Sunday, March 14, 2010

Jawatan PM - Antara Undang-undang dan Tradisi

Dato' Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri Malaysia ke-6. Sebagaimana 5 orang Perdana Menteri terdahulu, beliau adalah seorang Melayu dan beragama Islam.

Semenjak era Tunku Abdul Rahman lagi,  jawatan Ketua Menteri (selepas PRU 1955 utk kabinet pertama) dan kemudian Perdana Menteri pasca-1957 hinggalah sekarang jawatan Ketua Eksekutif Malaysia ini seakan milik warganegara berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adakah ini mempunyai asas undang-undang di sisi perlembagaan?

Menurut Fasal 43 (2[a]) Perlembagaan Persekutuan, jawatan orang nombor satu ini diberikan kepada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Tiada satu pun klausa dalam kitab perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa seorang Perdana Menteri mestilah memenuhi syarat bangsa dan agama kaum peribumi.

Setakat yang kita ketahui hanya Undang-undang Tubuh kerajaan Negeri Perak sahaja mensyaratkan bahawa Menteri Besarnya mestilah dipilih dan dilantik dari kalangan orang Melayu-Islam. Kemelut politik pasca PRU ke-12 di Perak dua tahun lalu adalah contoh terbaik menjelaskan prinsip ini apabila walaupun DAP yang memenangi banyak kerusi DUN, namun calon PAS iaitu Ir Muhammad Nizar sahaja yang diperkenan Sultan Perak walaupun PAS hanya menang 1 kerusi DUN Perak.

Justeru, secara teori di atas kertas, warganegara Malaysia yang bukan Melayu dan bukan beragama Islam boleh dilantik memegang jawatan tersebut asalkan majoriti ahli Dewan Rakyat memberi kepercayaan kepada beliau.

Pandangan ini telah disahkan oleh pakar perlembagaan negara iaitu Prof Dr Abdul Aziz Bari dari UIAM dan Prof Shad Saleem Faruqi dari UiTM. Portal berita Malaysiakini, 23 Februari 2010 (klik di sini untuk berita penuh) melaporkan :

"Di sudut perlembagaan, seorang lagi pakar perlembagaan terkenal Prof Datuk Shad Saleem Faruqi, sependapat bahawa golongan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri Malaysia."

"Beliau diminta mengulas kenyataan rakan akademiknya Prof Dr Abdul Aziz Bari yang berkata, perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam untuk dilantik sebagai perdana menteri."

Oleh itu, mengapa jawatan tersebut terus dipegang oleh orang Melayu-Islam ?

Prof Shad berpendapat “Tiada larangan terhadap bukan Melayu (untuk menjadi perdana menteri). Bagaimanapun kita ada konvensyen (kebiasaan).

“Saya rasa berdasarkan realiti politik di negara ini, ini negara Melayu,”

Beliau menegaskan lagi bahawa "....bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara, orang Melayu patut dikekalkan pada kedudukan itu.

“Mengikut perlembagaan tiada masalah. Tetapi berdasarkan politik dan sejarah lebih baik untuk negara ini mengekalkan status quo ini ini,” kata bekas penasihat undang-undang UiTM itu.".

Jawapan ini menjelaskan bahawa orang Melayu-Islam memegang jawatan Perdana Menteri bukan atas alasan perundangan. Akan tetapi ia diperolehi sebagai satu konsensus parti-parti perkauman dalam Perikatan (kemudian Barisan Nasional) yang memberikan penghormatan kepada orang Melayu sebagai kaum teras dan induk di negara ini.

Kini ia sudah menjadi sebahagian dari tradisi atau amalan kenegaraan di Malaysia, sekurang-kurangnya melalui muafakat atau perkongsian politik dalam Barisan Nasional.

Semata-mata untuk mengubah status quo ini atas alasan hak dan keadilan hanya mengundang krisis politik apatah lagi bagi orang Melayu, yang tinggal kini hanya kuasa politik. Biarlah ia menjadi kontrak sosial tidak bertulis dalam perlembagaan.

Memang di Malaysia, situasinya agak ironis apabila kaum induk iaitu Melayu dan bumiputera tidak menguasai dan mendapat bahagian kek ekonomi yang banyak. Sebaliknya aspek penting ini 'jatuh' ke tangan kaum bukan Melayu khasnya orang Cina.

Oleh itu, menyerahkan baki kuasa politik Melayu/Bumiputera ini kepada kaum bukan Melayu tidak mungkin menjadi satu formula mujarab untuk menyelesaikan kemelut politik tanah air semasa.

Akan tetapi sampai bila keadaan ini akan bertahan atau boleh dipertahankan?

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...