Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya. Ini dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan persekutuan Bahagian 2 di bawah tajuk 'Kebebasan Asasi'.
Namun kebebasan ini tidaklah mutlak atau hampir mutlak sebagaimana diamal di negara Barat. Kebebasan ini terhenti pada perkara-perkara yang sensitif seperti agama, kaum, bahasa, hak istimewa Melayu, institusi Raja-raja Melayu. Sebagaimana semua maklum, semua perkara tersebut merupakan sebahagian daripada Kontrak Sosial yang mengikat seluruh rakyat negara ini.
Justeru, sebarang bentuk luahan secara terbuka seperti perbincangan dalam forum, demonstrasi, rapat umum, kempen politik dan sebagainya dalam nada mempertikai, memperlekeh apatah lagi menghina perkara-perkara yang tersebut tadi adalah dilarang sama sekali.
Pendek kata kebebasan bersuara di Malaysia hendaklah diiringi tanggungjawab dan dibuat secara berpada-pada mengikut konteks dan dalam ruang lingkup perlembagaan negara.
Larangan ini telah berkuat kuasa selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 bagi menjaga dan memelihara keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk di negara kita.
Larangan dan amaran yang mempunyai implikasi undang-undang ini bukan sahaja tertuju kepada masyarakat awam, NGO, dan institusi sosial lain bahkan meliputi ADUN dan ahli Parlimen semasa sidang DUN dan Parlimen berlangsung.
DUN dan Parlimen tidak lagi memberi kekebalan atau lesen (sebelum 1969 mereka mempunyai imuniti yang luas) kepada penggubal undang-undang ini untuk bercakap apatah lagi mendebatkan isu agama ini selain isu kaum, bahasa dan lain-lain lagi.
Undang-undang ini sangat penting bagi mengelakkan ketenteraman awam diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang chauvinistik, ekstrimis atau fanatik.
Oleh itu, kenyataan Pejabat Peguam Negara semalam 8 September untuk mendakwa beberapa penduduk Melayu Seksyen 23 Shah Alam kerana menghasut dilihat sejajar dengan maksud memelihara ketenteram awam dari api perkauman.
Berikut adalah sebahagian laporan Malaysiakini bertajuk 'Kepala Lembu : 12 didakwa esok':
"Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.
Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini."
"...mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis."
Semalam, peguam negara berkata mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi berkenaan akan didakwa menghasut.
Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Kira-kira 50 penunjuk perasaan meluahkan keberangan mereka di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam dengan ucapan berapi-api dan memijak kepala lembu yang diusung dari pintu masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut.
Mereka membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dari Seksyen 19 Shah Alam.
Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.
Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.
Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".
Melalui kes ini - sebagaimana yang boleh kita baca dalam media lain, beberapa pengajaran boleh diambil.
Pertama, orang Islam juga tidak mempunyai kebebasan untuk menyentuh agama kaum lain dengan nada provokosi dan menghasut untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian orang awam terhadap kaum India.
Kontrak Sosial tidak sewajarnya dilihat lagi sebagai satu ingatan satu hala tetapi dua hala. Bukan sahaja orang bukan Islam dilarang mempertikai Islam, tetapi orang Islam juga diingatkan agar tidak melakukan perkara sama kepada agama lain.
Kedua, PDRM dan pejabat Peguam Negara menyiasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa memihak kepada orang Melayu. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang negara.
Ketiga, Akta Hasutan 1948 digunakan hanya dalam kes sensitif yang boleh mengancam ketenteraman awam dengan impak yang besar.
Keempat, emosi dan kejahilan tidak (pernah) boleh menyelesaikan masalah terutamanya dalam isu sensitif.
Kita semua patut kembali kepada undang-undang dan asas kenegaraaan Kontrak Sosial. Kebebasan bersuara tidak patut dijadikan alat atau alasan untuk membuat tuntutan bersifat perkauman.
Moga kerukunan dan keharmonian kaum di negara bertuah ini terus dipertahankan.
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
No comments:
Post a Comment