Monday, March 8, 2010

Pertembungan Siasah untuk Merebut Kuasa Eksekutif

Di mana-mana negara pun, persaingan siasah untuk merebut kuasa adalah antara kegiatan utama masyarakat yang mengisi kalendar tahunan negara.

Pada pengamatan kita sama ada secara langsung atau melalui bacaan ke atas laporan, analisa, komentar berita di dada akhbar jelas diperlihatkan bahawa persaingan ini mewujudkan pertembungan idea, fikrah, sikap, pendirian dan pendekatan yang ketara dalam isu-isu yang cuba ditangani bersama.

Selalunya isu siasah menjadi lebih hangat apabila pertembungan itu dilihat sebagai perselisihan kaum atau agama.

Di Malaysia persaingan dan pertembungan antara parti dan idealogi siasah yang berbeza ini berlaku sepanjang masa iaitu sebelum dan selepas pilihan raya. Adakah ini bermakna amalan demokrasi subur atau sebaliknya politikus kita tidak matang dalam menterjemahkan makna demokrasi pasca-pilihanraya?

Apapun jawapannya fenomena pertembungan siasah ini menjadi lebih ketara lagi apabila parti siasah alternatif kepada Barisan Nasional (BN) iaitu Barisan Alternatif atau kini dengan nama Pakatan Rakyat (PR) berjaya mencuri perhatian dan sokongan rakyat semenjak PRU ke-10 1998 berikutan isu Anwar Ibrahim.

Gelombang kebangkitan rakyat atau kuasa rakyat melalui peti undi tidak surut walaupun dalam PRU ke-11 BN menang besar. Ini kerana dalam PRU ke-12 2008 PR berjaya sekali lagi menggugat dominasi BN apabila berjaya mengurangkan majoriti 2/3 di Parlimen dan mengambil alih empat lagi kerajaan negeri selepas Kelantan iaitu di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.

Kini selepas 2 tahun PRU ke-12 tamat, bahang akibat pertembungan siasah antara BN dengan PR terus dimomentumkan oleh isu-isu semasa termasuk membabitkan sistem perlembagaan dan dasar negara. Inilah yang terjadi dalam kes 'Siapa Menteri Besar' selepas tumbangnya kerajaan PR di Perak. Di Pulau Pinang, di awal pemerintahannya kerajaan PR DAP telah mencetuskan kontroversi apabila memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan meneruskan semangat Dasar Ekonomi Baru yang selama ini dilaksanakan oleh BN.

Melihat kepada perkembangan semasa dalam negeri, pertembungan ini dijangka tidak akan reda sehingga PRU ke-13 (dijangka) 2011 nanti. Isu-isu baru akan terus mewarnai kancah siasah yang jelas mempengaruhi kehidupan sosial dan ekonomi negara.

Yang terbaru dijangka menimbulkan perselisihan ialah keinginan kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan semula Pilihan Raya Kerajaan Tempatan setelah ia dimansuhkan semenjak 1969 oleh kerajaan persekutuan. Episod kali ini juga memperlihatkan sikap dan ketelusan kerajaan Pulau Pinang untuk mewujudkan kerajaan demokratik di semua peringkat kerajaan dengan harapan ianya dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang selama ini heboh diperkatakan umum.

Adakah Suruhanjaya Pilihanraya akan menyahut atau tidak permintaan kerajaan Pulau Pinang untuk mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan, ia adalah persoalan undang-undang atau perlembagaan yang harus terlebih dahulu diselesaikan.

Apa yang lebih utama dalam konteks pertembungan siasah, sesiapa yang berjaya mendapat mandat dari rakyat akan menguasai badan legaslatif dan kemudian membentuk badan eksekutif. Dari situ, kuasa siasah dari rakyat membuka ruang dan peluang kepada parti siasah tersebut membuat apa sahaja, dengan cara ia sendiri, berlunaskan undang-undang dan perlembagaan, bagi mentadbir kerajaan dan menyusun atur kehidupan sosial, ekonomi negeri dan rakyat.

Mengikut Max Weber, perubahan kepimpinan siasah sebegini mampu mengubah status kehidupan negara dan rakyat. Teori beliau akan dibuktikan dalam tempoh 5 tahun mandat memerintah kerajaan PR di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Kita tunggu dan lihat.
-------------------

LAMPIRAN berita dari BERNAMA (klik di sini untuk berita asal).
06 Mac, 2010 15:55 PM
Pulau Pinang Minta SPR Adakan Pilihan Raya PBT
PULAU PINANG, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan satu pilihan raya kerajaan tempatan diadakan bagi memilih ahli-ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihaknya telah menghantar surat pemberian kuasa kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, permohonan mengadakan pilihan raya PBT itu semula tanpa halangan atau sekatan dari segi perundangan itu adalah bertujuan memulihkan demokrasi selain mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Selepas menimbang perkara itu beberapa bulan lalu, Majlis Mesyuarat kerajaan negeri pada 3 Mac lalu telah mengambil keputusan untuk menyerahkan surat kepada SPR bagi mengadakan pilihan raya PBT bagi memilih ahli majlis MPPP dan MPSP, katanya.

"Surat tersebut telah dihantar melalui faks kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 4 Mac lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Tujuh Sebelah Penang Sports Club (PSC) di sini pada Sabtu.

Beliau berharap SPR akan mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri itu dengan segera dan seterusnya melaksanakan proses pilihan raya PBT itu dengan lancar.

-- BERNAMA


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...