Sunday, August 2, 2009

Masyarakat Boleh Ada Perbezaan Bukan Hanya Persamaan

Definisi 'siapakah masyarakat?' dalam posting lalu menyatakan bahawa setiap ahlinya berkongsi perkara yang sama. Ini menggambarkan bahawa untuk masyarakat itu wujud ia perlukan persetujuan, penerimaan, pendokongan nilai, cara, falsafah dan sebagainya oleh setiap ahlinya agar masyarakat itu dapat terus berkembang dan mencapai kemajuan tanpa halangan.

Namun adakah ini yang dimaksudkan oleh para sarjana ketika mengemukakan definisi mereka terhadap masyarakat ?

Jawapannya ya dan tidak.

Ya - kerana itu adalah prinsip asas penyatuan masyarakat untuk mencapai matlamat sama. Ia perlu kekal wujud, dan berkeupayaan secara fizikal dan spiritual berhadapan dengan cabaran dari luar. 

Syed Serajul Islam dan Abdul Rashid Morten menjelaskan maksud ini ketika memperincikan sifat masyarakat :

“…it [society] means a web of social relationship… society also means likeness. It consist of a number of likemindedness and are therefore able to work together for common ends.”  

Tidak pula - kerana yang dimaksudkan persetujuan itu adalah dalam konteks umum. Tidak semua perkara yang pelbagai itu memerlukan persetujuan. Persetujuan hanyalah pada idea asas sahaja.

Namun tidak bermakna dalam sesebuah masyarakat tidak boleh berlaku perbezaan atau perselisihan. Masyarakat manusia bukanlah masyakat malaikat yang tidak mempunyai nafsu dan kepentingan. Mereka boleh berselisih kerana sebab tertentu.

Syed menjelaskan lagi :

There may exist differences among individuals, which is natural. All cannot be exactly alike. Likemindedness means there is give and take among individuals. Humans are interdependent. Each is incomplete and seeks fulfillment by the help of others. Society demands cooperation.”

Kesimpulan akhir berikut olehnya lebih mencakupi makna masyarakat :

Thus, society means the web of social relationships, likeness, differences, interdependences, and cooperation.”

Kita ambil contoh tentang Rukunegara. Ia adalah idealogi kebangsaan. Semua rakyat Malaysia 'wajib' berpegang kepadanya tanpa kecuali.

Rukun pertama iaitu 'Kepercayaan kepada Tuhan' merujuk kepada rakyat Malaysia 'wajib' beragama, percaya wujudnya Tuhan dan pengaruhnya ke atas kehidupan masing-masing. Namun secara realistiknya mustahil rakyat Malaysia yang majmuk beriman dengan satu kepercayaan agama seperti Islam. Asalkan masing-masing ada akidah dan beramal dengannya, idea atau prinsip pokok 'Kepercayaan kepada Tuhan' sudah dipenuhi. 

Di sini idea pokok atau asal dipegang. Hanya kaedah melaksanakannya boleh berbeza. 

Islam hanyalah agama rasmi Persekutuan mengikut Perkara 3 perlembagaan persekutuan. Namun kerana rakyatnya dari latar budaya dan agama yang berbeza agama-agama selain Islam juga dibenar diamalkan dengan bebas.

Jika semua diwajibkan mengimani ALlah sebagai menterjemahkan makna semua ahli masyarakat mesti berkongsi/bersetuju dengan nilai agama, ia memerlukan paksaan atau undang-undang negara. 

Ini tidak realistik. Ia bercanggah dengan fitrah manusia juga.

Islam sendiri melarang paksaan dalam beragama. Dalam suatu firman ALlah yang mahsyur (mafhumnya "tiada paksaan dalam agama"), umat Islam diingatkan agar jangan memaksa seseorang memeluk Islam. Islam 'meraikan' perbezaan beragama walaupun ia - setiap masa - menjunjung kebenaran uluhiyyah dan rubbubiyyah dan berpegang kepada slogan ''Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya".

Satu contoh lain ialah semua rakyat Malaysia - seperti dalam ikrar yang diulang-ulang dalam perhimpunan sekolah - berpegang kepada demokrasi. Ini bermaksud setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mewujudkan pemerintahan oleh rakyat (orang awam) sebagai teras politik Malaysia di samping menerima kedaulatan sistem beraja (monarki) sebagai warisan dari Kesultanan Melayu Melaka.

Namun untuk demokrasi hidup ia mesti membenarkan penubuhan parti siasah (politik) yang pelbagai idealoginya. Di pentas politik idealogi dan pendekatan serta wawasan pemerintahan negara yang berbeza antara satu sama lain dipertandingkan untuk mendapatkan persetujuan majoriti rakyat. Berdasarkan kehendak majoriti atau popular rakyat melalui peti undi (pilihanraya) salah satu parti siasah tersebut akan diberi mandat untuk memerintah negara. 

Maksudnya semua rakyat bersetuju dengan prinsip pokok iaitu menegakkan demokrasi. Tapi masing-masing juga diberi hak di sisi perlembagaan untuk memilih idealogi dan pendekatan yang siasah yang disukainya. Inilah yang dimaksudkan oleh Syed Sirajul Islam sebagai perbezaan (differences) yang patut 'diraikan' dalam sesebuah masyarakat.

Dalam Islam sendiri perbezaan pendapat membawa rahmat di kalangan para ulamaknya. Dalam konteks pendidikan perbezaan pendapat perlu berlaku asalkan ia kritis dan objektif agar idea yang terbaik diperolehi. Ini menjadi pra-syarat kepada kelahiran sebuah masyarakat madani maju berteraskan budaya ilmu yang kukuh.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...