Wednesday, October 28, 2009

Jambatan Gantung Runtuh di Dipang - Perlukah Suruhanjaya Menyiasatnya?

Kelmarin di Dipang Perak telah berlaku satu kejadian jambatan gantung runtuh. Kejadian ini telah mencuri perhatian umum kerana ia berlaku ketika sekumpulan peserta kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan sedang menggunakan jambatan tersebut. Perkhemahan ini disertai oleh 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar.

Malaysiakini melaporkan "..Antara 30 hingga 50 murid berada di atas jambatan gantung yang menghubungkan tapak perkhemahan dan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang ketika ia runtuh semalam.

Kejadian itu menyebabkan seorang murid mati lemas dihanyut air deras Sungai Kampar, dua lagi masih hilang, manakala 19 yang lain selamat.
Kedua-dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Diryasree a/p Vasudevan, 12, dari SJKT Gopeng dan Davadharshini a/p Maheswaran, 11, dari SJKT Mambang Di Awan.

Seorang murid yang terselamat K Mathivanan, 12, berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika ada antara mereka menyeberangi jambatan itu untuk ke sekolah untuk makan malam dan ada yang balik ke kem."


Yang menjadi tanda tanya awam sekarang ialah jambatan gantung 50 meter yang menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang baru sahaja siap dibina dua minggu lepas.

Berikutan kejadian malang ini membabitkan kepentingan awam, PAS telah menggesa pihak kerajaan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini. BERNAMA 27 Okt, melaporkan :

"PAS menggesa supaya sebuah suruhanjaya bebas diwujudkan untuk menyiasat kes-kes 'runtuh', termasuk kejadian jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Perak semalam.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata langkah itu bagi memastikan semua kejadian itu tiada kaitan dengan perbuatan penyelewengan atau rasuah selain menjamin perkara seumpamanya tidak berulang.

Peristiwa seperti itu juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur, katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, Selasa.

Abdul Hadi berkata pembangkang bukan musuh kepada parti pemerintah, sebaliknya berperanan sebagai penasihat bagi memastikan segala tindakan kerajaan dalam urusan pentadbiran negara tidak bersifat melulu."

Dari petikan berita di atas beberapa perkara dapat dirumuskan :

1) Suruhan jaya bebas (Diraja) boleh ditubuhkan jika berlaku sesuatu peristiwa yang membabitkan kepentingan orang ramai. Penyiasatan dalaman tidak memadai untuk menyelongkar dan mendedahkan amalan dan tingkah laku yang disifatkan sebagai menyeleweng dan tidak amanah oleh pihak berkenaan.

2) Pembangkang adalah pihak yang lazim dikaitkan dengan peranan 'check and balance' ke atas eksekutif. Ini jelas ditunjukkan dalam sidang Parlimen atau pun DUN.

Peristiwa kelmarin ini mengingatkan kita kepada kejadian pada tahun 1987 di Yan Kedah di mana sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah dijilat api hingga mengorbankan 20 orang pelajar dan memusnahkan prasarana dan kemudahan di sekolah tradisional itu.

Kerana ada kepentingan awam yang perlu dipelihara dalam kes ini akhirnya Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Keselamatan Sekolah-Sekolah Swasta dan Agama di Semenanjung Malaysia telah ditubuhkan. Laporan suruhanjaya itu menyatakan prasarana dan kemudahan di kebanyakan SAR adalah daif, dibina bersesak-sesak dan tidak akur kepada piawai kesihatan dan keselamatan.

Sehubungan dengan itu, prinsip yang sama boleh digunakan jika kes jambatan gantung runtuh
ini dianggap mempunyai nilai kepentingan awam yang signifikan.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...