Monday, March 22, 2010

Penggubalan Undang-undang - Kes ISA

Pindaan undang-undang hanya boleh dilakukan di dalam sidang Parlimen sahaja (juga di DUN untuk peringkat negeri). Ini adalah kehendak perlembagaan itu sendiri di mana hanya badan perundangan (legaslatif) yang diberi kuasa untuk menggubal, meminda bahkan memansuhkan suatu undang-undang.

Namun kerja-kerja awal perlu diselesaikan mengikut prosedur atau tatacaranya, tahap demi tahap agar usul pindaaan undang-undang itu betul-betul bersedia untuk dibentangkan semasa sidang Parlimen.

Mengikut kelazimannya, undang-undang yang hendak dipinda (termasuk undang-undang baru yang hendak digubal) dimulakan oleh pihak kerajaan melalui kementerian yang berkaitan. Kita tidak pernah mendengar usul pindaan undang-undang disedia dan dibawa oleh ahli Dewan Rakyat dari kalangan pembangkang atau pihak lain.

Laporan berita oleh BERNAMA di bawah memberikan kita pemahaman ringkas bagaimana suatu niat dan usaha meminda undang-undang dimulakan oleh kementerian yang berkenaan, dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dimajukan ke Dewan Rakyat untuk bacaan pertama dan proses seterusnya.

Dalam contoh ini Kementerian Dalam Negeri telah menyediakan draf rang pindaan undang-undang ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Kabinet Teliti Rang Undang-undang ISA Jumaat Ini, Kata Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan diteliti oleh Kabinet pada Jumaat ini sebelum boleh dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata walaupun draf rang undang-undang itu telah siap ianya mesti terlebih dahulu diserah kepada Kabinet untuk diluluskan.

Saya berharap pindaan ISA dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini, namun jika tidak dapat dilakukan kita akan kembali kepada masyarakat untuk dapatkan lebih banyak pandangan mengenainya, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini Isnin.

"Tidak ada gunanya jika rang undang-undang itu dibentangkan pada sesi kali ini kalau orang ramai tidak gembira dengan cadangan pindaan yang hendak dilakukan," kata beliau.

Cadangan pindaan itu meliputi lima isu iaitu kuasa Menteri Dalam Negeri, tempoh penahanan, hak dan layanan ke atas tahanan, tanggapan orang ramai bahawa ISA disalahguna untuk tujuan politik, dan penahanan tanpa perbicaraan.


-- BERNAMA

-------------------
'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...