Thursday, August 27, 2009

Senator Datuk Idris Jala - Profesional menjadi Ahli Kabinet Terbaru

Kabinet persekutuan yang merupakan badan eksekutif kerajaan pusat ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 43 perlembagaan persekutuan. 

Penubuhan kabinet biasanya mengambil tempat selepas keputusan pilihan raya umum (PRU) diperolehi. Ia menandakan sebuah kerajaan yang demokratik telah berjaya ditubuhkan.

Walaupun rakyat (pengundi) hanya memilih wakil rakyat mereka sama ada untuk DUN atau Parlimen, secara tidak langsung rakyat juga memilih siapa yang akan membentuk kerajaan berdasarkan undi popular (majoriti, > 50%) yang diperolehi oleh parti siasah yang bertanding dalam PRU.

Di sisi perlembagaan persekutuan Perkara 43(2[a]), Perdana Menteri mestilah dipilih dan dilantik oleh Yang DiPertuan Agong (YDPA) dari kalangan ahli Dewan Rakyat sahaja. Jawatan ini mestilah dilantik terlebih dahulu kerana ia menjadi teraju utama kabinet.

Ahli kabinet yang lain iaitu para menteri, mengikut Perkara 43(2[b]), boleh dipilih oleh Perdana Menteri dan kemudian dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dari dua dewan legaslatif (perundangan) iaitu sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Namun, apabila timbul keadaan yang memerlukan kabinet boleh dirombak oleh Perdana Menteri sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.

Kadang-kadang dengan prerogatif Perdana Menteri, seseorang boleh dilantik mengisi jawatan menteri kabinet. Dalam keadaan biasa tanpa pilihan raya, jika tiada calon kabinet yang sesuai di Dewan Rakyat, calon tersebut boleh dipilih dari kalangan ahli Dewan Negara.

Jika calon tersebut tiada di dalam Dewan Negara, maka orang awam dari kalangan profesional atau tokoh masyarakat boleh dilantik ('dicelup') menjadi ahli Dewan Negara. Selepas itu, barulah ia boleh dilantik sebagai ahli Kabinet. Ahli kabinet dari Dewan Negara akan dipanggil dengan gelaran Senator.

Kaedah ini - walaupun bukan menjadi amalan atau praktis lazim - telah ditunjukkan apabila Datuk Idris Jala, mantan Ketua Eksekutif MAS telah dilantik menjadi Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri hari ini. (Sila baca laporan Malaysiakini.com atau BERNAMA untuk laporan penuh).

Datuk Idris Jala bukanlah ahli politik yang telah memenangi mana-mana kerusi Parlimen dalam PRU lepas, atau mana-mana pilihan raya kecil (PRK). Beliau menjadi ahli Kabinet dengan tiket senator dari kalangan orang awam-profesional yang dilantik oleh YDPA.

Pelantikan Datuk Idris Jala membuktikan saluran dan tatacara perlantikan seorang Menteri Kabinet adalah diizinkan oleh perlembagaan walaupun seseorang itu tidak pernah menjadi ahli politik dan menang dalam pilhan raya kerusi Parlimen.

-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...