Friday, October 23, 2009

Imuniti - Perlindungan Perlembagaan ke Atas Wakil Rakyat

Semua ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) dan ADUN mempunyai imuniti di sisi Perlembagaan Persekutuan - sesuatu yang tidak dinikmati oleh orang biasa.

Apakah itu imuniti ?

Dalam bahasa kita ia disebut kekebalan. Menurut ilmu bela diri Melayu, seorang yang kebal adalah seorang yang tidak lut dek tikaman senjata. Tidak ada senjata tajam yang boleh membunuh pemilik ilmu kebal ini. Apabila digunakan dalam konteks wakil rakyat, imuniti atau kekebalan ini bermaksud mereka 'tidak lut' dek undang-undang negara di atas apa yang mereka ungkap atau suarakan dalam sidang dewan yang mereka hadiri.

Imuniti memberikan keistimewaan untuk wakil rakyat menyuarakan apa sahaja isu tanpa takut kepada tindakan undang-undang. Apa sahaja yang mereka 'kongsi' di dalam dewan persidangan tidak boleh digunakan untuk didakwa di mahkamah walaupun ia berupa suatu tuduhan tanpa bukti yang kukuh oleh satu pihak kepada satu pihak lain.

Dengan imuniti ini seorang ahli Parlimen atau ADUN
diberikan kebebasan untuk berbincang dan berbahas secara bebas dan berterus terang ketika berada dalam sidang Parlimen tanpa perasaan takut dikenakan tindakan undang-undang melalui proses mahkamah oleh pihak yang tidak berpuas hati atau tersinggung dengan kenyataan atau kritikan ahli Parlimen berkenaan sama ada pihak tersebut berada dalam atau di luar dewan Parlimen.

Ringkasnya ini bermaksud ahli Parlimen atau ADUN tidak boleh dipersalahkan atau didakwa bagi apa-apa yang diucapkan dalam dewan perundangan negara atau negeri.

Mengapa perlu imuniti ?

Perlindungan oleh perlembagaan ini untuk mempastikan proses ‘check and balance’ dapat berjalan dengan lancar tanpa halangan oleh pihak berkuasa iaitu eksekutif atau agensi kerajaan seperti pihak polis.

Justeru, pihak pembangkang perlu mempunyai barisan ahli Parlimen yang lebih ramai untuk membolehkan suara mereka lebih didengar dan memberi tekanan yang ekstra-kuat kepada eksekutif semasa sidang Parlimen atau DUN berlangsung terutamanya apabila mengkritik dan memohon penjelasan berhubung keputusan dan tingkah laku eksekutif di luar Parlimen yang dilihat (ada keraguan munasabah) membelakangkan kepentingan awam dan negara.

Di manakah dan bilakah imuniti ini berkuatkuasa dan terpakai ?

Keistimewaan ini walaubagaimanapun mempunyai batasnya. Ia tidak terpakai di luar dewan perundangan atau dengan kata lain ia hanya berkuatkuasa semasa berlangsungnya sidang dewan di dalam dewan tersebut. Maknanya dalam keadaan biasa di luar dewan semasa tiada persidangan disertai, wakil rakyat ini tidak mempunyai sebarang imuniti. Di luar dewan mereka sama sahaja dengan orang awam lain yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Adakah imuniti ini bersifat mutlak ?

Dahulu imuniti ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada wakil rakyat untuk menyentuh hampir apa sahaja perkara dalam sidang dewan. Kebebasan yang dinikmati mereka cukup luas.

Namun, mengambil iktibar di atas kejadian rusuhan kaum 13 Mei 1969, Parlimen sendiri telah meminda
hak keistimewaan tersebut demi memelihara keharmonian kaum serta mewujudkan keamanan berterusan di negara ini. Mulai 10 Mac 1971, dengan berkuat kuasanya Akta (Pindaan) Perlembagaan 1971, iaitu Akta A30, ahli Parlimen dan ADUN dilarang untuk menyentuh ‘isu-isu sensitif’ yakni perkara-perkara yang telah menjadi Kontrak Sosial dalam Perlembagaan Persekekutuan Tanah Melayu 1957 – pakatan murni antara kaum.

Maka, sejak itu imuniti wakil rakyat tidak lagi luas atau mutlak. Jika mereka menyentuh perkara-perkara yang diklasifikasikan sebagai sensitif dalam Kontrak Sosial undang-undang negara boleh 'masuk' ke dalam dewan persidangan dan mengheret ke mahkamah menggunakan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...