Friday, March 26, 2010

Penguliahan Pengajian Malaysia : Satu Pengalaman

Berikut adalah entri dalam blog personal saya yang ditulis kira-kira setahun lalu. Entri ini disalin semula di sini kerana termuat unsur-unsur yang sesuai untuk siaran dalam blog Kenegaraan Malaysia kali ini.

Mungkin gaya penulisannya agak 'lari' sedikit dari gaya ala 'suku-ilmiah' dalam blog ini. Tapi diharap dengan kelainan ini, mesej saya lebih mudah diterima oleh pembaca blog ini, khasnya pelajar saya.

--------------------
April 4, 2009 (klik di sini untuk sumber asal entri ini).

Dalam kursus Pengajian Malaysia, 'Demokrasi Berparlimen' menjadi satu topik yang sangat menarik untuk dibincangkan. Topik ini adalah bagian atau sisi penting kenegaraan untuk pelajar dan kita semua memahami sistem politik negara.

Saya juga merasionalkan kepada pelajar bahawa kita adalah hasil percaturan para pemimpin politik - dahulu, kini dan juga akan datang. Sisi-sisi penting lain iaitu ekonomi dan sosial - sebahagian besarnya dicorak dan dipengaruhi oleh perkembangan politik. Justeru pasang surut politik negara perlulah boleh 'dibaca' oleh kita semua dengan ilmu dan maklumat yang betul.

Perkembangan mutakhir politik negara menjadi sampel atau kes sebenar bagi mengukuh pemahaman tentang sistem politik negara.

Ini kerana teori atau doktrin pengasingan kuasa, konsep perkongsian kuasa dalam Perikatan (kini Barisan Nasional), maksud Raja Berperlembagaan versus Raja Mutlak, falsafah demokrasi, pembentukan kabinet, institusi Yang Dipertuan Agung dan Majlis Raja-raja dalam konteks politik negara dan banyak lagi boleh menjadi bahan bacaan atau bahan pendengaran semasa kuliah yang kaku. Ia tidak mudah untuk difahami begitu sahaja. Banyak terminologi yang patut difahami. Udahlah ia sarat konsep abstrak yang berat. Maka yang biasa berlaku pelajar akan pening kepala!

Rasa sedih dan kasihan terdetik di hati saya melihatkan mata pelajar saya berkaca dengan 'air -mata' yang ditahan. Mungkin juga mereka tahan ngantuk. Atau barangkali mereka 'sabar' menahan diri untuk kekal berjaga dalam kepayahan memahami kuliah saya.

Maka untuk memudahkan kefahaman mereka saya selalu selitkan contoh-contoh sebenar sama ada yang telah, sedang dan (mungkin) yang akan berlaku. Saya banyak memetik dari laporan media kerana laporan beritanya yang bersifat semasa.

Untuk lebih 'ditangkap' pelajar, saya gunakan power point 2007 yang penuh dengan elemen 'kosmetik'. Sentuhan kreatif pada teks dan gambar akan lebih 'menangkap' perhatian pelajar. Begitulah harapan saya setiap kali mengajar mereka.

Saya selalu misalkan - antara lain - dengan kes gelora politik di Perak, perhimpunan dan pemilihan pucuk pimpinan UMNO, peralihan kuasa oleh Pak Lah kepada Dato' Seri Najib dan cadangan diwujudkan jawatan Timbalan PM kedua dari etnik Cina oleh MCA. Harapan saya isu-isu semasa ini dapat 'menghidupkan' tajuk ini semasa kuliah.

Saya juga mengisyaratkan kepada pelajar bahawa topik-topik kursus adalah saling berkaitan walaupun diajar secara terpisah. Ini secara tidak langsung membolehkan pemahaman prinsip 'Keluhuran perlembagaan dan Kedaulatan undang-undang' dalam Rukunegara turut didalami dengan lebih baik lagi.

Antara sub-topik dalam 'Demokrasi Berparlimen' yang saya sangat tekankan ialah mengenai perbezaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Juga mengenai institusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini kerana ia juga adalah badan perundangan (legaslative) tetapi untuk negeri.

Namun penyampaian sehala kuliah mungkin tidak banyak membantu pemahaman pelajar. Justeru, soalan-soalan pelajar sangat dialu-alukan kerana akan menjadi kayu ukur setakat mana kefahaman mereka, atau kecetekan ilmu mereka terhadap isi kuliah. Apa yang juga penting ia mengelakkan kita - sebagai pensyarah - asyik dengan pengajaran sedangkan pelajar mungkin masih sepatah haram pun tidak faham apa yang mereka dengar dari mulut pensyarah!

Untuk permulaan saya tidak mengharapkan soalan-soalan pelajar 3 kredit saya akan menduga ilmu saya.  Soalan pelajar biasanya bukanlah soalan yang kritikal. Lagipun selama ini mereka - sebagai produk sekolah menengah - tidak diajar dengan kemahiran berfikir secara kritis. Kerana itu mereka lebih selesa menjadi pasif dan reseptif semasa belajar sama ada bersendirian atau semasa kuliah.
Soalan pelajar saya boleh semudah begini :
"Cikgu apakah bezanya ahli yang 'dipilih' di Dewan Rakyat dengan ahli yang 'dilantik' di Dewan Negara?"
Saya tidaklah jenuh nak menjawabnya tetapi pemilihan istilah atau ayat yang sesuai dan cermat bukanlah suatu usaha yang mudah juga. Lebih-lebih lagi untuk disampaikan kepada pelajar 3 kredit saya. Namun saya tetap berusaha untuk memudahkan pemahaman pelajar.

Soalan-soalan sebegini - walaupun mudah - sangat saya hargai. Ini disebabkan susah untuk berpeluang disoal pelajar. Jadi apabila dapat satu soalan pun saya seronok sangat!

Apa yang penting ialah saya akan cuba dengan kaedah kreatif dan pemikiran kritis untuk membuatkan kuliah saya menarik dan mudah untuk difahami.

Harapan akhir saya pelajar dapat memahami asas-asas sistem politik dan pentadbiran negara dengan perspektif yang betul, murni dan jernih.

Untuk tidak membosankan saya akan kongsi atau selitkan dengan cerita lawak atau kisah benar sebagai anekdot di awal, pertengahan atau akhir kuliah apabila berkesempatan.

Sesekali pelajar terketawa atau terhiba tidak salahkan?


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...