Friday, August 14, 2009

Pilihan Raya di Malaysia : Jenis dan Sebab Diadakan

Pilihan raya adalah alat atau kaedah bagi memilih wakil rakyat. Jika ia dilaksana dengan adil dan bebas (free and fair) ia menjadi bukti bahawa demokrasi adalah subur di sesebuah negara. Justeru, pilihan raya dianggap sebagai alat (mengukur) demokrasi.
Di Malaysia pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat untuk menjadi pembuat undang-undang (law makers) sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen. Ia boleh berlaku dalam dua bentuk. 
Yang pertama ialah pilihan raya umum (general election) - yang diadakan 5 tahun sekali apabila tempoh matang dicapai. Namun, peraturan membenarkan ia diadakan lebih awal dengan membubarkan Parlimen atau DUN.
Pilihan raya umum (PRU) edisi ke-12 (sejak kali pertama tahun 1959 ) telah diadakan pada 8 Mac 2008, kira-kira 4 tahun selepas PRU ke-11. PRU ke-11 telah dilangsungkan pada 21 Mac 2004.
Yang kedua pula pilihan raya kecil (by-election). Pilihan raya ini tidak berjadual macam yang pertama. Ia diadakan bersebab. Sebabnya ialah berlaku kekosongan kerusi wakil rakyat sama ada DUN atau Parlimen. Kekosongan terjadi kerana kematian wakil rakyat (sebab paling lazim) atau wakil rakyat meletak jawatan atas sebab-sebab tertentu.
Namun ia hanya boleh diadakan jika pilihan raya umum yang berikutnya masih jauh, dalam tempoh 60 hari di Semenanjung Malaysia atau 90 hari di Sabah dan Sarawak, dari tarikh kekosongan.
Sebagai contoh pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang  yang akan diadakan pada 25 Ogos nanti  disebabkan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari Parti Islam se-Malaysia (PAS) pada 31 Julai 2009.
Pilihan raya kecil ini merupakan pilihan raya kecil ke-8 yang diadakan di Malaysia selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.
Berikut adalah senarai pilihan raya kecil pasca-PRU ke-12 disebabkan oleh faktor di atas.
1. Pilihan raya kecil Permatang Pauh, Pulau Pinang 2008  - wakil rakyat letak jawatan
2. Pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Terengganu 2009 - kematian wakil rakyat asal
3. Pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak 2009 - kematian wakil rakyat asal
4. Pilihan raya kecil Bukit Selambau, Kedah 2009 - wakil rakyat letak jawatan
5. Pilihan raya kecil Batang Ai, Sarawak 2009 - kematian wakil rakyat asal
6. Pilihan raya kecil Penanti, Pulau Pinang 2009 - wakil rakyat letak jawatan
7. Pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan 2009 - kematian wakil rakyat asal
8. Pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang 2009 (akan diadakan pada 25 Ogos) - kematian wakil rakyat asal
Namun, kekosongan juga boleh disebabkan oleh undang-undang melalui keputusan mahkamah apabila wakil rakyat melanggar Perkara 48 perlembagaan persekutuan.


-------------------


'Bebaslah berfikir, bukan berfikiran bebas' selagi tidak emosional dan cekal berniat untuk mencari kebenaran.© cikgubad, 2009

5 comments:

  1. terima kasih. blog anda telah membantu saya dalam penyiapkan tugasan bagi pengajian awam. terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih. Blog anda telah membantu saya dalam menyiapkan tugasan :)

    ReplyDelete
  3. Terima Kasih. Blog ini telah membantu saya :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...