Monday, March 22, 2010

Wakil Rakyat Bebas di Parlimen - Fenomena Baru?

Dalam sidang badan legaslatif, komposisi ahli dewan lazimnya terpecah kepada 2 blok politik iaitu blok parti pemerintah dan blok parti pembangkang.

Parti pemerintah menjadi blok yang dominan kerana menguasai majoriti kerusi dewan sedangkan parti pembangkang menjadi blok minoriti. Sama ada ia signifikan atau tidak ditentukan oleh keberkesanan peranannya untuk check and balance ke atas tingkah laku eksekutif semasa sidang berlangsung.

Di negara kita komposisi ini jelas ditunjukkan sama ada di dewan legaslatif persekutuan (Parlimen) atau negeri (DUN). Namun, adakalanya wujud satu lagi blok politik iaitu blok wakil rakyat bebas.

Blok ini wujud kerana ada calon yang bertanding atas tiket bebas menang dalam pilihan raya sama kerusi Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri, mengalahkan calon favourite dari parti politik pemerintah atau pembangkang.

Wakil rakyat bebas juga boleh lahir apabila wakil rakyat dari parti pemerintah atau pembangkang, atas sebab tertentu - keluar parti dan kemudian mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas.

Dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang, ramai wakil rakyat bebas telah wujud akibat berlakunya tindakan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat terutamanya dari PKR keluar parti kerana tidak lagi sehaluan dengan prinsip dan hala tuju parti.

Selain daripada Datok Ibrahim Ali yang awal-awal lagi mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas selepas memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas 8 Mac 2008 lalu, kini ada tambahan 8 lagi ahli Parlimen bebas, majoritinya dari PKR.

Namun, wakil rakyat bebas ini belum lagi membentuk satu pakatan atau blok politik di dalam sidang Parlimen memandangkan masing-masing berasal dari ideologi yang berlainan. Justeru kewujudannya belum lagi boleh dikatakan satu blok politik yang jelas sebagaimana blok pemerintah atau pembangkang.

Laporan BERNAMA berikut menjelaskan sikap dan pandangan pihak kerajaan terhadap fenomena baru ini :

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pembentukan kaukus oleh anggota Parlimen bebas boleh menjadikan mereka sebagai blok kuasa ketiga dalam Parlimen selepas anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata tujuh anggota Parlimen bebas itu boleh menjadi kuasa penentu dalam perkara-perkara yang memerlukan undi dua pertiga.

"Mereka menjadi pasukan yang mengkritik atau menyokong kerajaan, saya sokong pembentukan kaukus ini sebab mereka kini mempunyai anggota yang ramai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari Selasa.

Beliau mengulas kenyataan anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim yang juga wakil Bebas semalam yang mengusulkan satu kaukus anggota Parlimen Bebas ditubuhkan bagi menguatkan kedudukan barisan itu di Parlimen.


Laporan penuh berita ini boleh didapati di sini.

-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...