Sunday, October 25, 2009

Rayuan Kes Mahkamah Untuk Mencapai Keadilan

Seseorang yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi jika dia tidak berpuas hati dengan penghakiman yang telah dijalankan. Maka keputusan mahkamah asal boleh ditangguhkan dahulu sehinggalah keputusan rayuan diperolehi.

Rayuan dibenarkan kerana berkemungkinan hakim bicara terkhilaf dalam menilai hujah, bukti dan silap dalam penghakimannya. Justeru, peluang merayu sentiasa dibuka sehinggalah keputusan rayuan dimuktamadkan oleh mahkamah terakhir iaitu Mahkamah Persekutuan (fka Mahkamah Agong).

Terdapat banyak kes yang boleh kita sandarkan sebagai contoh penggunaan semua saluran undang-undang untuk mendapatkan keadilan badan kehakiman di peringkat tertinggi.

Kes terbaru ialah kes Tian Chua seperti yang dilaporlan media seperti BERNAMA. Ikuti petikan laporan tersebut :

Tian Chua Masih Anggota Parlimen Batu - SPR

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Tian Chua masih kekal sebagai anggota Parlimen Batu selagi proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret semalam, belum selesai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Tian Chua atau Chua Tian Chang yang dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret setelah didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis dua tahun lepas.

"Saya difahamkan daripada media bahawa beliau akan memfailkan rayuan. Setakat yang kami tahu, proses (rayuan) itu belum muktamad. Jadi beliau masih kekal sebagai anggota Parlimen," katanya.

Keputusan mahkamah itu boleh menyebabkan Tian Chua kehilangan kerusi Parlimennya kerana mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang itu hilang kelayakan menjadi Anggota Parlimen jika dia disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk dalam Negeri Sabah dan Sarawak atau di Singapura) dan dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang dari RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Abdul Aziz berkata walaupun SPR memantau kes itu, ia akan hanya bertindak setelah menerima laporan rasmi daripada Speaker Parlimen mengenai perkara itu.

-- BERNAMA

-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...