat semua pihak yang terbabit untuk patuh. Dengan cara ini masyarakat akan terus bergerak ke hadapan hasil daripada pemikiran yang rasional dan kritis.

Samada kes ini akan berpanjangan lagi tidak dapat dipastikan. Sekarang ia terpulang kepada KDN untuk memutuskannya. Ini kerana KDN juga diberi hak untuk merayu ke mahkamah lebih tinggi. Ini juga adalah dengan kebenaran undang-undang.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...