Monday, February 21, 2011

Soalan Esei Untuk Kuliah Khas MPW1133

Berikut adalah senarai 9 soalan tugasan esei untuk dipilih oleh pelajar Kuliah Khas MPW1133 semester ini.

Perlu diingatkan bahawa ini adalah tugasan individu.

Pelajar yang telah memilih tajuk tugasan sila daftarkan nombor soalan tugasan kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Pendaftaran mengikut prinsip 'siapa cepat dia dapat'.

Pelajar hanya diberi peluang sekali sahaja untuk membuat pilihan tajuk esei. Oleh itu, fikirlah masak-masak sebelum mendaftarkan tajuk tugasan anda.

Kaedah dan format esei telah diterangkan semasa kuliah terakhir yang lalu. Esei yang sudah lengkap disiapkan hendaklah diserahkan kepada saya selewat-lewatnya hari terakhir minggu ke-13 nanti.


Soalan-soalan Pilihan
  1. Terdapat unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan negara kita sejak ia digubal 53 tahun lalu. Apakah yang dimaksudkan unsur tradisi tersebut. Jelaskan rasional ia dimaktubkan dalam perlembagaan.
  2. Interlok telah dituduh sebagai sebuah karya yang rasis oleh pihak yang mendakwa mewakili kaum India di Malaysia. Kemukakan pendapat anda sendiri berdasarkan laporan berita semasa dan dapatan-dapatan lain berkaitan dengan isu ini, sama ada tuduhan tersebut berasas atau tidak.
  3. Asakan globalisasi telah menyebabkan runtuh dan hilangnya sempadan dunia. Ini menyebabkan proses perubahan berlaku ke atas masyarakat dunia dengan kadar yang begitu pesat dan seakan tidak lagi boleh dikawal. Jelaskan kenyataan ini.
  4. Sistem pemerintahan di negara kita adalah unik kerana ia mewarisi sistem pemerintahan silam dan pada masa sama melaksanakan sistem pemerintahan moden berasaskan acuan Barat. Huraikan kenyataan ini dengan lebih lanjut. Dalam huraian anda tekankan bagaimana sistem pemerintahan lama masih mempunyai baki pengaruhnya dalam situasi tertentu hinggakan ia menjadi kuasa penentu kepada hala tuju pucuk pimpinan dan perundangan negara.
  5. Seseorang yang dilahirkan dengan darah Melayu di Malaysia mempunyai implikasi besar di sisi perlembagaan negara. Huraikan apakah implikasi tersebut dilihat dari segi ekonomi, sosial dan politik.
  6. Penyingkiran Singapura telah memulih dan meredakan iklim politik Malaysia selepas tahun 1965. Jelaskan kenyataan ini dengan lebih lanjut.
  7. Jelaskan mengapa 'check and balance' perlu dilaksanakan dalam sistem pemerintahan negara.
  8. Mata pelajaran sejarah telah diwajibkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun ini. Kemukakan rasional dan justifikasi langkah kerajaan ini.
  9. Perpaduan di kalangan pelbagai etnik penting untuk kesejahteraan negara. Dengan memilih fakta-fakta tertentu, hujahkan bahawa kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam usaha mewujudkan hubungan kaum yang harmoni di negara kita.


-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011

2 comments:

  1. salam..cikgu..sye nak tnye pendapat cikgu mengenai pengharaman umno 1988?

    ReplyDelete
  2. 'Alaikum salam Izzaty,

    Isu yg dikemukakan lebih kepada isu politik Izzaty. Lagi pun ia agak teknikal utk dibincangkan di dlm blog ini. Maka ia di luar skop silibus Pengajian M'sia.

    Cuma jk kita nak kaitkan dgn perundangan, pengharaman UMNO 1988 adalah kerana perjalanannya melanggar undang-undang penubuhan organisasi hingga akhirnya mahkamah mengisytiharkan UMNO (lama) terbatal pendaftarannya bagi mengakhiri kemelut antara ahli-ahli UMNO yg berbalah ketika itu.

    Wallahua'lam

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...