Monday, October 5, 2009

Esei MPW1133 - Karangan Biasa atau Ilmiah?

Penulisan esei merupakan satu bentuk latihan ilmiah yang relatif mudah berbanding penulisan tesis atau disertasi. Ia hanya setebal 20 hingga 30 halaman sahaja.

Namun, ia hanya menjadi budaya atau amalan bagi kursus sains sosial atau kemanusiaan seperti sejarah, sains politik, agama dan sebagainya. Bagi kursus berorientasikan sains dan teknologi penulisan esei tidaklah begitu ditekankan. Kursus seperti ini lebih biasa dengan laporan makmal, penulisan saintifik yang lebih straight forward dan ringkas. Bahasa yang digunakan adalah bahasa sains, sedangkan bahasa esei sains sosial lebih 'berseni'.

Justeru, bagi pelajar diploma sains, akaun, pengurusan perniagaan dan seumpamanya menulis esei adalah satu tugasan yang amat payah. Menulis esei bukanlah satu kebiasaan wajib. Bila tidak biasa apa pun akan jadi payah.

Lazimnya kumpulan pelajar ini memang tidak dilatih untuk menulis esei sebagai sebahagian keperluan wajib kursus. Jika ada pun, ia tidak diajar dengan kaedah yang betul. Inilah keadaan yang berlaku. Oleh itu sebagai pensyarah saya faham jika pelajar tidak boleh menulis dengan baik atau betul.

Penulisan esei bukanlah penulisan sembarangan. Ia rumit kerana mendahului penulisan ilmiah ialah penyelidikan ilmiah itu sendiri. Maknanya esei - yang termasuk sebagai satu bentuk tulisan ilmiah - perlulah menepati ciri ilmiahnya.

Drs Sidi Gazalba  dlam bukunya
bertajuk 'Pembimbing Latihan Ilmiah dan Tesis' (Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Antara, 1981), hlm. 8 menyenaraikan ciri-ciri ilmiah sesebuah penyelidikan :

“…kaedah kajian melalui penyelidikan yang hati-hati dan lengkap atas semua kenyataan yang dapat diperoleh mengenai masalah yang dihadapi, dengan jalan mana orang mencapai kesimpulan tentang masalah itu. Dengan membina kesimpulan dikumpulkan bukti-bukti dengan cara yang sistematik, jelas dan terkontrol [terkawal]. Dan kesimpulan hanya dirumuskan dan dibenarkan atas bukti-bukti yang meyakinkan. Dengan demikian bertambah jelaslah perbezaan kaedah ilmiah dari kaedah-kaedah tak ilmiah…”

Maka, ciri ilmiah pada esei menuntut kepada penggunaan daya fikir yang kritis, analitis dan juga objektif.

Di samping itu juga pelajar perlu melatih menjana pemikiran yang asli dan segar. Maknanya bukan dengan mencedok idea atau kajian orang lain lalu memuatkan dalam esei yang sedang pelajar tulis.

Esei adalah satu penulisan ilmiah yang bertanggungjawab. Oleh yang demikian ia perlu bebas dari amalan 'copy and paste' yang sinonim dengan pelajar hari ini.

Seperkara lagi, 
pengalaman membuat karangan di peringkat sekolah menengah seakan tidak banyak membantu. Kemahiran mengarang telah menjadi tumpul apabila meninggalkan alam persekolahan. Selain pelajar sendiri tidak cukup dilatih berfikir secara kritis di bangku sekolah, pengajaran menjadi lebih rumit apabila pelajar layak 3 kredit SPM.

Daya kognitif yang lemah selalunya menyukarkan pemahaman yang baik. Kerana itulah pelajar hari ini tidak boleh menulis esei secara kritis dan objektif. Esei hanyalah hasil cedokan dari buku atau - yang lebih popular dan mudah sekarang - laman sesawang pilihan mereka di internet.

Ringkasnya, esei hanya boleh terhasil apabila pelajar boleh berfikir sendiri dan mempunyai alasan atau dalil, fakta, nas yang mencukupi sebelum kesimpulan yang konklusif dibuat.

Oleh itu bagi membantu pelajar menulis esei sebagai tugasan Pengajian Malaysia MPW1133 semester ini mengikut kaedah dan tertib ilmiah, saya telah menghasilkan dua bahan berkaitan iaitu Format Am Penulisan Ilmiah (Esei) dan FAQs Tambahan Dalam Penulisan Ilmiah. Dua bahan ini ada di bahagian akhir Nota MPW1133 Jilid 1. (Perlu disebut di sini bahawa dua bahan ini telah diberitahu awal-awal lagi ketika nota ini dibeli pelajar).

Walaubagaimanapun bahan-bahan ini hanya menyajikan maklumat asas sahaja. Untuk rujukan lanjut pelajar boleh mendapatkannya di internet atau buku-buku berkaitan di pasaran.

Entri kali ini melengkapi entri sebelum ini (29 Julai) bertajuk 'Penulisan Ilmiah : Karya yang Bukan Sembarangan'. Sila klik di sini untuk membacanya.


Peringatan mengenai jangan amalkan plagiat juga pernah disiarkan di sini (juga 29 Julai).
-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...