Monday, September 14, 2009

Toleransi Agama oleh Masyarakat Barat

Saya turunkan kisah pengalaman toleransi agama oleh masyarakat Barat untuk mencelikkan kita yang agak miskin pemahaman tentang bagaimana toleransi agama antara masyarakat berbilang kaum dipraktiskan.  

Ironisnya amalan ini datangnya dari sebuah masyarakat yang dicop sekular-liberal dan sarat hedonisma. Bagaimana mereka boleh berlaku begitu adil dan menghormati agama komuniti minoriti di bumi mereka sendiri ?

Saya teringat pendapat rakan-rakan saya dahulu apabila membincangkan mengenai amalan yang islamic. Dari pengamatan mereka yang pernah belajar dan bekerja di negara Barat dan Asia maju seperti Jepun dan Korea, nilai-nilai dan amalan yang islamic lebih tertonjol dalam budaya dan cara hidup masyarakat yang sering didakwa gersang rohaninya.

Sebaliknya, kita yang lahir sebagai muslim (muslim-born) mempamerkan nilai dan amalan yang unislamic. Kitalah yang menunjukkan kepada orang lain yang kita ni selalu lambat menghadiri temu janji, pemungkir janji, tidak menghormati kaum yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak, kuat merasuah dan terima rasuah, tidak mesra-alam sekitar, tidak menjaga kebersihan, dan macam-macam lagi budaya hidup. 

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Ini semata-mata persepsi yang tidak tepat. Namun, di celah-celah persepsi ini saya percaya terdapat kebenarannya. Di mata saya ianya cukup jelas. Kalau takda angin, masakan pokok tu boleh bergoyangkan!

Kembali kepada isu pokok entri kali ini mari kita tekuni  petikan dari tulisan Nasreel Khalib,Illinois bertajuk 'Toleransi Agama: Selangor Malaysia vs Illinois USA' dalam ruangan pembaca Harakahdaily.net.

Moga ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari masyarakat Barat yang sedang ranap moralnya ini.
 
Mon | Sep 07, 09 | 3:31:20 pm MYT

"Dalam kita menerima kunjungan Ramadhan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan tindakan yang sangat menyedihkan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam dalam protes mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di syeksyen 23 Shah Alam. 

Mereka bertindak menghina agama Hindu dalam keadaan yang sangat ekstrem - sesuatu yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Tidak pernah kita diajar oleh Rasulullah agar menghina agama-agama lain.

Alasan yang dipersoalkan beberapa penduduk setempat sangat mudah, mengapa perlu dibina kuil di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu Islam.

Sebentar tadi saya membaca yang proses pemindahan kuil ini telah dibekukan disebabkan oleh kekecohan yang berlaku semasa sesi dialog diantara kerajaan negeri dan penduduk setempat.

Kebetulan pada ketika ini saya berada di bumi Amerika atas urusan kerja. Sudah hampir tiga bulan saya disini bersama keluarga.

Menyambut Ramadhan bersama penduduk minoriti Islam Des Plaines Illinois. Saya dapat melihat sesuatu yang amat 'ganjil' disini, di tengah-tengah bumi Amerika yang penduduk Islamnya tidak sampai 1%, tersergam masjid yang indah dan selesa.

Malah Masjid ini juga hanyalah beberapa ratus meter jaraknya dari sebuah gereja Katholik. Tidak pula kelihatan masyarakat Kristian disini berdemo dan membantah kewujudan Masjid disitu.

Malah apa yang lebih dikagumi ialah setiap kali waktu solat Jumaat, akan ada beberapa orang pegawai Polis 'mat saleh' bukan Islam yang akan mengawal lalulintas dan parking didalam kawasan Masjid.

Mungkin, itu perkara biasa, seminggu sekali. Tetapi apabila bermulanya Ramadhan, saya dapat melihat bagaimana mereka bertugas setiap malam. Kebetulan Ramadhan tahun ini berlangsung di hujung musim panas, maka waktu Isya'nya sedikit lewat dari Malaysia. Pegawai-pegawai Polis ini masih lagi bertugas menjaga lalulintas dan parking sehinggalah Terawikh tamat pada jam hampir 11.30 malam.

Keliru saya memikirkan situasi di sini apabila dibandingkan dengan situasi kuil di Shah Alam. Malu dengan perbuatan dan sikap segelintir umat Islam di Malaysia. Apakah mungkin masyarakat Kristian di Amerika ini lebih baik dari Umat Islam di Malaysia?

Dimanakah keadilan dan keindahan Islam yang ingin kita tonjolkan? Apakah mungkin masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam dalam situasi ini."

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...