Sunday, January 29, 2012

Yang Lama Itu Tidak Lagi Dikelek, Yang Baharu Saja Terus Dijunjung

Salah satu objektif mempelajari Pengajian Malaysia ialah untuk generasi muda hari ini mengenal kembali akar budaya dan tradisi bangsanya.

Tidak boleh dinafikan - akibat proses pemodenan dan dipacu oleh jentera pensegajatan Barat seperti kecanggihan dan kemudahan teknologi maklumat dan peranan media massa - generasi pasca merdeka makin menipis patriotismenya. Generasi baru ini khasnya remaja dan belia hari ini sudah kurang mengenali pusaka bangsanya dan semakin hilang sifat jati diri. Yang lama tidak lagi dikelek, yang baharu saja yang terus didukung.

Bacalah tulisan sarjana mengenai globalisasi dan kesan akibatnya serta amaran para alim ulama dan budayawan tentang ancaman dari Barat (khususnya) yang sedang berusaha - secara halus - menjajah pemikiran dan menakluk jiwa halus bangsa Timur dan beragama melalui gerak kerja 24/7 al ghazwu al-fikr selepas kegagalan kuasa Kristian Eropah terhadap kuasa hijau Islam dalam Perang Salib selama kira-kira 200 tahun dari abad ke 11 - 13 M lalu.

Pada masa sama carilah lagi ilmu dan maklumat mengenai gerakan terancang golongan yang anti-Islam melalui tulisan ulama tentang kegiatan orientalisme yang tidak habis-habis berusaha memesong dan memomokkan Islam dan penganutnya. Kelak kita akan faham bahawa benarlah kalam Allah bahawa bahawa orang Yahudi dan Nasara tidak pernah akan redha dengan kita sehingga kita mengikut millah (cara hidup) mereka.

Kini makin ramai yang dijangkiti dengan xenosentrisme hingga cara hidup mirip budaya Barat yang asing dan bertentangan dengan nilai dan sikap bangsa Timur yang kaya budaya. Citarasa dan kecenderungan berfikir mereka menjadi lebih liberal, individualistik, sekular dan bagi yang lemah imannya menjadi hedonis.

Benarlah apa yang pernah disebut oleh Lord Macaulay di benua India satu masa dahulu mengenai niat penjajah Inggeris ke atas kaum peribumi India Hindu sudah menjadi kenyataan sedikit demi sedikit :

"We must at present do our best to form a class who may be interpreters between us and the millions whom we govern; a class of persons, Indian in blood and colour, but English in taste, in opinions, in morals, and in intellect."
(http://sundayposts.blogspot.com/2008/01/lord-macaulays-quote-on-india.html)

Gejala seperti ini yang berlaku di depan mata kita adalah petanda yang tidak sihat kepada masa depan negara kerana remaja dan belia hari ini bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara. Mereka adalah gambaran kepada rupa bentuk masyarakat akan datang.

Banyak sebab untuk kita risau tentang perkembangan gejala ini. Selain daripada yang telah dinyatakan di atas, gejala ini menjadi kayu ukur kepada sejauh mana kemampuan pendidikan formal di sekolah melahirkan remaja yang sepadu dan seimbang jasmani, emosi, rohani dan inteleknya sedangkan peruntukan pemerintah untuk pendidikan negara adalah antara yang terbesar setiap tahun.

Duit rakyat hasil pengutan cukai setiap tahun akan dipersia-siakan jika agenda penting pendidikan nasional hanya berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang akademik (intelek) tetapi miskin akhlak. Lebih teruk lagi apabila ramai lagi yang tidak cemerlang akademik dan tidak juga cemerlang akhlaknya.

Pada masa sama, sikap dan peranan masyarakat juga turut menyumbang kepada gejala ini. Pendek kata, banyak pihak perlu bertangungjawab dalam hal pendidikan anak-anak baik di peringkat sekolah mahu pun di IPT. Ia bukan tugas guru dan pemerintah sahaja. Ia tugas semua pihak !

Jika gejala ini dibiarkan berterusan, maka tiadalah lagi ertinya Rukunegara yang menjadi ikrar mingguan pelajar di sekolah. Apa yang kelihatan di hadapan mata kita ialah kemiskinan budi, ketidakcintaan kepada tradisi, tidak menghormati institusi penting negara dan  sistem undang-undang. Semua ini dianggap mereka sudah ketinggalan, menyekat kebebasan dan tidak relevan dalam dunia moden hari ini.

Kita perlu melipatgandakan usaha bersama pemerintah untuk memelihara akhlak remaja dan belia agar sentiasa menjadi bangsa Timur yang masih ada ruh dan jiwa. Dengan kualiti ini - melalui didikan ajaran Tuhan tentunya - remaja dan belia kita akan kebal daripada pesona dunia yang materialistik. Barulah cita-cita melahirkan generasi 'Tradisional tapi tidak kolot, moden tapi tidak pula kebaratan' menjadi kenyataan kelak.

Inilah cabaran kepada pemerintah yang mempunyai kuasa, masyarakat madani yang kritis dan para ilmuan, selain masyarakat umum, keluarga dan setiap individu yang insaf untuk membetulkan keadaan agar kita tidak lagi meminggirkan warisan bangsa dan agama ketika berusaha keras mencapai negara maju 2020.

Semua pengkagum tamadun Barat perlu diingatkan tentang pengakuan Betrand Russel, seorang ahli falsafah tersohor Barat yang menyatakan punca keruntuhan tamadun Barat, iaitu :

"...Our own civilization appears to be growing decrepit and ready to fall...I have come to regard 'progress' and 'efficiency' as the great misfortunes of the western world..."

(Betrand Russel, The Prospects of Industrial Civilisation, hal. 181)



-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2012

2 comments:

  1. assalam..mohon kebenaran utk copy artikel nie..

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumsalam sdr Anonymous,

    Dipersilakan untuk menyalin artikel ini untuk manfaat umum dengan membuat pautan kepada blog saya (sumber asal artikel ini).

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...