Saturday, November 14, 2009

Hukum Syariah Inferior kerana Sekatan Perlembagaan Persekutuan

Penggubalan undang-undang Islam termasuk jenayah Islam di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut Perlembagaan Persekutuan Jadual 9 Senarai II (Senarai Negeri).

Pentadbiran dan pemeliharaan hal ehwal Islam pula adalah di bawah kuasa ketua negeri iaitu sultan atau raja negeri masing-masing kecuali bagi negeri-negeri yang tiada raja atau sultan seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Hal ehwal Islam di empat negeri ini tertakluk kepada kuasa YDPA.

Keadaan ini menjelaskan mengapa ini undang-undang Islam berkenaan mempunyai 13 enakmen (ordinan di Sabah dan Sarawak) syariah yang berbeza-beza dalam hal-hal kekeluargaan, harta dan jenayah. Dengan kata lain, undang-undang Islam tidak seragam di Malaysia kerana ia di bawah kuasa 13 DUN negeri, dari Perlis hingga ke Sabah.

Bagi membicarakan kes-kes orang Islam yang melakukan kesalahan atau menyelesaikan pertikaian di luar ruang lingkup undang-undang sivil atau konvensional maka mahkamah syariah diwujudkan. Ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Oleh itu, Malaysia mengamalkan dua sistem kehakiman dan perundangan. Satu untuk sivil (konvensional) yang terpakai ke atas semua rakyat Malaysia manakala satu lagi untuk syariah Islam yang terpakai hanya untuk rakyat Malaysia beragama Islam sahaja.



Disebabkan undang-undang Islam di bawah kuasa DUN / kerajaan negeri - yang dilihat sebagai satu masalah - maka perbezaannya jelas diperlihatkan misalnya dalam undang-undang poligami, kadar zakat fitrah dan hukuman ke atas kesalahan jenayah syarak yang dikuatkuasakan di setiap negeri di Malaysia.

Melihat dalam konteks yang lebih besar, selain perbezaan undang-undang Islam yang disebutkan di atas, walaupun Islam difahami sebagai ad-deen iaitu sebagai satu sistem atau cara hidup (nizamul hayah) yang meliputi semua aspek kehidupan manusia namun dari segi amalan dan kenyataannya di negeri-negeri penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah syarak tidak menunjukkan aspek ini diterjemahkan sepenuhnya.

Enakmen syariah negeri mengenai jenayah tidak memasukkan undang-undang hudud dan qisas sebagai undang-undang jenayah. Ini kerana semua DUN negeri tidak diberi kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah (berat) seperti bunuh, curi, rompak dan perkosa. Jenayah-jenayah ini adalah di bawah bidang kuasa Parlimen (Perlembagaan Persekutuan Jadual 9 Senarai 1) dan hanya dibicarakan di mahkamah awam di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dalam jawapannya terhadap satu soalan mengenai kes Kartika pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di sini, Jumaat 13 November 2009.

Berikut adalah petikan laporan BERNAMA 13 November :

"Menjawab soalan mengenai hukuman enam sebatan yang dikenakan tidak mengikut syarak, Mohamad Sahfri berkata ia berpandukan undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pahang dan bidang kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Beliau berkata walaupun hukum syarak menetapkan hukuman 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum arak yang merupakan satu daripada kesalahan hudud, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman hudud.

Ini kerana enakmen yang ada hanya memperuntukkan hukuman takzir dan tiada hukuman had atau qisas walaupun ada di antara jenis kesalahan itu adalah hudud, katanya."

Daripada laporan BERNAMA di atas, jelas menunjukkan bahawa undang-undang dan hukum syarak di Malaysia tidak disandarkan sepenuhnya kepada hukum dari al-Quran dan as-sunnah dalam hal mengawal perlakuan jenayah berat (seperti membunuh, mencuri, zina yang dihukumkan sebagai dosa-dosa besar) di kalangan orang Islam.

Sebarang usaha menggubal apatah lagi menguatkuasakan undang-undang hudud dan qisas oleh DUN akan dilihat bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. Ini yang terjadi apabila kerajaan PAS Kelantan walaupun telah berjaya meluluskan Enakmen Syariah Hudud dan Qisas, namun ia tidak boleh dikuatkuasakan kerana dilihat bercanggah dengan peruntukan perlembagaan persekutuan. Keputusan Mahkamah Persekutuan diperlukan untuk mengisytiharkan enakmen tersebut sebagai ultra vires untuk membatalkannya.

Sudahlah begitu, kesalahan syariah yang dibataskan oleh perlembagaan persekutuan itu (hanya boleh dikenakan jika kesalahan itu seperti meminum arak, tidak berpuasa, berzina, berkhalwat) pula mestilah dijatuhkan hukuman mengikut kadar 3:5:6 iaitu tidak boleh melebihi 3 bulan penjara atau RM5,000.00 atau 6 kali sebatan.

Dalam kes Kartika dan Rasul Melayu Kahar, kedua-dua pesalah syarak ini dijatuhkan hukuman mengikut kadar ini.

Bagi pencinta Islam mereka berpendapat bahawa ruang lingkup kuasa dan batasan undang-undang serta kehakiman syariah di negara ini meletakkan hukum syariah di kedudukan yang inferior kerana al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan rujukan dan kiblat perundangan dan kehakiman sepenuhnya.

Di Malaysia undang-undang tertinggi adalah perlembagaan persekutuan. Ia menakluk dan mengawal segala undang-undang yang digubal kemudiannya sama ada undang-undang negeri ataupun undang-undang kecil (by law) oleh kerajaan tempatan.


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...