Penjajahan adalah aktiviti kuasa Eropah pada abad 16 - 20 Masihi ke atas negara-negara Timur atau Asia bagi mencapai matlamat 3 G ; iaitu gold (ekonomi), glory (politik) dan god/gospel (dakwah kristian).
Untuk itu semua kuasa penjajah Barat ini adalah manipulatif atau eksploitatif. Namun bagi mengaburi pandangan dunia, mereka sering menggunakan alasan bahawa kedatangan mereka ke dunia bukan Barat adalah kerana menunaikan tanggungjawab bangsa bertamadun. Mereka berselindung di sebalik alasan yang dikenali sebagai 'The White Man's Burden'.
Mereka membawa obor kemajuan untuk mencerahkan kehidupan masyarakat bukan Barat yang masih 'bergelap' dengan sistem pemikiran, kepercayaan, pegangan, anutan dan cara hidup yang kolot, mundur atau primitif.
Maka dengan tujuan semurni ini mereka cuba membantu masyarakat tempatan atau natif yang mereka jajahi mencapai kemajuan hidup seperti mereka.
Mengikut Herbert Luthy dasar koloninialisme diganding dengan proses pemodenan, telah mencetuskan “a world revolution” dan menjadi punca “for the maturation of non-western cultures”.
Manakala Cecil Rhodes, pengasas imperialisme moden pula dengan sikap etnosentrismenya berkata “Kita adalah ras tertinggi di dunia, maka makin luas bumi yang kita duduki, makin baik umat manusia.”
Apakah tujuan ini benar ? Apakah yang sebenarnya telah berlaku sepanjang tempoh penjajahan kuasa Barat ke atas negara Timur atau Asia? Adakah selepas kemerdekaan negara yang dijajah, berlakulah proses pencerahan atau kemajuan sehebat negara Barat sebagaimana didakwa.
Dalam hal ini Auni Hj Abdullah dalam bukunya bertajuk 'Tradisi, Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu' terbitan Darul Fikir, 2007 di halaman 76 menyatakan penjajah Barat ini :
“…memaksakan nilai-nilai kehidupan Barat, pemikiran Barat, kemahiran teknologi Barat, dan sejarah Barat. Sesungguhnya apa yang sebenarnya berlaku ialah proses membaratkan atau mengeropahkan anak-anak jajahan dengan tujuan memudahkan penjajah menjalankan segala kemahuan mereka serta dapat membantu dalam usaha mengekalkan kesinambungan cengkaman pengaruh mereka.”
Hakikatnya penjajahan adalah usaha terancang kuasa hegemoni dunia yang manipulatif ke atas kaum pribumi (natif) bukan Barat. Kesan jangka jauh walaupun selepas kemerdekaan tanah jajahan ialah imperialisme budaya iaitu “… a process of cultural self liquidation”
Dengan mengkaji secara objektif impak dan cara hidup masyarakat Asia atau Timur yang telah dijajah kita akan menemukan jawapan dan realiti kepada persoalan di atas.
Dalam kajian tersebut cuba ukur dan kesan corak dan sistem politik (terutamanya), sosial dan ekonomi negara bekas jajahan kuasa Barat.
Maklumat dan data yang diperolehi akan menjurus kepada fakta bahawa wujudnya pengaruh kuasa Barat ke atas masyarakat peribumi dalam hampir semua sisi kehidupan mereka.
Boleh anda senaraikan kesan-kesan tersebut secara lebih terperinci?
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009
No comments:
Post a Comment