Wednesday, March 3, 2010

Pengampunan Diraja Akan Tamatkan Isu Kartika

Seseorang yang disabit kesalahannya di sisi undang-undang negara mempunyai peluang untuk merayu ke mahkamah lebih tinggi bagi jika tidak berpuas hati kepada keputusan mahkamah pertama yang membicarakan kesnya. Namun peluang itu tamat apabila mahkamah rayuan terakhir iaitu Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk memihak kepada keputusan mahkamah yang asal.

Keputusan oleh mahkamah ini adalah muktamad. Maka berakhirlah proses kehakiman dan pesalah tidak lagi mempunyai apa-apa lagi peluang untuk merayu. 'Talian hayat' kehakiman telah pun habis digunakan.

Walaubagaimanapun, si pesalah mempunyai peluang untuk mendapat keringanan hukuman atau pengampunan dari ketua negeri atau negara iaitu sultan atau raja negerinya di mana jenayah itu dilakukan atau Yang Dipertuan Agong jika jenayah itu dilakukan di Wilayah Persekutuan atau negeri-negeri yang tiada sultan.

Pengampunan oleh ketua negeri atau ketua negara juga boleh diperolehi jika kesalahan itu merupakan kesalahan syarie di wilayah yang berada dalam bidang kuasanya.

Peruntukan undang-undang inilah yang mungkin akan digunakan dalam kes Kartika bagi menamatkan teka teki tentang sama ada Kartika akan menjalani hukuman 6 kali sebatan atau tidak selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 selepas beliau mengaku salah meminum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2007.

Portal berita Malaysiakini, 3Mac 2010 Sultan Pahang boleh ampun Kartika melaporkan :

"Sultan Pahang mempunyai kuasa untuk mengampunkan Kartika Sari Dewi Shukarno atau mengurangkan hukuman sebatan syarie sama ada dia merayu atau tidak mengikut undang-undang syariah, titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.'

Kuasa budibicara ini termaktub dalam Seksyen 133, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002.

Penjelasan ini dibuat oleh Tengku Abdullah dalam satu sidang akhbar selepas baginda menemui sendiri Kartika untuk mendengar permasalahan yang sedang ditanggung oleh Kartika selama isu ini menjadi polemik ramai pihak.

Menjelaskan lagi kuasa baginda Sultan Pahang, Tengku Abdullah bertitah bahawa "...nasib Kartika bergantung kepada budi bicara Sultan Ahmad Shah kerana baginda mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan walaupun tiada sebarang rayuan dibuat Kartika."
"Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, Tuanku Sultan (Pahang) mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan walaupun dia (Kartika Sari Dewi) tidak minta diampunkan (atau membuat rayuan)," titah baginda.
Dengan kes ini, fahamlah kita bahawa nasib seseorang pesalah itu tidak semata-mata terletak di tangan seorang hakim di mahkamah syariah (begitu juga sivil) tetapi - dalam situasi tertentu - ia juga boleh ditentukan oleh kuasa budi bicara seorang Ketua Negeri atau Ketua Negara melalui kuasa pengampunan diraja.

Dalam situasi begini takdir Kartika mungkin berbeza dengan takdir pesalah-pesalah syariah yang telah disebat sebelum ini (baca entri bertajuk Hukuman Sebat Syariah ke atas Pesalah Wanita Pertama Dilaksanakan, 21 Feb ) kerana isu ini telah menjadi perbicangan awam yang panjang lebih-lebih lagi selepas Kartika sendiri enggan merayu untuk dikurangkan hukuman sebat itu bahkan dengan rasa insaf dan tegas ingin segera disebat di depan khalayak umum.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...