Monday, March 8, 2010

Toleran versus Muhibbah dan Samahah

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM , Dr Wan Azhar Wan Ahmad dalam satu rancangan temubual di Radio IKIM pagi ini telah memberikan satu perspektif baru mengenai kaedah mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk, khasnya di negara kita.

Beliau, sebagaimana yang sempat saya ikuti buah fikirannya di akhir waktu siaran, menyatakan bahawa istilah atau terma toleran yang sangat diwar-warkan sebagai sikap atau pendekatan dalam cara hidup masyarakat majmuk bukanlah suatu yang betul dan tepat. Ini kerana ia hanya mewujudkan satu sikap lemah di pihak yang mengamalkan toleransi.

Bagaimana ini berlaku ?

Beliau berhujah, dengan merujuk kepada definisi kamus-kamus bahasa Inggeris dan Arab tertentu, (rupa-rupanya) pengertian toleran bermaksud menerima - secara terpaksa - pendapat atau cara orang lain tetapi tidak diikuti dengan rasa tenang dan selesa. Tiada maksud atau hadirnya perasaan berlapang dada apabila kita bertoleransi terhadap amalan dan kepercayaan orang lain. Akibatnya kita sebenarkan menjadi seorang yang berpura-pura (hipokrit).

Ini menjelaskan mengapa biar pun kita katakan kita seorang yang toleran tetapi masih boleh kemudian hari mengungkit, dan marah. Perasaan kecewa dan mungkin marah juga terpendam tapi tidak hilang. Demi keselesaan orang lain kita cuba berkorban. Tetapi kerana tiada perasaan berlapang dada, timbullah ketidakselesaan hingga akhirnya mempengaruhi pertimbangan kita pada masa hadapan.

Menyedari hal ini, Dr Wan Azhar mencadangkan agar dalam konteks toleransi ini kita harus kembali kepada konsep islami iaitu muhibbah dan samahah. Kedua-dua konsep ini membina dan menyuburkan perasaan kasih sayang dan menerima antara satu sama lain tanpa perlu berpura-pura.

Perpaduan memerlukan kesediaan dan kesudian hati yang jernih dan bersih. Ini tidak boleh berlaku dengan sekadar amalan toleransi tetapi melalui muhibbah dan samahah.

Penelitian dan kupasan lanjut diperlukan untuk memahami konsep ini. Jika itulah hakikat sebenar toleran, maka pihak berkuasa, terutamanya dalam bidang pendidikan perlulah memperkenal dan menyerapkan makna dua konsep baru ini di peringkat awal pendidikan lagi.

 Barulah penghayatan dan penjiwaan makna-makna penting tersebut dalam usaha mewujudkan perpaduan mudah dilakukan. Bukankah buluh jika nak dilentur biarlah dari rebungnya!

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...