Friday, April 15, 2011

Masyarakat Madani : Pengenalan

Di dalam buku Pengajian Malaysia Bab 9 Sistem Kabinet di halaman 109, saya telah sengaja sisipkan satu tajuk tambahan diberi judul 'Masyarakat Madani'.

Tajuk ini belum pernah dikuliahkan secara khusus sebelum ini sehinggalah saya menyedari akan peri penting kewujudan dan peranannya dalam sesebuah masyarakat demokratik moden hari ini. Justeru, bagi mencelikkan para pelajar mengenainya saya memberikan nota asas tentangnya - definisi, peranan dan beberapa contoh semasa yang relevan.

Untuk pemahaman kita bersama dalam ruangan terbatas ini, saya nukilkan satu definisi masyarakat madani atau civil society oleh Gellner :

"Masyarakat sivil ialah satu set institusi bukan kerajaan yang mempunyai kekuatan untuk mengimbangi kuasa kerajaan, menghalang tindak tanduk pemerintah yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga adalah sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada mendominasi dan memanipulasi majoriti masyarakat."

Bersandarkan definisi di atas, maka kini kita fahamlah mengapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia), GERAK (Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia), JIM (Jemaah Islah Malaysia), JUST (International Movement for A Just World) dan PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) ditubuhkan.

Badan-badan yang dibiayai sendiri atau dana awam ini kemudian dilihat begitu kritikal terhadap pendirian, keputusan atau langkah kerajaan yang dianggap tidak demokratik, tidak syarie, bertentangan dengan hak asasi manusia, berlawanan dengan semangat perlembagaan negara dan sebagainya.

NGO ini bergerak atas nafas hak asasi, demokrasi dan keadilan. Biarpun tanpa kuasa politik dan ekonomi, suara mereka disalurkan melalui media rasmi mereka dan juga media alternatif bukan kerajaan bagi menyampaikan maklumat dan menitip kesedaran tentang isu-isu kepentingan awam. Pada masa sama suara yang tidak kecil ini cuba menarik perhatian kerajaandan agensinya tentang tanggungjawab mereka terhadap rakyat dalam isu-isu tertentu khususnya berkaitan hak asasi, kebajikan rakyat dan seumpamanya.

Kewujudan mereka memberi implikasi yang signifikan kepada rakyat dan negara terutamanya pada saat-saat genting semasa musim pilihan raya. Apa yang berlaku di Sarawak ketika ini membuktikan peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat madani di negara ini.

Sila klik di sini untuk 'mendengar' suara masyarakat madani Malaysia yang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil berlangsung di Sarawak.


-------------------

 'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...