Saturday, October 24, 2009

Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Mulai tahun hadapan 2010 negara kita akan merayakan dua hari berkaitan dengan kemerdekaannya.

Pertama - sebagaimana biasa - ialah Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan yang jatuh tanggal 31 Ogos setiap tahun. Hari itu ialah untuk mengenang detik Persekutuan Tanah Melayu (merujuk kepada Semenanung Malaysia atau Malaysia Barat sekarang) merdeka dari belenggu penjajajahan Inggeris.

Untuk makluman Inggeris mula bertapak di negara kita pada tahun 1874/75 sebagai kuasa Inggeris hasil campur tangan dalam politik tempatan di Perak. Sistem politik pertama Inggeris di situ ialah sistem Residen. Namun, jika disorot ke belakang lagi Inggeris mendapat peluang menguasai dan seterusnya bertapak di negeri Melayu selepas Perjanjian London 1824.

Sebelum itu melalui tokohnya Inggeris sudah mula menunjukkan tanda ingin menguasai negeri Melayu apabila Francis Light - dengan tipu helahnya - mendapat Pulau Pinang dari Sultan Kedah pada 1789 . Manakala Stamford Raffles mendapat Singapura dari Kesultanan Melayu Johor pada 1819.

Oleh itu jika diambil kira elemen Inggeris sejak mula lagi ini maka tempoh Inggeris berada di Tanah Melayu ialah dari 1789 hingga 1957, ditolak 3 tahun 5 bulan (1942-1945) kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia II.

Kedua, ialah pada tarikh 16 September setiap tahun akan diberi cuti umum kedua selepas 31 Ogos. Ini adalah untuk merayakan Hari Malaysia sempena dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Tarikh 16 September dikenang sebagai hari di mana Singapura, Sabah dan Sarawak bebas dari penjajahan Inggeris. Penyertaan ketiga-tiga negeri ini membolehkan ia 'bebas melalui percantuman' dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Motif politik ini direalisasaikan setelah kira-kira 2 tahun Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan gagasan Malaysia di Singapura pada 27 Mei 1961. Cuma agak malang kerana Brunei tidak dapat menyertai peristiwa ini atas sebab-sebab 'peribadi' Sultan Hasanal Bolkiah dan kepentingan negara Brunei sendiri.

Keputusan untuk mengingati Hari Malaysia ini adalah keputusan Jemaah Menteri Kabinet yang kemudian diumumkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

BERNAMA Online 19 Oktober lalu melaporkan "...Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pengiktirafan tinggi oleh Perdana Menteri yang mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum amat signifikan bagi menggambarkan bahawa gagasan 1Malaysia telah lama dihayati dan menjadi amalan rakyat Sabah selama ini."

"Sesungguhnya, 16 Sept merupakan peristiwa yang amat bersejarah bagi rakyat negeri ini. Ini kerana, pada tarikh keramat tersebut, rakyat Sabah daripada pelbagai kaum dan etnik bersatu dan sepakat mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan ini mulai 2010 Malaysia akan merayakan dua hari bersejarah berkaitan kemerdekaan negara tercinta ini yang dilihat sangat signifikan dalam proses pembinaan sebuah negara-bangsa berdaulat dan merdeka.
 -------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...