Sunday, April 18, 2010

Sejarah Melaka Akan Ditulis Semula

Umum mengetahui Melaka telah dibuka pada 1400 Masihi oleh Parameswara - seorang putera raja dari Srivijaya iaitu sebuah kerajaan Melayu dari Palembang, Sumatera. Parameswara atau nama Islamnya Raja Iskandar Syah adalah raja terakhir memerintah Palembang sebelum baginda dihalau oleh tentera Majapahit.

Fakta tahun kemunculan Melaka ini kita ketahui semasa mula belajar sejarah di bangku sekolah lagi. Semua kitab sejarah lama dan baharu dan guru-guru sejarah kita mengajar kita fakta ini. Fakta ini terus dipegang sehingga ke hari ini.

Namun, fakta itu bukanlah suatu telah dipegang oleh semua sarjana sejarah. Sebenarnya antara pengkaji sejarah dan arkeologis negara, mereka berselisih tentang tarikh kemunculan Melaka. O.W. Wolters berpendapat Melaka muncul pada kira-kira tahun 1399/1400 M.

Gasper Correa pula mengandaikan Melaka muncul tujuh ratus tahun lebih awal sebelum Melaka ditundukkan Portugis. Manakala De Baros pula menyimpulkan Melaka dibuka dua kurun setengah sebelum 1511.

Walaubagaimanapun pendapat Tome Pires bahawa Melaka mucul satu kurun lebih awal daripada 1511 M yang sejajar dengan pendapat O.W. Wolters lebih diterima. Tarikh ini kemudiannya telah diterima sebagai tarikh 'rasmi' oleh kerajaan untuk tujuan pembelajaran sejarah negara di sekolah.

Namun laporan BERNAMA 17 April lalu (klik di sini untuk laporan asal) mungkin akan menukar fakta sejarah ini biarpun ia telah lama dipegang dan termaktub dalam silibus kebangsaan kita.

Kajian oleh pakar sejarah tempatan membuat rumusan bahawa Melaka dibuka seawal tahun 1278 M berdasarkan bukti sumber penulisan tempatan iaitu Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu dari kesultanan Johor. Metodologi kajian ini lebih tepat berbanding sumber lisan yang dikutip Tome Pires untuk bukunya bertajuk Suma Oreintal.

Dengan perkembangan terbaru ini, sejarah kelahiran Melaka boleh ditulis semula jika bukti arkeologi yang ditemui tersebut diterima sebagai bukti yang sahih oleh para sarjana sejarah negara kelak.

Kumpulan Penyelidik Dakwa Kerajaan Melayu Melaka Diasaskan Pada Tahun 1278

MELAKA, 17 April (Bernama) -- Sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan Melaka mendapati kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1278 dan bukannya pada 1400 sebagaimana diketahui umum selama ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tahun 1278 itu dipilih berdasarkan kepada Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu, salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskah itu, yang menjadi asas rujukan dan sumber oleh kumpulan penyelidik berkenaan.

"Jawatankuasa Penyelidik bersetuju Melaka bermula sebagai satu entiti politik yang dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka di alam Melayu pada tahun 1278," katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, Mohd Ali berkata hasil penyelidikan itu dibentangkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh di sini, semalam.

Jawatankuasa penyelidik dengan 15 anggota itu dipengerusikan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim manakala ketua penyelidik Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Jawatankuasa itu diberi tugas membuat kajian dan penyelidikan bagi mengenalpasti tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka sebagai satu entiti politik di alam Melayu dan memulakan penyelidikan pada Jun tahun lepas.

Mohd Ali berkata kumpulan penyelidik berkenaan menolak tahun 1400 sebagai tahun kerajaan Melayu Melaka diasaskan kerana ia hanya berdasarkan kepada kesepakatan sarjana barat, bukan berdasarkan kepada fakta sejarah.

"Suma Oriental (dunia Timur) yang ditulis oleh Tome Pires pada 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar cakap, bukan dokumen bertulis, dan menyatakan bahawa Melaka bermula sebagai satu entiti politik pada 1400," katanya.

Diketahui umum, Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara antara tahun 1400 dan 1403.

Berikutan penemuan baru itu, Mohd Ali berkata satu seminar akan diadakan pada tahun ini bagi membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan.

Sementara itu, Dr Abdullah Zakaria berkata mereka menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan di negara ini dan Indonesia.

Beliau berkata tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka adalah berasaskan tempoh pemerintahan Raja-raja Melaka seperti yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu.

Katanya mereka juga mempunyai bukti lain yang dapat mengesahkan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278.

BERNAMA

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...