Saturday, October 24, 2009

Kes Tian Chua di sisi Perkara 48 Perlembagaan

Berita seseorang dihukum penjara dan didenda oleh mahkamah setelah sabit kesalahannya di sisi undang-undang negara sudah biasa kita dengar. Namun, apabila sabitan kesalahan dan hukuman ini terjadi ke atas Chua Tian Chang ia bukanlah berita yang biasa.

Ini kerana beliau yang lebih dikenali sebagai Tian Chua adalah seorang ahli Parlimen Malaysia (kawasan Batu). Ada implikasi undang-undang yang lebih besar bakal terjadi ke atasnya apabila beliau dijatuhi hukuman denda RM3,000.

BERNAMA melaporkan pada 22 Oktober "Anggota Parlimen Batu, Chua Tian Chang dipenjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini Khamis selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mencederakan anggota polis pada 11 Dis 2007."

Seorang wakil rakyat yang dipilih melalui peti undi sama ada sebagai ahli Parlimen (Dewan Rakyat) atau DUN mestilah mempunyai rekod peribadi yang bersih dan sentiasa kelihatan bersih dari kesalahan jenayah moral ataupun sivil. Alasannya sangat mudah : mereka adalah pemimpin masyarakat. Kehadiran mereka di tengah-tengah masyarakat mestilah dirasakan sebagai pengaruh yang sihat dan positif bagi memangkin perubahan yang progresif dalam masyarakatnya. Tidak mungkin seorang wakil rakyat mempunyai dua sisi kehidupan - satu yang baik, manakala satu lagi yang buruk.

Dari kaca mata umum wakil rakyat adalah seorang yang 'sempurna' baik dari segi pendidikan, sahsiah dan kebolehan memimpin. Tiada kompromi patut diberikan ke atasnya setelah jelas melakukan kesalahan apatah lagi jenayah.

Oleh yang demikian Perlembagaan sebagai satu alat kawalan sosial telah mensyaratkan agar setiap pemimpin demokratik ini mestilah berwaspada agar tidak terjadi ke atasnya perkara-perkara yang telah digariskan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Apakah Perkara 48 tersebut ?

Perkara 48 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan 6 perkara menyebabkan hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen, iaitu : 

  • 1) tidak sempurna aqal
  • 2) diisytihar muflis oleh mahkamah
  • 3) memegang jawatan berpendapatan
  • 4) dihukum penjara selama tidak kurang 12 bulan atau didenda sekurang-kurangnya RM2,000.
  • 5) memperolehi kewarganegaraan asing dengan senagaja atau khianat kepada negara dengan memberikan kesetiaan kepada mana-mana negeri di luar persekutuan
  • 6) tidak menghantar penyata perbelanjaan pilhan raya kepada SPR
Maka, jika keputusan mahkamah (dibuat oleh Majistret Mohd Faizi Che Abu) itu kekal setelah semua proses rayuan tamat, Tian Chua akan berdepan hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan di atas.


Tian Chua akan senasib dengan Wee Choo Keong, wakil rakyat DAP yang telah memenangi kawasan Bukit Bintang dalam PRU 1995 tetapi terpaksa  mengosongkan kerusi tersebut kerana gugur kelayakan  sebagai calon akibat didenda RM7,000.00 oleh mahkamah atas satu kesalahan.

Apakah yang bakal berlaku kelak mengikut sistem demokrasi berparlimen di negara kita berikutan kekosongan kerusi Batu kelak ?

Anda boleh menjawabnya dengan melihat kepada peruntukan perlembagaan juga.
-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...