Monday, March 8, 2010

Kita Yang Kian Terbuka dan Liberal - Pengaruh dan Tekanan Parti Perkauman

Parti siasah di Malaysia kebanyakannya ditubuhkan atas dasar perkauman. Ukuran asas kepada kenyataan ini ialah keahlian parti siasah ini hanyalah terbuka di kalangan satu kaum sahaja. Dalam klasifikasi ini, UMNO, MCA dan MIC mengisi senarai teratas parti perkauman di negara ini.

Manakala GERAKAN, PPP, malah DAP dan PKR pula adalah parti siasah pelbagai kaum, sebagaimana yang pernah dimulakan oleh almarhum Dato' Onn Jaafar ketika menubuhkan Parti Negara dahulu. Cuma kebanyakan ahli parti ini pun kelihatannya didominasi kaum tertentu. GERAKAN dan DAP misalnya terdiri dari majoritinya kaum Cina. Bakinya barulah kaum India dan Melayu. Teraju utama kepimpinan juga seakan dimonopoli oleh satu kamu sahaja.

Namun, bagi parti perkauman yang disebutkan di atas bukanlah mutlak dan jelas sikap perkauman sempit atau assobiyah melulu. Ini adalah pandangan yang lebih sederhana dalam menilai motif dan peranan parti siasah perkauaman ini. Alasannya adalah parti-parti tersebut telah mencapai muafakat (concensus) politik di bawah naungan payung Barisan Nasional (dulu Perikatan).

Atas semangat perkongsian kuasa, segala hak dan tuntutan kaum masing-masing dirundingkan dalam mesyuarat parti secara tertutup.

Ini berbeza dengan pendekatan terbuka dan berlunaskan meritokrasi mutlak People's Action Party (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang lantang dan jelas memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia sebagai kerangka perlembagaan negara.

Namun, era bercakap 'malam pandang-pandang, siang dengar-dengar' sudah lama berlalu. Kini bukan sahaja parti perkauman pembangkang (selalu dicanangkan dengan label parti rasis atau chauvinis) yang secara terbuka dan lantang membuat tuntutan hak kaum mereka melalui resolusi parti dan sebagainya, malah parti komponen BN juga sudah berani dan terbuka melakukannya.

Tanpa mempertikaikan niat untuk membela nasib dan survival kaum, namun tidak juga mustahil golongan ini ibarat 'menangguk di air yang keroh' apabila parti tunggak atau kaum induk di negara ini berada dalam keadaan lemah dan gawat politiknya. Justeru, tuntutan demi tuntutan dikemukakan dan ini mengasak pimpinan tertinggi negara untuk segera responsif bagi menjamin status quonya kekal dalam persada siasah kebangsaan.

Antara yang pernah dituntut adalah jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk kaum Cina (tuntutan pemimpin MCA), penghapusan beberapa unsur utama dalam Kontrak Sosial (Tuntutan NGO Cina), tuntutan diikitiraf sebagai bumiputera (pemimpin DAP/HINDRAF) dan banyak lagi.

Semalam dalam laporan BERNAMA, MCA juga mengukuhkan sikap berani tetapi lebih sopan dan beradab melalui Resolusi Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-56. Terselit dalam Resolusi 16 Perkara itu ialah tuntutan untuk menjaga kebajikan kaum Cina dalam pendidikan, iaitu memperbanyakkan lagi sekolah vernakular Cina.

Selain itu, tanpa sedar MCA juga, walaupun atas nama hak asasi dan kemanusiaan, telah melanggari religious privacy orang Islam apabila meminta agar kerajaan menyemak semula pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita agar sejajar dengan konvensyen antarabangsa.

Adakah konsep 1Malaysia akan membenarkan fenomena ini menjadi sebahagian dari cara hidup kita rakyat Malaysia yang lebih terbuka dan liberal?

Namun, jika itu benar, adakah kita akan boleh berlapang dada begitu sahaja apabila orang luar sudah boleh mengecam urusan rumahtangga kita kerana kita sudah diconditionkan bahawa urusan kita adalah urusan mereka juga, dan urusan mereka adalah urusan kita juga?

LAMPIRAN Berita BERNAMA (klik di sini untuk berita asal)

07 Mac, 2010 18:09 PM
MCA Lulus Lima Resolusi, Minta Penambahan Bukan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-56 yang berakhir di sini pada Ahad, meluluskan lima resolusi merangkumi 16 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan, sosial dan ekonomi, serta budaya.

Antara yang diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan yang hadir ialah meminta kerajaan menambah bilangan pengambilan bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam.

Langkah itu akan memberi peluang kenaikan pangkat dan kebajikan dapat diberikan secara adil selain lebih ramai masyarakat daripada pelbagai kaum dapat menyertai sektor awam.

Bagi isu politik, perhimpunan agung itu juga meminta kerajaan melaksanakan sepenuhnya perubahan dan inovasi kepada struktur dan mekanisme pertadbiran Barisan Nasional (BN) supaya konsep perkongsian kuasa dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Parti itu juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan oleh semua sekolah persendirian Cina selain menyediakan peruntukan kepada sekolah terbabit supaya lebih ramai pelajar yang berbakat dapat dipupuk.

Kerajaan juga digesa untuk terus mengamalkan dasar pendidikan yang lebih liberal dan berbilang kaum supaya lebih banyak sekolah vernakular boleh ditubuhkan dan dimasukkan ke dalam program pembangunan nasional.

Mengenai isu ekonomi, MCA yang menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan Model Ekonomi Baru, meminta kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya ketika menilai dasar-dasar ekonomi supaya tidak menyulitkan kehidupan rakyat yang dibebani dengan pelarasan tarif air, elektrik serta tol.

Resolusi lain termasuk gesaan terhadap semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) untuk mengubah suai kursus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya.

Langkah itu berupaya menanam pengertian sebenar sejarah dalam diri pelajar selain bebas daripada pemikiran yang hanya berlandaskan kaum.

MCA turut meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai "Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita" (CEDAW).

Selain itu, MCA menyokong penuh gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan" yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai usaha untuk mencapai satu sistem meritokrasi rakyat berlandaskan kepada keperluan penduduk dalam pentadbiran negara.

Parti itu turut menyokong penuh Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang melaksanakan kedua-dua dasar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) untuk memperkasa prasarana kawasan luar bandar dan pedalaman selain meningkatkan taraf hidup rakyat.

-- BERNAMA


-------------------

'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...