Monday, September 7, 2009

Perpaduan Sekadar Retorik ?

Malaysia dibanggai kerana masyarakat majmuknya hidup dalam keadaan harmoni. Biarpun pernah berlaku tragedi berdarah kerana rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan terbaru Peristiwa Kg Medan 2001 lalu namun kehidupan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya masih lagi didefinisikan oleh sikap tolak ansur, saling hormat menghormati dan faham memahami.

Di samping itu, alat kawalan sosial seperti undang-undang (Akta Hasutan 1948 dan ISA 1960) turut berperanan dalam mengekalkan keamanan awam di negara ini. Ia menjadi jalan terakhir apabila nasihat dan amaran pihak berkuasa tidak lagi dipatuhi oleh pihak yang sudah dirasuk emosi dan kemaruk kuasa.

Adakah anda bersetuju dengan pandangan di atas ?

Terpulang kepada penilaian masing-masing. Pengetahuan melalui kajian, pengalaman dan pendedahan sosial dan sikap yang terbentuk selama ini menentukan aliran atau mazhab pandangan yang kita dokong.

Untuk mencetus perbincangan kritis, pendapat berikut dari seorang tokoh akademik Cina yang mewakili aliran sederhana boleh menjadi bahan awal pemikiran kita. 

Profesor Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM menyatakan :

"Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik. Perlu ada interaksi yang kerap dan tulen sifatnya supaya ada semangat kenal-mengenali. Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalahnya. Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya".

Dengan kata lain, Profesor Teo menyimpulkan bahawa perpaduan di kalangan masyarakat majmuk hanyalah bersifat kosmetik atau superficial.

Wawancara penuh boleh dibaca dari arkib Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009 bertajuk 'Perpaduan kaum hanya retorik'.

Sebagai pelajar bagaimana situasi di atas boleh di atasi bagi mengelakkan terjadinya 'api dalam sekam' dalam hubungan inter-etnik di negara kita? 

Bolehkah kita menganggap bahawa masih wujud sikap 'bagai enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing' di kalangan kumpulan etnik tertentu? 

Untuk menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh bersandarkan kepada persepsi popular atau pun persepsi pinggiran. Pandangan dan komentar di dalam media alternatif seperti blog atau laman sesawang hendaklah dibaca dengan berhati-hati. Ia boleh dibaca tetapi tidak boleh disandarkan sebagai hujah ilmiah kerana ia sarat prejudis personal, emosi dan sangat tidak objektif.

Kita perlu mengusul periksa dari sumber yang autentik agar tidak terjebak ke dalam perangkap maklumat pincang (bias information). 

Sebagai pelajar tugas andalah untuk meneliti dan menapis bahan-bahan yang dirujuk agar hanya bahan-bahan terpilih sahaja diguna untuk mendirikan premis untuk mencapai kesimpulan yang konklusif.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...