Kemelut dalam isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam jelas memperlihatkan agama adalah isu yang sangat sensitif di negara kita. Ia menjadi salah satu ujian atau mehnah terbesar kepada amalan toleransi beragama di kalangan orang Islam dengan rakan senegaranya, orang bukan Islam.
Bagi orang Melayu sendiri pantang datuk nenek moyang mereka jika ada pihak yang cuba menyentuh tentang agama mereka (Islam). Sesiapa yang cuba mempertikai, meremeh apatah lagi menghina akidah Islam ibarat menjolok sarang tebuan. Padahlah jawabnya!
Saya percaya bagi orang Hindu, Buddha dan Kristian mereka juga sensitif apabila kepercayaan dan amalan agama mereka diremeh dan dihina. Agama adalah jiwa nurani suatu bangsa. Ia roh kehidupan masyarakat. Justeru, ia wajib dipertahankan dengan apa cara sekalipun apabila adanya ancaman dari luar.
Namun, dalam banyak situasi orang Melayu dikatakan ekstra-sensitif apabila bercakap soal-soal agama. Di Malaysia sikap ini begitu diserlah oleh orang Melayu.
Atas alasan inilah maka isu agama dianggap sebagai perkara yang tidak boleh dibincang secara terbuka. Walaupun fitrah agama itu baik dan mengajak kepada perdamaian, ia juga boleh menjadi sebab kepada pertelingkahan dan wujudnya sentimen benci membenci.
Bagaimana ini boleh berlaku ?
Alasannya ialah wujudnya penganut agama yang ekstrim atau fanatik. Golongan ini tidak boleh menerima idea atau pandangan orang lain. Sikap mereka menonjolkan amalan agama yang rigid atas nama mereka sebagai kumpulan yang superior dan dominan.
Satu contoh kepada sikap yang keras dan tidak menghormati pihak berkuasa dan rakan minoriti yang lain ialah semasa majlis dialog isu kuil di Shah Alam. Harakahdaily dalam laporan 5 September bertajuk 'Dialog tidak bertamadun: Selangor tangguhkan pemindahan kuil' menonjolkan sisi buruk segelintir penduduk Islam apabila berhadapan dengan isu agama.
Tanpa prejudis dan meremehkan kecintaan mereka terhadap Islam, pada hemat saya dialog tersebut wajar dilakukan dalam suasana muhibbah. Amarah tidak boleh dikemuncakkan dengan sikap tidak rasional, ucapan caci maki dan sarat penghinaan.
Kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dalam kemelut ini iaitu kerajaan negeri, penduduk Melayu Syeksen 23 dan orang India minoriti di situ wajarlah menukar sikap. Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila sepanjang masa kemelut ini diisi oleh tuduh menuduh, maki hamun antara satu sama lain. Apapun alasan yang diberikan ia perlu mengambil kira semua aspek.
Antara aspek pokok yang tidak boleh dikesampingkan ialah kebebasan beragama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikel 3 perlembagaan persekutuan hendaklah diterjemahkan dengan penuh hikmah.
Namun, seperkara lagi, ia hendaklah 'dibaca' sekali dengan kefahaman teras atau induk kenegaraan Malaysia iaitu Melayu dan Islam adalah dilindungi dan diberikan keistimewaan, sejajar dengan kedudukannya sebagai agama resmi Persekutuan. Maka tidak wajar juga apabila kata-kata berikut dikeluarkan untuk menjustifikasi hak menubuhkan rumah ibadah kita.
Malaysiakini melaporkan "Bercakap soal toleransi kaum, R Gunaretinam kemarahan penduduk Melayu kerana berkata, setiap rumah kawasan mempunyai surau dan masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.
"Kita boleh terima azam lima kali sehari," katanya, disambut bantahan besar hadirin dalam majlis itu yang bangun dan menjerit beliau berhenti berucap.
Rupa-rupanya kita masih perlu belajar untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sebaiknya episod kali perlu dijadikan teladan dan sempadan untuk mencelikkan kita agar belajar untuk 'agree to disagree' tanpa perlu menggadai prinsip dan kepercayaan masing-masing.
Prinsip 'agree to disagree' merujuk kepada :
"... to a situation where two or more people or groups of people resolve conflict by reaching an agreement whereby both sides tolerate but do not accept the views, opinions or position of the other side. Both sides typically "agree to disagree" where they recognise that further conflict is unnecessary, ineffective or otherwise undesirable. They may also remain on amicable terms while continuing to disagree. "Agreeing to disagree" is a common phrase in English which may be better described as a situation where the parties agree that they disagree."
Tidakkah dengan mengamalkan sikap dan prinsip ini rasa muhibbah akan terpupuk dengan lebih baik sesama kita ?
Sewajarnya begitu kerana selama ini kita lebih suka apabila idea dan pandangan kita diterima orang lain, tidak sebaliknya. Kita perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa kita boleh berbeza pendapat - kerana berfikiran kritis - untuk mencari idea atau pilihan terbaik.
Isu kali ini benar-benar menguji sikap toleransi beragama kita, khususnya orang Melayu-Islam. Menyelesaikan isu ini menjadi sangat rumit kerana sensitivitinya. Orang tua kita mengingatkan bila berdepan dengan isu serumit ini ibarat 'menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung juga tidak berselerak'.
Moga petunjukNya di bulan penuh barakah ini mencelikkan kita semua kepada kebenaran sebagai asas penyelesaian isu ini.
Tiada siapa boleh kalah dalam isu ini.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
No comments:
Post a Comment