Friday, April 2, 2010

Kedudukan Melayu dalam 1Malaysia dan Malaysian Malaysia

Konsep 1Malaysia tajaan Datuk Seri Najib membawa mesej keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang etnik dan agama. Ia adalah gagasan sosial yang besar dalam usaha mewujudkan bangsa-Malaysia. Dengan slogannya 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' dan kempen berterusan di media ia telah mencuri perhatian dan juga hati rakyat Malaysia.

Namun, di pihak tertentu konsep ini ada kelemahannya. Bagi orang Melayu (di luar lembaga pemerintah tentunya) konsep ini diragui kerana dilihat mirip konsep Lee Kuan Yew 50 tahun dulu iaitu Malaysian Malaysia. Generasi muda mungkin tidak tahu apatah lagi memahami intisari konsep tersebut dan implikasinya jika ia diterima oleh rakyat Tanah Melayu dan kemudian menjadi dasar atau undang-undang negara dalam perlembagaan Persekutuan.

Prinsip Malaysian Malaysia adalah berdasarkan meritokrasi bukan etnik dan agama. Di Malaysia, dakwa Lee Kuan Yew etnik Melayu telah diberikan kedudukan istimewa, kelebihan dan perlindungan di sisi undang-undang tertinggi negara.

Sekali imbas, perlembagaan dilihat memihak kepada Melayu dan pada masa sama mendiskriminasi etnik lain. Dalam bahasa mudahnya perlembagaan berat sebelah. Maka, kerajaan yang memerintah juga akan menunjukkan sikap berat sebelahnya dalam mengagihkan kekayaan negara - satu aspek yang konkrit - terhadap kaum-kaum di Malaysia. Ini kerana kerajaan mengikut peruntukan perlembagaan tersebut dan kelihatannya terus mempertahankannya.

Tapi cuba kita lihat dari sudut yang lebih luas - secara holistik.

Apakah benar prinsip Malaysian Malaysia tersebut adil dan akan memberikan kesejahteraan sosial, ekonomi juga akhirnya politik kepada rakyat Malaysia?

Dalam konteks ini, Chamil Wariya dalam bukunya bertajuk ‘Malaysia : 50 Fakta Asas Kenegaraan’ di halaman 107 menyatakan :

Malaysian Malaysia dikemukakan kepada prinsip sama rata di kalangan kaum-kaum utama di negara ini yang terang-terang menolak hak dan kedudukan istimewa orang Melayu[1] dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Yang ditekankan oleh Lee ialah meritokrasi, tanpa memikirkan bahawa di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu padang untuk mereka bersaing adalah tidak sama rata. Orang Melayu sudah tentu tidak dapat menerima pembentukan Bangsa Malaysia menggunakan acuan Malaysian Malaysia


Atas dasar ini, kaum Melayu menolak gagasan Malaysian Malaysia kerana niatnya untuk meluputkan teras kenegaraan induk negara ini yang berasaskan sejarah. Justeru, kerangka asal kenegaraan Malaysia dikekalkan. Sehingga ke hari ini, selepas 52 tahun merdeka, peruntukan perlembagaan yang berkenaan iaitu Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 misalnya, tidak pernah dipinda. 

Ini bermakna kontrak sosial 1957 masih kekal. Sama ada ia masih relevan atau tidak dengan keadaan semasa hari ini ia perlukan penelitian mendalam oleh para penggubal undang-undang, budayawan, ahli akademik, selain pastinya ahli politik.

Berbalik kepada konsep 1Malaysia tadi, adakah nasib orang Melayu akan terancam kerana kelihatannya 1Malaysia tidak 'mahu' menyebelahi mana-mana kaum ? Sejauh mana ia berbeza dengan Malaysian Malaysia? Tidakkah ia bercanggah dengan kehendak perlembagaan 1957?

Mungkin kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang disiarkan dalam BERNAMA 01 April dapat menjelaskan kekusutan kita. (Klik di sini untuk ke sumber asa berita)




01 April, 2010 22:50 PM
Pembangkang Dicabar Bawa Usul Pinda Perlembagaan, Buang Perkataan Melayu


KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar pembangkang membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuang perkataan "Melayu".

Cabaran itu dilontarkan kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mempersoalkan keseriusan kerajaan melaksanakan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Kit Siang, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak menyokong gagasan tersebut apabila sering mengeluarkan kenyataan yang mendahulukan bangsa Melayu.

"Gagasan 1Malaysia ini berpaksikan Perlembagaan dan kalau Yang Berhormat nak bangkitkan perkara-perkara yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri tadi, yang pertama sekali Yang Berhormat kena serang ialah Perlembagaan Malaysia.

"Dalam Perlembagaan Malaysia disebut Melayu...jadi bermakna apa juga yang kita buat dalam gagasan 1Malaysia tidak boleh membelakangkan apa yang telah dijaminkan dalam Perlembagaan.

"Tetapi kalau rakan-rakan Yang Berhormat Melayu yang lain sebelah pembangkang sana merasakan perlu kita pinda Perlembagaan, buang perkataan 'Melayu', buatlah, runding-runding bawalah usul, supaya kita boleh pinda Perlembagaan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen.

Juesteru itu, Mohamed Nazri berkata gagasan 1Malaysia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira batasan yang wujud dalam Perlembagaan khususnya berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu.

"Itu tidak boleh kita ketepikan kerana kalau tidak, ia akan merupakan anti perlembagaan atau menentang perlembangaan, jadi sebab itu Yang Berhormat, kalau ada 1Malaysia pun, kita tak boleh ketepikan jaminan yang sudah kita beri kepada warga Malaysia," katanya.

Beliau berkata ini juga tidak bermakna dengan slogan 1Malaysia, kerajaan boleh mengambil tindakan menutup sekolah aliran China dan Tamil kerana perkara tersebut sudahpun dijamin dalam Perlembagaan.

"1Malaysia tidak boleh menjejaskan apa-apa juga hak yang telah kita ada, wujud dan diberikan kepada kita.

"Jadi, jika Yang Berhormat kata bila buat gagasan 1Malaysia maknanya semua kena menampakkan 1Malaysia, tak bolehlah Yang Berhormat sebab kita ada Perlembagaan," katanya lagi.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata, kerajaan masih boleh melaksanakan gagasan 1Malaysia di mana yang boleh asalkan tidak menyentuh hak dan keistimewaan yang disebut dalam Perlembagaan secara langsung.

-- BERNAMA



[1] Hanya orang Melayu diberikan hak istimewa dan perlindungan di sisi perlembagaan. Lihat Perkara 153. Hak ini kemudiannya dipanjangkan kepada kaum bumiputera Sabah dan Sarawak ekoran penyertaan dua negeri di kepulauan Borneo itu ke dalam Persekutuan Malaysia 1963. Hak istimewa ini memberikan kelebihan kepada kamu Melayu dan bumiputera untuk mendapat pendidikan, pekerjaan dalam sektor awam dan peluang ekonomi.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...