Saturday, April 10, 2010

Anda Perlu Musykil Perkara-perkara Ini (Terkini 18 April)

Perkara-perkara berikut elok difikirkan para calon Ujian Akhir kursus MPW1133 nanti.
  1. Secara ringkas bezakan sistem raja mutlak dengan raja berperlembagaan dengan merujuk kepada sistem politik negara kita.
  2. Parlimen Malaysia tidak semata-mata berperanan sebagai badan perundangan negara. Ia juga mempunyai peranan bukan perundangan. Huraikan kedua-dua peranan tersebut.
  3. 'Pilihanraya kecil berbeza dengan pilihanraya umum.' Jelaskan kenyataan ini.

  4. Terangkan proses tatacara pelantikan seorang menteri kabinet di sisi perlembagaan. Penerangan anda mestilah mengambil kira kemungkinan calon yang layak adalah dari kalangan orang awam yang profesional. Berikan contoh yang sesuai.
  5. Di Malaysia, seseorang yang dilantik menjadi ahli kabinet tidak semestinya melalui proses demokrasi, sebagaimana yang ramai memahaminya. Dengan kuasa prerogatif Perdana Menteri boleh melantik mereka di luar dewan demokratik untuk menyertai kabinetnya. Huraikan tatacara ini yang mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang negara.
  6. Pilihanraya boleh dilangsungkan kerana beberapa sebab. Huraikan sebab-sebab tersebut.
  7. Terdapat unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan negara kita. Apakah yang dimaksudkan unsur tradisi tersebut. Jelaskan rasional ia dimaktubkan dalam perlebagaan.
  8. Ahli perundangan di negara kita sama ada di Parlimen atau DUN dilindungi oleh imuniti. Mengapa imuniti ini penting kepada golongan ini? Jelaskan. 
  9. Menjadi seorang muslim mempunyai implikasi di sisi perlembagaan atau undang-undang Malaysia. Jelaskan kenyataan ini.
  10. Penggubalan enakmen jenayah syariah di Malaysia tidak boleh meliputi kesalahan jenayah berat. Terangkan apakah yang menyekat kuasa DUN untuk menggubal enakmen jenayah hudud dan qisas.
  11. Malaysian Malaysia bukan formula sosial yang sesuai diamalkan di Malaysia. Jelaskan pandangan anda. 
  12. Orang Islam tertakluk kepada dwisistem undang-undang di Malaysia. Huraikan.
  13. Bezakan Senator dengan ahli Dewan Rakyat. Nyatakan persamaan di antara kedua-dua jawatan ini - jika ada.
  14. Majlis Raja-raja mempunyai peranan untuk melindungi kedudukan orang Melayu dan bumiputera. Huraikan bagaimana peranan ini boleh dilakukan.
  15. Kuasa rakyat adalah di sebalik sebuah kerajaan dalam sistem demokrasi. Jelaskan kenyataan ini.
  16. Tanggungjawab bersama adalah prinsip yang mengikat semua ahli pentadbiran kerajaan. Jelaskan prinsip ini dengan memberi contoh yang sesuai.
  17. YDPA diperlukan di sisi perlembagaan untuk 'bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri'. Apa yang anda faham mengenai prinsip tersebut ?
  18. Siapakah pemerintah sebenar on day-to-day basis di negara kita - YDPA atau Jemaah Menteri? Jelaskan jawapan anda.
  19. Dato Zaid Ibrahim dikatakan telah meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas dasar prinsip. Bagaimana keputusan beliau ini ditafsirkan sebagai tidak dapat memikul Tanggungjawab Bersama (Collective Responsibility) sebagai ahli kabinet?
  20. Mengapakah kabinet bayangan sukar dilaksanakan dalam konteks negara kita? Jelaskan pendapat anda.
  21. 'Jemaah Menteri merupakan kedudukan politik. Ia tidak sama dengan penjawat awam.' Jelaskan kenyataan tersebut.
  22. Ada pendapat mengatakan adalah lebih elok sesebuah negeri itu bebas-pembangkang atau mempunyai pembangkang-sifar. Adakah pendapat ini wajar, dilihat dari sudut amalan demokrasi? Berikan hujah-hujah anda untuk menjustifikasi pendirian tersebut.
  23. Jelaskan YDPA sebagai pemerintah nominal tetapi tetap signifikan dalam sistem kenegaraan Malaysia.
  24. Sistem kehakiman syariah didapati tidak seragam di negara kita. Jelaskan mengapa hal ini terjadi. 
  25. Undang-undang syariah di Malaysia tidak berdasarkan kepada hukum hakam yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah dalam erti kata sebenarnya. Terangkan keadaan ini bersandarkan kepada peruntukan perlembagaan yang sedia ada.
  26. YDPA sebagai ketua negara hari ini nyata berbeza daripada sultan atau raja Melayu era kerajaan Melayu klasik dahulu. Bandingkan dari segi kuasa eksekutif, legaslatif dan judisiari masing-masing.
  27. Huraikan maksud Doktrin Pengasingan Kuasa (DPK) dan amalannya di negara kita.
  28. Kerajaan Perikatan kini Barisan Nasional berjaya mempertahankan kuasa kepimpinan di peringkat persekutuan sejak 52 tahun dahulu kerana formula perkongsian kuasanya. Jelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini yang dianggap sebagai satu formula keramat yang membawa kepada kejayaan parti siasah ini menguasai kepimpinan politik tanah air.
Senarai ini akan ditambah lagi dari masa ke semasa. Fikirkanlah secara serius dan kritis. Sekarang bukan lagi masa membaca. Jika anda terus membaca dari halaman ke halaman dengan harapan kefahaman akan lebih mendalam dan kukuh anda sebenarnya silap besau!

Tempoh berbaki 3-4 minggu ini perlulah diaktifkan dengan latihan minda. Latihan minda tidak akan berlaku dengan keasyikan berterusan membaca nota. Ia perlu diisi dengan sesi soal-jawab sesama pelajar. Dan soal-jawab tidak akan berhasil melainkan dengan cara berfikir yang kritis dan analitis.

Selepas itu pastikan anda menyemak jawapan anda kelak dengan mereka yang arif. Kalau tidak anda mungkin terjerumus dengan perangkap 'perasan' atau syok sendiri.
-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

3 comments:

  1. salam cikgu bad..
    terima kasih cikgu bad di atas soalan kemusykilan yang cikgu berikan ni..
    lepas baca je soalan2 ni, makin saya sedar tentang kekurangan dan kelemahan saya dalam subjek mpw ni..saya ingatkan saya sudah boleh menguasai hampir keseluruhan topik dalam subjek ni..tapi...subhanallah..masih banyak rupanya yang saya terlepas pandang dan cuai..diharapkan dengan panduan dan petunjuk daripda cikgu bad boleh membantu dalam exam akan datang nanti..insya'allah..salam..

    ReplyDelete
  2. Salam Anne_uniti,

    Cikgu cuba mengajak pelajar untuk berfikir secara kritis terhadap kursus ini. Cikgu percaya dengan memikirkan soalan2 yg berkaitan ia dapat mengukur tahap pengetahuan dan pemahaman kita - cetek ke atau mendalam.

    Kemahiran mencipta soalan boleh dipelajari dan kemudian dikuasai pelajar jg spt anne. Bila dah biasa, ia akan jadi spt FAQs (Frequently Asked Questions).

    Belajarlah dengan cara bersoal jawab. Itulah kaedah dalam tradisi pengajian ilmu di kalangan para sahabat dengan Nabi s.a.w.dahulu dan juga dalam tradisi keilmuan dalam tamadun silam lain seperti yg pernah diwariskan oleh Aristotle kepada kita.

    Moga Anne kian mengerti bhw ilmu bermula dgn soal jawab (kemusykilan)terhadap suatu perkara..

    Wallahua'lam

    ReplyDelete
  3. boleh minta jawapan untuk soalan empat....terima kasih...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...