Saturday, October 24, 2009

Imuniti Ahli Parlimen dan Hadnya - Kes Gobind Singh Deo

Salinan berita dari Utusan Malaysia Online bertarikh 14 Mac 2009 di bawah boleh memperjelaskan maksud imuniti ahli Parlimen dari lunas undang-undang tertinggi negara  dan memperbetulkan salah tanggap bahawa ahli Parlimen mempunyai imuniti yang mutlak.

Laporan berita ini memberikan sisi penting untuk melengkapkan pemahaman kita tentang imuniti dan penghakisannya berikutan kejadian rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ini adalah reaksi dan keputusan pihak eksekutif (kerajaan) terhadap peristiwa berdarah tersebut. Melalui kelulusan badan Parlimen kemudian pindaan perlembagaan dilakukan bagi menarik sedikit kebebasan bersuara ahli Parlimen di dalam sidang Parlimen.

Kewajaran ini ada asasnya bagi mengelak dan menghalang sikap kritis melampau pihak-pihak tertentu atas nama keadilan, kesamarataan hak, demokrasi dan seumpamanya.

Imuniti ahli Parlimen ada sekatan

KUALA LUMPUR 13 Mac – Imuniti atau keistimewaan yang diberi kepada seseorang ahli Parlimen di bawah Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak sebaliknya mempunyai sekatan tertentu.

Peguam terkemuka, Datuk Salehuddin Saidin (gambar) berkata, berdasarkan Artikel 63 (4) Perlembagaan yang menyatakan keistimewaan daripada dikenakan tindakan mahkamah ke atas apa yang dicakapkan ketika prosiding Dewan Negara atau Dewan Rakyat adalah tertakluk pada empat perkara.

Katanya, empat perkara tersebut ialah berhubung Artikel 153 iaitu hak istimewa orang Melayu, Artikel 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Artikel 181 tentang raja-raja Melayu dan keempat, perkara yang tergolong kepada definisi hasutan menurut Akta Hasutan 1948.

‘‘Maknanya jika yang dibangkitkan Ahli Parlimen itu menyentuh soal Artikel 153, 152, 181 dan hasutan di bawah Akta Hasutan, maka mereka boleh diambil tindakan di mahkamah atas apa yang mereka cakap dalam Parlimen.

‘‘Ini juga selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding yang menyatakan imuniti ahli Parlimen bukan mutlak seperti anggapan umum sebaliknya tertakluk pada sekatan sebagaimana Artikel 63 (4),’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) diperintahkan keluar dewan oleh Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee setelah beliau menimbulkan suasana tegang apabila mempersoalkan sistem keadilan dalam pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ronald kemudian mengarahkannya berhenti daripada membangkitkan perkara tersebut berikutan kes berkenaan sedang dalam perbicaraan mahkamah namun Gobind terus berdegil.

Dalam keadaan marah dan tidak puas hati, Gobind kemudian keluar Dewan sambil diiringi bentara dan apabila ditemui pemberita kemudiannya, beliau yang diminta mengulangi tuduhan yang dibuat sebelum itu di luar Dewan berkata;

‘‘Saya tidak mahu ulang kerana dalam Dewan saya dilindungi oleh kekebalan Ahli Dewan,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

Dalam pada itu, Salehuddin berkata, Ahli Parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara mesti memastikan setiap perkataan yang dituturkan adalah berpandukan pada Artikel 63 (4) yang ada sekatan.

Kata beliau, malah jika dilihat pada Akta Hasutan, ruang lingkup pada akta tersebut adalah luas termasuk pada perkara yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat berhubung penentangan terhadap raja-raja atau kerajaan.

‘‘Selain itu, kenyataan yang membangkitkan perasaan saling membenci antara kaum serta kenyataan yang menimbulkan rasa kemarahan atau tidak puas hati pada sistem keadilan negara juga adalah kesalahan di bawah Akta Hasutan,’’ jelasnya.

Justeru, beliau berkata, apabila sistem keadilan negara dipersoalkan di Parlimen baru-baru ini hingga membawa rasa tidak puas hati, maka apa yang dibangkitkan itu adalah tergolong pada maksud hasutan di bawah akta berkenaan.

Katanya, ia seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 3 (1) (c) Akta Hasutan yang kesalahannya dinyatakan di bawah seksyen 4 dengan hukuman yang diperuntukkan ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...