Monday, November 9, 2009

Peguam Negara dan Batas Kuasanya

Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang kerajaan atau peguam bagi (membela) kerajaan jika kerajaan diheret ke mahkamah. Selain daripada itu ia juga berperanan untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan mana-mana prosiding tentang kesalahan-kesalahan di mahkamah sivil. Kuasa ini disebut sebagai kuasa kuasa budi bicara atau prerogatif, iaitu kuasa yang tidak boleh dicabar oleh sesiapapun.

Namun kuasa Peguam Negara tidak meliputi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah, Mahkamah Bumiputera atau Mahkamah Tentera. Pendek kata kuasa Peguam Negara terhad dalam lingkungan Mahkamah sivil sahaja iaitu mahkamah yang di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan.

Batasan kuasa Peguam Negara ini ditunjukkan dalam kes Kartika yang sehingga ke hari ini masih belum disebat sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan Pahang. Dalam berita BERNAMA 8 Nov, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail dilaporkan "...menafikan pihaknya masuk campur dalam penangguhan perlaksanaan hukuman terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Beliau berkata perlaksanaan hukuman tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan pihaknya menghormati sebarang keputusan yang dibuat mahkamah berkenaan.

"Tidak ada..tak kanlah saya (masuk campur), siapalah saya untuk tangguhkan hukuman, saya sendiri tegas pada pegawai saya supaya tidak lengahkan kes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Persidangan dan Khidmat Masyarakat Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara, di Kampung Leban Chondong di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perlaksanaan hukuman ke atas kartika, 32, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lepas.


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...