Tuesday, September 8, 2009

Polis Tidak Kebal Undang-undang

Tiada siapapun bebas daripada membuat kesalahan hatta pihak polis sendiri. Kerana itu polis juga boleh diheret ke mahkamah untuk diadili sama ada tindakan mereka adalah betul, sah dan mengikut undang-undang atau tidak ketika melaksanakan tanggungjawabnya menjaga dan mengekalkan keselamatan awam jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kaedah yang digunakan semasa proses itu berlaku.

Bagi melaksanakan keadilan, hakim di mahkamah - cabang ketiga dalam amalan doktrin pengasingan kuasa - akan menilai semua keterangan dan bukti kes untuk membuat keputusan (judgement) without fear or favour

Sikap dan etika para hakim ini maha penting agar keadilan tidak tunduk kepada pihak pemerintah (eksekutif). Sebarang campur tangan dan tekanan pihak yang berpengaruh tidak boleh dibenarkan sama sekali. Di mata hakim semua pihak adalah sama. Prinsip no one is above the law akan dijunjung oleh mahkamah.

Laporan Harakahdaily, 7 September bertajuk 'Kerajaan setuju bayar RM50,000 gantirugi kepada Mustafa Ali' adalah testimoni kepada amalan prinsip keadilan ini.

Berikut adalah sebahagian laporan berita berkenaan:

"Polis dan kerajaan Malaysia mengaku bersalah kerana menahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS) di bangunan Parlimen hampir dua tahun lalu. 

Ekoran itu, mereka bersetuju membayar gantirugi kepada beliau sebanyak RM50,000 hari ini. 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini merekodkan persetujuan kerajaan itu kerana menahan beliau di bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007. 

Hakim P.S. Nathan merekodkan persetujuan itu ekoran saman yang dikemukakan oleh Mustafa kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia. 

Mustafa yang datang ke Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan untuk menolak cadangan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman. 

Beliau telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis. Di sana beliau telah ditahan selama tiga jam setengah mulai jam 1 hingga 4.30 petang. 

Mustafa diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Tuan Rosli Ahmad. 

Dalam insiden penangkapan itu, Mustafa telah diheret dengan kasar dan secara kurang ajar oleh dua orang polis."

Melalui kes ini, selagi kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara dipatuhi selagi itulah rakyat akan aman dari tindakan zalim dan melampau pihak berkuasa.

Justeru, dalam negara demokratik seperti Malaysia, rakyat tidak perlu berasa takut kerana ada saluran undang-undang untuk menegakkan keadilan apabila dirasakan wujudnya ancaman, penindasan atau perampasan hak oleh pihak lain.

Yang perlu ada pada kita sebagai rakyat ialah ilmu dan pemahaman undang-undang dan keberanian. Itulah prasyarat kepada tertegaknya keadilan berlunaskan undang-undang.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...