Sunday, October 25, 2009

Tradisi Rumah Terbuka Malaysia (Kini 1Malaysia) - Hari Deepavali

Perpaduan dalam masyarakat majmuk menuntut satu proses yang panjang. Dalam situasi hari ini di mana cabaran semakin getir dan masalah perkauman masih tidak surut sepenuhnya walaupun negara telah merdeka 52 tahun, usaha-usaha mestilah ekstra-kreatif selain sekstra-kritis bagi menarik semua golongan masyarakat terlibat dalam usaha kerajaan dan NGO memupuk dan mencambahkan semangat muhibbah dan kini 1Malaysia.

Antara kaedah yang popular dan telah menjadi tradisi sejak bertahun lamanya ialah mengadakan Rumah Terbuka Malaysia sempena sambutan perayaan hari raya atau kebesaran agama atau kaum utama di negara kita.

Laporan berita BERNAMA berikut menjelaskan peranan pihak kerajaan (eksekutif) bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat.

Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Deepavali 1 Nov

KUALA PILAH, 24 Okt (Bernama) -- Kira-kira 8,000 orang daripada pelbagai kaum dijangka hadir pada sambutan Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Deepavali 2009 di padang Ladang Siliau, Port Dickson pada 1 Nov ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata majlis anjuran kementerian tersebut dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan itu bertujuan mengetengahkan dan mengembalikan amalan tradisi menyambut Deepavali, mengeratkan hubungan antara pemimpin negara dan rakyat serta memupuk perpaduan dan persefahaman di kalangan mereka.

"Majlis peringkat kebangsaan ini akan berlangsung mulai pukul 2 hingga 6 petang. Pada majlis ini kita akan jelmakan 1Malaysia sebagai tali perpaduan dan juga program pelbagai kaum," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran Raja Kita dan pelancaran setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Lama Seri Menanti dekat sini.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan rumah terbuka tersebut yang turut dihadiri pemimpin kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Rais berkata lokasi tersebut dipilih kerana ia merupakan antara kawasan tumpuan utama masyarakat India.

Mengenai pengisian program, beliau berkata rumah terbuka tersebut akan membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat budaya masyarakat India.

"Pun begitu, kebudayaan kaum lain akan turut dipersembahkan kepada pengunjung," katanya.

Dari segi jamuan makanan, beliau berkata jamuan untuk pemimpin dan rakyat akan diadakan secara terbuka bertujuan menjalin kemesraan di antara pemimpin dan rakyat.

Pada majlis itu, sumbangan bantuan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan yang terdiri daripada pelbagai kaum, kata Rais.

-- BERNAMA
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

2 comments:

  1. saya perlukan satu website yang mempunyai contoh karangan yang bertajuk amalan rumah terbuka dapat menyemarakkan semangat 1 malaysia kerana tajuk ini amat penting bagi saya selain dapat membantu saya menulis karangan ini.bantuan anda amat saya hargai

    ReplyDelete
  2. Salam Anonymous,

    Maaf blog ini tidak menyediakan 'perkhidmatan' yg sdr/i kehendaki. Barangkali sdri sdr/i kena lebih menekuni tajuk tersebut secara kritis utk mendapatkan buah fikiran yang bernas dan praktikal.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...