Saturday, October 3, 2009

Monarki dan Demokrasi Malaysia

Malaysia kini merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat. Semenjak 1957 ia telah ditadbir dan diperintah oleh kerajaan awam yang dipilih - secara tidak langsung - oleh rakyat melalui peti undi (ballot box). Atas alasan ini Malaysia - dulunya Tanah Melayu - menjadi sebuah negara demokrasi moden.

Namun, negara kita bukanlah sebuah kerajaan republik seperti Singapura dan Indonesia yang 100% menerima pakai sistem demokrasi. Negara kita unik kerana sistem politiknya adalah gabungan konsep politik moden iaitu demokrasi dan konsep politik klasik iaitu monarki atau sistem beraja Melayu.

Cuma sistem berajanya telah ditarafkan semula menjadi Raja Berperlembagaan. Tidak banyak negara di dunia yang mengamalkan corak pemerintahan '2 dalam 1' ini. Selain Malaysia, Thailand dan England juga mengamalkan sistem politik serupa.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 menyuratkan di bawah Artikel 32 bahawa ketua negara adalah Yang Dipertuan Agong manakala ketua kerajaan (eksekutif) adalah Perdana Menteri.

Lebih unik lagi semua 9 negeri Melayu - 4 Negeri Melayu Bersekutu dan 5 Negeri Melayu Tidak Bersekutu - mempunyai ketua negeri masing-masing sama ada bergelar sultan atau raja. Bagi Negeri Sembilan ketua negerinya digelar Yam Tuan Besar.

Walaupun dalam banyak situasi kerajaan awamlah yang berkuasa dalam menentukan pentadbiran dan perjalanan negara, namun dalam situasi tertentu, ketua negara atau ketua negeri ini mempunyai kuasa muktamad atau konklusif.

Kuasa ini yang disebut sebagai kuasa budi bicara atau prerogatif sultan atau raja mempunyai pemutus dalam beberapa perkara. Misalnya bagi YDPA, baginda boleh menolak permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan.

Baginda juga bahkan boleh tidak bersetuju dengan cadangan ahli Dewan Rakyat untuk melantik Perdana Menteri bagi mengetuai kerajaan baginda. Keengganan YDPA ini mungkin menyalahi tradisi atau amalan biasa, namun di sisi perlembagaan ia suatu yang sah dan boleh dipertanggungjawabkan.

Dengan kuasa prerogatif ini juga, misalnya dalam isu perlantikan Menteri Besar Perak selepas PRU-12 tahun lalu, kuasa sultan Perak dizahirkan dengan ketara sekali. DAP yang memenangi lebih banyak kerusi DUN Perak berbanding rakatan pakatannya PKR dan PAS berputih mata apabila keputusan pilihanraya DUN Perak walaubagaimanapun tidak menyebelahinya dalam soal perlantikan ke jawatan Menteri Besar.

Amalan biasa atau konvensional iaitu jawatan Menteri Besar, iaitu ketua eksekutif kerajaan negeri dipilih dan dilantik dari parti yang memenangi lebih banyak kerusi DUN tidak dapat dipatuhi dalam isu Perak ini. Bersandarkan kepada Undang-undang Tubuh negeri Perak, dengan kuasa prerogatif sultan lagi, sultan akhirnya memperkenankan calon Melayu-Islam iaitu Ir Mohamad Nizar dari PAS untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

Peruntukan perlembagaan ini jelas menunjukkan bahawa, walaupun amalan demokrasi berjalan, sistem beraja masih ada pengaruh dan kuasa yang besar. Ini adalah sebahagian maksud tersurat Rukunegara, iaitu prinsip kedua yang berbunyi 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara'.

Pengalaman ini tidak pernah wujud dalam negara republik. Ini kerana pemerintahan negara republik sepenuhnya terletak di tangan orang awam atau rakyat sepenuhnya.
-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...